Pelajar tingkatan tiga cabut bendera parti – Sinar Harian


Pelajar tingkatan tiga cabut bendera parti

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013

IPOH – Dua pelajar tingkatan tiga ditahan selepas didapati mencabut sebatang bendera parti di persimpangan Taman Kenari, Jalong, Sungai Siput, petang kelmarin.

Jurucakap Pilihan Raya Umum Polis Kontinjen Negeri, Superintendan Maszely Minhad berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, dua pelajar yang menaiki motosikal bertindak mencabut bendera parti tersebut, kemudian melarikan diri.

“Mereka ditahan anggota polis yang sedang meronda di kawasan berkenaan pada hari sama. Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk tindakan lanjut dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan kerugian melebihi RM25 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun, denda atau kedua duanya sekali.

Beliau memaklumkan, 17 kes dilaporkan sejak penamaan calon, baru-baru ini menjadikan keseluruhan laporan polis sebanyak 176 kes sejak pembubaran parlimen pada 3 April 2013.

“Manakala 121 ceramah politik telah diadakan di seluruh negeri sehingga jam 12 tengah malam (semalam) yang mana empat daripadanya diadakan tanpa permit, iaitu di Batu Gajah, Tanjung Malim, Taiping, Kerian, Selama, Hilir Perak, Kuala Kangsar dan Gerik.

Kes kecurian dua sekolah – Sinar Harian


Kes kecurian dua sekolah

NORMAWATI ADNAN
3 Januari 2013
Kes kecurian dua sekolah
Sekolah yang dipecah masuk menjelang permulaan sesi pembelajaran 2013.
Kes kecurian dua sekolah
Sekolah yang dipecah masuk menjelang permulaan sesi pembelajaran 2013.

IPOH – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan menunggu laporan siasatan penuh daripada polis sebelum tindakan lanjut diambil berhubung kes kecurian peralatan sekolah di negeri ini menjelang sesi pembelajaran 2013.

Pemangku Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, langkah itu perlu bagi memastikan gerak kerja di sekolah berkenaan tidak terganggu.

Menurutnya, daripada laporan yang diterima, dua sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yussuf (Batu Gajah) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope Nor Rashid (Tanjung Piandang) dipecah masuk, 29 dan 31 Disember lalu mengakibatkan kehilangan beberapa perkakas.

“Bagaimanapun, kedua-dua kes ini tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran murid. Sesi persekolahan dibuka dan berjalan sama seperti sekolah lain.

“Kehilangan yang dilaporkan adalah membabitkan peralatan komputer dan beberapa perkakas lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Idris berkata, buat masa ini, JPN belum menerima laporan lanjut berhubung siasatan kedua-dua kes berkenaan.

“Kita akan tunggu hingga siasatan selesai,” katanya.

Dalam laporan semalam, SK Sultan Yussuf mengalami kerugian lebih RM57,000 apabila 12 komputer riba dilarikan.

Siasatan awal mendapati, suspek masuk ke kawasan sekolah melalui pagar belakang.

Dalam kejadian 31 Disember pula, sebuah komputer dan beberapa projektor milik SMK Raja Lope Nor Rashid dilarikan.

SK Sultan Yussuf rugi RM57,000 dipecah masuk – Sinar Harian


SK Sultan Yussuf rugi RM57,000 dipecah masuk

SAIFULLAH AHMAD
2 Januari 2013
Sekolah pecah masuk
Keadaan SK Sultan Yussuf yang dipecah masuk mengakibatkan kerugian lebih RM57,000.

IPOH – Suasana hari pertama sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, dekat sini bertukar muram selepas 12 komputer riba milik sekolah berkenaan dilarikan penjenayah.

Sekolah itu mengalami kerugian lebih RM57,000 dalam kejadian yang hanya disedari selepas seorang gurunya mendapati bilik guru dan pejabat diceroboh pada jam 7.30 pagi, 29 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kejadian dimaklumkan kepada guru besar sekolah berkenaan yang kemudiannya membuat laporan polis.

“Berdasarkan siasatan awal yang dibuat, suspek dipercayai masuk ke kawasan sekolah melalui pagar yang telah dipotong di bahagian belakang sekolah.

“Kemudian suspek naik ke tingkat satu bangunan tanpa kamera litar tertutup (CCTV) menempatkan kedua-dua bilik terbabit, melalui pintu gril tangga yang dipercayai tidak berkunci berikutan tiadak kesan dipecahkan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Shaharon Anuar, suspek dipercayai lebih dari seorang telah memecah masuk bilik guru dan menyelongkar beberapa meja guru berdasarkan keadaan bilik berselerak.

Katanya, bilik guru besar yang terletak dalam pejabat terbabit diumpil dan peti besi serta almari komputer riba di dalamnya turut dipecahkan.

“Suspek mengambil beberapa komputer riba yang berada di dalam almari itu. Peti besi juga dipecahkan bagaimanapun tiada barang berharga di dalam.

“Selepas mengambil barang-barang yang dikehendaki, suspek keluar melalui jalan yang sama seperti mereka masuk,” jelasnya.

Shaharon Anuar berkata, sebanyak 12 komputer riba yang dicuri dengan nilai keseluruhan berjumlah RM57,264.50.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai didatangi mana-mana individu mencurigakan untuk menjual komputer riba dengan harga yang murah diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Suriyantee Abd Hamid di talian 05-3629222 sambungan 9066 atau telefon bimbit 017-4000950.

“Jika ada mana-mana individu yang menjual komputer riba dengan harga rendah, pastikan nombor sirinya terlebih dahulu. Jika terdapat mana-mana jenis dan nombor siri seperti mana yang dinyatakan, hubungi segera pihak polis di balai polis berhampiran atau nombor yang dinyatakan.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Ahmad Damanhuri Ibrahim ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak mengganggu sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Katanya, pihak sekolah telah diminta membuat laporan mengenai kejadian berkenaan bagi tindakan selanjutnya.

Kanak-kanak 12 tahun ditemui mati lemas di lombong – Bernama


Kanak-kanak 12 tahun ditemui mati lemas di lombong

2012/09/22 – 14:19:19 PMCetakEmel Kawan
BATU GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui lemas di sebuah lombong berhampiran rumahnya di Jalan Bemban, Desa Harmoni dekat sini ketika sedang mandi bersama beberapa rakannya semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Shahrun Anuar Abdul Latif berkata, mayat Mohd Danial Al-Aris Abdul Talib pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Siputeh di sini ditemui oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat pada jam 10.20 malam tadi.

Mayatnya dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita di sini hari ini ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 5.35 petang semalam ketika mangsa bersama tiga rakan sebayanya pergi ke lombong yang jaraknya 200 meter daripada rumahnya.

Ketika mereka sedang mandi, mangsa dikatakan gagal berenang lalu tenggelam, manakala tiga rakannya cuba membantu tetapi gagal lalu meminta bantuan penduduk kampung berhampiran.

Polis yang menerima maklumat kejadian itu dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat mengadakan operasi mencari dan mayat mangsa ditemui di dasar lombong berkenaan. – BERNAMA

Remaja hilang ditemui semula – Utusan


Remaja hilang ditemui semula

BATU GAJAH 27 Ogos – Kebimbangan seorang wanita berhubung kehilangan anaknya, Chan Ke Yi, 16, sejak seminggu lalu berakhir apabila remaja itu ditemui selamat semalam.

Ke Yi yang dilaporkan hilang setelah keluar membeli nasi ayam pada pukul 6 petang, 18 Ogos lalu, ditemui oleh seorang peniaga, Muhammad Nasir A. Aziz, 60, di hadapan gerainya di Medan Selera Jalan Gopeng dekat sini.

Semasa ditemui, Ke Yi yang dilaporkan keluar dari rumahnya di Kampung Pandak Akhat dengan berjalan kaki seorang diri dan berkaki ayam, kelihatan lemah dan lesu.

Muhammad Nasir memberitahu, dia sedang bersiap-siap untuk membuka gerai terkejut apabila disapa seorang gadis di hadapan gerainya.

Katanya, gadis yang kelihatan tidak bermaya itu memintanya untuk menghantar pulang ke Ipoh, namun gagal memberitahu lokasi sebenar.

Budak 12 tahun nyaris jadi mangsa culik – Sinar Harian


Budak 12 tahun nyaris jadi mangsa culik
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Jun 2012

AZISMAN
IPOH – Seorang kanak- kanak perempuan berhadapan situasi cemas apabila diculik dua lelaki ketika dalam perjalanan ke sekolahnya untuk aktiviti ko-kurikulum.

Pelajar yang dikenali sebagai Devi, 12, itu bagaimanapun terselamat apabila bertindak melompat keluar dari kereta penculik berkenaan ketika menghampiri lampu isyarat trafik di Jalan Lahat di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika Devi sedang berjalan kaki sambil diekori dua lelaki yang menutup sebahagian muka dengan kain yang menawarkan untuk menumpangkannya ke sekolah.

Bagaimanapun mangsa menolak pelawaan itu dan terus berjalan tetapi dengan pantas seorang daripada mereka terus menariknya masuk ke dalam kereta.

“Saya cuba melawan dan menjerit tetapi lelaki itu mengikat mulut saya dengan kain sambil berulang kali menyatakan dia bukan mahu menculik saya, sebelum kembali ke tempat duduk penumpang depan dan meninggalkan saya berseorangan di belakang.

“Saya menyedari kereta itu membuat pusingan U dan memecut laju ke arah Batu Gajah tetapi memperlahankan kenderaan apabila menghampiri lampu isyarat, ketika itulah saya membuka kunci pintu dan melompat keluar lalu lari sekuat hati,” katanya ketika menceritakan detik-detik cemas itu.

Selepas berjaya melepaskan diri, dia berlari menuju ke restoran berdekatan untuk meminta bantuan kerana salah seorang daripada penculik itu mengejarnya.

Dengan bantuan orang ramai, Devi kemudiannya menelefon ibunya, S Nagamah, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Merah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pihak polis masih menyiasat kes berkenaan.