Remaja patah lima jari kanan akibat mercun – Sinar Harian


Remaja patah lima jari kanan akibat mercun
HAZELEN LIANA KAMARUDIN
7 Ogos 2012

Mohd Firdaus dirawat di Hospital Lati, Pasir Mas akibat kecederaan di tangan kirinya akibat bermain mercun.
KOTA BHARU – “Saya sudah serik bermain mercun,” kata mangsa mercun, Mohd Firdaus Ismail, 15, dari Kampung Tok Pelanduk, Rantau Panjang apabila kesemua lima jari kirinya patah akibat kejadian tersebut.

Dia yang merupakan bekas pelajar pondok berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10 malam pada Ahad lalu selepas dia menunaikan solat sunat Tarawih di Kampung Batu Karang yang terletak 500 meter dari rumahnya.

“Semasa kejadian, seorang kanak-kanak menyuruh saya menyalakan mercun botol dan tanpa berfikir panjang saya terus membakar mercun tersebut.

“Tiba-tiba ia meletup sebaik sahaja dibakar dan terkena tangan kiri saya,” katanya yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), hari ini.

Mohd Firdaus berkata, pada awalnya dia tidak merasa apa-apa tetapi apabila melihat darah mula mengalir keluar di jari tangannya dia terus membonceng motosikal pulang ke rumah.

Menurutnya, sebaik sampai di rumah, abangnya, Afendi, 25, terus membawanya ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa ke HUSM.

“Apa yang berlaku cukup menginsafkan dan saya sudah fobia untuk bermain mercun lagi.

“Saya berharap dapat keluar dari hospital sebelum Aidilfitri ini kerana saya tidak sanggup beraya di sini tanpa keluarga,” katanya.

Sukan selam skuba untuk kanak-kanak – Sinar Harian


Sukan selam skuba untuk kanak-kanak

NORHIDAYYU ZAINAL
25 April 2012
Sukan selam skuba untuk kanak-kanak

SUKAR untuk menjelaskan akan kepuasan dan ketenangan minda yang dialami ketika menerokai keindahan alam di bawah permukaan air. Melihat keunikan dan keanehan hidupan yang selama ini asing pada pandangan mata ialah faktor menarik bagi penyelam skuba untuk terus terjun ke dasar laut.

Bukan itu sahaja, jenis dan kategori selam yang berbeza juga sering menjanjikan pengalaman dan sesuatu yang baru untuk dicuba. Namun, itulah kepuasan yang dirasakan oleh Jurulatih Selam Skuba, Zuzila Zain.

Sebelum ini, Zuzila ialah pelukis dan berjinak-jinak dalam dunia selam skuba selepas mengikut trip bersama Malaysia Art Gallery ke Pulau Mabul, Sipadan, Sabah.

“Kalau anda sukakan laut dan keindahan dalam laut, maka selam skuba ialah sukan yang terbaik patut dicuba,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurutnya, setiap kali terjun ke laut, setiap penyelam skuba akan memperoleh perasaan dan suasana yang berbeza.

“Suasana di dalam laut sangat memukau dan cantik dengan kehadiran pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan dan batu karang.

“Bagi saya, jika benar suka akan lautan, maka cubalah sukan selam skuba ini. Namun begitu, saya mengakui, sukan ini agak lasak dan memerlukan keberanian dan berdisiplin bagi mencubanya,” katanya.

Dia menambah aktiviti selam skuba akan menjadi sesuatu yang sangat menyeronokkan jika mengikut segala aspek pelajaran yang diajar ketika mempelajari asas kursus tersebut.

Tarik minat kanak-kanak

Kini selam skuba bukan hanya untuk golongan dewasa tetapi juga menarik minat kanak-kanak yang berumur lapan hingga 12 tahun.

“Penglibatan mereka ini mampu membina jati diri selain meningkatkan disiplin pada peringkat awal kursus dengan menyertai pelbagai kelas bagi golongan kanak-kanak,” katanya.

Antara yang menawarkan kursus penuh sebagai penyelam skuba ialah Professional Association of Diving Instructors (Padi) melalui Padi Seal Team.

Selain Padi, Scuba Schools International (SSI) turut mempunyai kursus yang boleh disertai oleh mereka menerusi program SSI Scuba Rangers.

Menurutnya, mereka yang berminat perlulah mempunyai asas berenang, selesa di dalam dan permukaan air selain mempunyai tubuh badan yang sihat.

“Biasanya, golongan kanak-kanak ini cepat faham dan mempunyai sifat ingin tahu. Cuma kadang-kadang mereka bersifat ‘lupa diri’ terutamanya ketika seronok berada di dalam air,” katanya.

Zuzila berkata, program sebegini akan dibahagikan kepada beberapa peringkat. Apa yang penting, setiap peringkat memberi pengalaman baru kepada kanak-kanak berkenaan.

“Melalui pengajaran selam skuba ini, mereka akan merasai sendiri pengalaman sama seperti apa yang dirasai oleh penyelam dewasa.

“Mereka turut berpeluang turun ke laut sebagai langkah pertama dalam meneroka alam lautan,” katanya.
Lebih dinamik

Zuzila berkata, setiap langkah yang perlu dilakukan kanak-kanak dalam bidang selam skuba akan menambah keyakinan setiap hari selain mampu mencorakkan mereka menjadi pemimpin disegani.

“Mereka yang menyertai kursus ini akan dilatih untuk berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang lain dalam melakukan kerja seharian melalui aktiviti yang disediakan.

“Contohnya, pemasangan alatan selam skuba yang menjadi nadi penting dalam sukan ini,” katanya.

Menurutnya, semua kursus yang diajar dilihat mampu mengubah seorang kanak-kanak itu menjadi lebih dinamik dan berdikari. Mereka yang berminat bolehlah menghubungi Zuzila menerusi e-mel dikidsscuba@yahoo.com, lawati laman web

http://www.kidsscuba.com atau ke pejabat Kids Scuba Dive di Pusat Bandar Putra Point, Putra Heights, Subang Jaya.