Lelaki dihukum 12 tahun penjara rogol – Bernama


Lelaki dihukum 12 tahun penjara rogol

2013/07/17 – 17:50:26 PMCetakEmel Kawan
GEORGETOWN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang lelaki kerana merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada 2011.

Hakim Zanol Rashid Hussain mendapati Hasli Yaakob, 35, dari Teluk Bahang, bersalah kerana merogol remaja berkenaan yang ketika itu itu berusia 15 tahun, di sebuah rumah di Teluk Bahang antara 11 dan 18 April 2011.

Ketika merayu supaya hukuman terhadap Hasli diringankan, peguam Andy Ooi berkata lelaki yang bertugas sebagai penyelamat itu perlu menjaga ibu bapanya, tetapi permohonannya dibantah Timbalan Pendakwa Raya DPP Lim Cheah Yit dengan alasan Hasli tidak langsung menunjukkan dia menyesali perbuatannya itu.

Ooi kemudian memohon supaya hukuman itu ditangguhkan, tetapi Zanol menolaknya dan memerintahkan Hasli menjalani hukuman penjara mulai Rabu. – BERNAMA

4 remaja bawah umur ditangkap – Sinar Harian


4 remaja bawah umur ditangkap

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mei 2013
4 remaja bawah umur ditangkap
Kok Liang

TELUK INTAN – Tidak padan dengan umur yang masih muda, empat remaja berusia 15 hingga 16 tahun berani melakukan aktiviti jenayah curi dengan memecahkan tingkap kereta yang di parkir di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, jenayah itu terbongkar apabila cermin sebuah kereta milik seorang penternak lembu dipecahkan suspek, pada 15 Mei lalu.

Menurutnya, pada kejadian jam 5 pagi itu,  isteri mangsa terdengar deruman motosikal lalu lalang di hadapan rumahnya di Taman Banjar Jaya, di sini.

“Mangsa yang tersedar selepas dikejutkan isterinya bertindak menghubungi rakan yang juga jirannya untuk mendapatkan bantuan.

“Ketika mangsa menghubungi jirannya, suspek bertindak memecahkan cermin depan di bahagian penumpang sebelum mengambil barangan berharga,” katanya.

Kata beliau, mangsa bersama rakannya cuba menahan kesemua suspek namun hanya seorang remaja berusia 16 tahun berjaya ditahan sementara yang lain melarikan diri.

“Suspek itu ditahan mangsa kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan bantuan polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini.

Kok Liang berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dua telefon bimbit milik mangsa di dalam poket seluarnya.

Katanya, tiga lagi suspek dijejaki polis dengan menghubungi mereka dan tindakan itu menyebabkan salah seorang daripadanya berusia 15 tahun menyerah diri di IPD Hilir Perak.

“Hasil siasatan kami juga membawa kepada penahan dua rakan suspek yang sudah tidak bersekolah dan menganggur.

“Siasatan lanjut  turut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau dan salah seorang daripada mereka positif dadah. Kesemua suspek ditahan reman bagi bantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksysen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kes rogol berlaku setiap minggu – Sinar Harian


Kes rogol berlaku setiap minggu

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2013

KULIM – Kes jenayah rogol melibatkan remaja bawah umur kini semakin membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mengikut perangkaan dibuat, kes rogol berlaku setiap minggu dan dari jumlah itu 99 peratus darinya diklasifikasikan sebagai rogol suka sama suka.

Menurutnya, remaja hari ini terdedah dengan pelbagai anasir negatif yang mudah diperoleh .

“Jika dahulu kes rogol melibatkan golongan dewasa, hari ini tidak lagi dan terkini seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan dirogol lebih 20 lelaki.

“Ini merupakan satu fenomena yang tidak normal bagaimanapun keluarga seharusnya  mengambil tahu aktiviti anak mereka dan tidak terlalu melindungi mereka.,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, melakukan persetubuhan dengan mana-mana pelajar atau murid bawah umur akan diklasifikasi sebagai rogol dan polis  akan bertindak menahan serta mendakwa pasangan terlibat.

Rogol anak: Penganggur dipenjara 30 tahun – Bernama


Rogol anak: Penganggur dipenjara 30 tahun

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 29 Nov. – Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang penganggur menjalani hukuman penjara 30 tahun atas tiga kesalahan merogol anak kandungnya yang masih di bawah umur, 12 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan hukuman penjara 16 tahun bagi ketiga-tiga kesalahan dijalankan serentak.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Pendakwa raya merayu agar keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Julai tahun lalu diketepikan manakala keputusan Mahkamah Sesyen Ampang pada 7 Mei 2010 yang memerintahkan hukuman penjara 16 tahun itu berjalan berasingan, dikekalkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas mewakili pihak pendakwaan manakala lelaki tersebut diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad. – UTUSAN.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121129/ma_04/Rogol-anak-Penganggur-dipenjara-30-tahun#ixzz2DbuZe4SN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pencuri cilik kantoi – Sinar Harian


Pencuri cilik kantoi

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 November 2012
Pencuri cilik kantoi
Ketiga –tiga suspek kini direman untuk siasatan lanjut berhubung kecurian motosikal di apartmen berkenaan

PETALING JAYA – Usia masih di bawah umur tetapi sudah berani mencuri motosikal, bagaimanapun kegiatan licik tiga remaja terbabit tumpas selepas mereka diberkas penduduk Apartmen Saujana Damansara, Damansara Damai, malam kelmarin.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartmen berkenaan, Nazriey Ismail berkata, kesemua pencuri cilik itu ditahan selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka melarikan sebuah motosikal milik penduduk di salah sebuah blok di situ.

Menurutnya, seorang daripada suspek berusia 14 tahun tinggal di kawasan berkenaan manakala dua lagi rakannya berusia 12 dan 15 tahun tinggal di Kampung Kubu Gajah.

“Suspek  mengaku menyembunyikan motosikal di rumah rakannya selepas disoal siasat oleh anggota biro keselamatan yang bertindak menahannya ketika dia pulang ke rumah,” katanya.

Difahamkan, dua hari sebelum itu suspek ditahan pengawal keselamatan selepas membawa motosikal terbabit keluar namun mengaku ia kepunyaan abangnya.

Ketiga-tiga suspek kini direman untuk siasatan lanjut selepas mengaku terlibat mencuri motosikal tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan penangkapan ketiga-tiga suspek.

Katanya, mereka kini direman untuk siasatan lanjut selepas mengaku melakukan perbuatan jenayah terbabit.

Beliau berkata, ibu bapa dinasihatkan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak terutama ketika cuti persekolahan.

Lelaki diburu – Metro


Lelaki diburu

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GEORGETOWN: Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki lain selepas disyaki melarikan seorang gadis bawah umur dari Kuala Lumpur dalam kejadian di Jalan Air Itam di sini, awal pagi Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun yang juga saudara remaja perempuan berusia 17 tahun itu diminta keluarga gadis itu mencari anaknya yang dikatakan dibawa ke Pulau Pinang oleh seorang lelaki. Jurucakap polis berkata, selepas usaha mencari dilakukan sejak beberapa hari lalu, mangsa berjaya menemui anak saudaranya di kawasan Bukit Jambul sebelum membawanya pulang ke rumah di Air Itam.
Menurutnya, suspek berusia 23 tahun kemudian bertemu mangsa di sebuah medan selera dan berlaku pertengkaran serta tolak-menolak sebelum suspek mengugut mahu mencederakan mangsa sebelum beredar.

 

Katanya, mangsa yang bimbangkan keselamatan diri dan anak saudaranya itu kemudian membuat laporan polis. Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Staf sendiri jadi dalang – Metro


Staf sendiri jadi dalang
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Siti Norhidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

PUCHONG: Hasil bantuan seorang pekerja berusia 17 tahun, empat lelaki dipercayai membuat perancangan rapi sebelum menyamun sebuah panggung wayang di sebuah pusat beli-belah, di sini dan melarikan wang tunai RM140,000, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, empat lelaki bertopeng bersama remaja bawah umur yang bekerja lebih setahun setengah di panggung berkenaan menyelinap masuk melalui laluan kakitangan di tingkat tiga panggung wayang itu.
Seorang kakitangan yang enggan dikenali berkata, kejadian dipercayai dirancang kakitangan itu berikutan orang awam tidak mengetahui laluan masuk yang mempunyai jalan keluar ke kawasan letak kereta di pusat beli-belah terbabit.

“Disebabkan pintu berkunci ketika itu, mereka menggunakan paksaan untuk membuka pintu sebelum menyelinap masuk ke pejabat panggung di aras sama bersenjatakan dua bilah parang.
“Ketika kejadian, dua staf sedang membuat kira-kira harian manakala ada seorang pencuci bangunan syif malam dalam pejabat yang tergamam dengan tindakan empat lelaki itu yang menyerbu masuk ke dalam pejabat,” katanya.
Menurutnya, sebaik masuk, empat lelaki itu mengacu parang ke leher seorang staf dan meminta seorang lagi memasukkan wang kutipan bernilai RM140,000 ke dalam beg milik penyamun itu.

Katanya, kakitangan cuba melawan, tetapi mereka diugut dikelar di leher menyebabkan kedua-dua staf itu akur dan mereka dijadikan tebusan sementara kumpulan itu menggeledah pejabat.
Beliau berkata, dalam tempoh 10 minit, mereka berjaya melarikan wang tunai sebelum mengunci kakitangan di dalam pejabat dan keluar melalui laluan yang sama.

“Mereka melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi diletakkan di tingkat tiga tempat letak kereta pusat beli -belah itu.
“Beberapa minit kemudian, sebaik dapat membebaskan diri, kakitangan berkenaan menghubungi pihak polis dan sepasukan polis dari Balai Polis Puchong dikejarkan ke lokasi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, pengurusan panggung wayang berkenaan ketika ditemui Harian Metro enggan mengulas lanjut mengenai kejadian dan menyerahkan siasatan penuh kepada polis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, susulan dari kejadian itu, pihaknya menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang bekerja di panggung wayang berkenaan.
“Dia ditahan atas kesalahan bersekongkol dengan kumpulan penyamun itu dan kami mendapat tahu penglibatannya dalam kejadian ini berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCT) diperoleh daripada pihak pengurusan panggung.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/25

Umpan kad prabayar rogol gadis – Kosmo


Umpan kad prabayar rogol gadis
Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my
AMPANG JAYA – Taktik seorang kerani penghantar surat dan ejen insurans mengumpan kad prabayar tambah nilai untuk mendapatkan imbuhan seks daripada dua gadis bawah umur memakan diri apabila masing-masing dihukum penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Roszianayati Ahmad menyabitkan tertuduh Aidil Rashid, 38, dan Lee Kwong Mun, 36, atas dua tuduhan rogol setiap seorang selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau mengarahkan hukuman mereka berjalan serentak mulai semalam.

Aidil didakwa merogol gadis pertama berusia 14 tahun antara Mei dan Jun 2010 di sebuah rumah pangsapuri di Lembah Jaya di sini pada pukul 3 dan 3.30 petang dan mengulangi perbuatan serupa terhadap mangsa kedua berusia 13 tahun antara April dan Jun 2010 di tempat sama.

Kwong Mun juga didakwa merogol kedua-dua gadis yang sama di pangsapuri tersebut antara Ogos 2009 dan Jun 2010 dan pada Mei 2010 pukul 9 dan 9.30 malam.

Kedua-dua tertuduh tinggal berjiran di kawasan itu.

Amaran buat penjaja luar kawasan sekolah – Sinar Harian


Amaran buat penjaja luar kawasan sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mei 2012

KUALA TERENGGANU – Tindakan undang-undang boleh diambil kepada peniaga atau penjaja di luar kawasan sekolah yang mengambil kesempatan menjual rokok kepada pelajar.

Kompaun sehingga RM5,000 boleh dikenakan kepada mereka kerana telah melanggar peraturan 8 (1) iaitu menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa iaitu di bawah umur 18 tahun.

Pengerusi Panel Penasihat Unit Kesihatan Seberang Takir, Md Azmi Abd Aziz berkata, tindakan tegas terpaksa diambil bagi menyedarkan peniaga dan penjaja ini kerana difahamkan ‘urus niaga’ itu terlalu aktif sejak akhir-akhir ini, melibatkan hampir keseluruhan kawasan sekolah di situ.

“Kami terima terlalu banyak aduan terutama dari ibu bapa yang tidak sanggup lagi melihat pelajar bebas merokok di luar kawasan sekolah selepas waktu sekolah.

“Peniaga dan penjaja di luar kawasan sekolah pula, difahamkan menjadi pembekal utama mereka mendapatkan rokok dengan mudah walaupun masih berpakaian seragam sekolah,” katanya.

Md Azmi yang juga Pengerusi Kepolisan Komuniti Balai Polis Gong Badak, di sini, berkata, pihaknya kini sedang membuat pemantauan bagi mengenal pasti taktik terkini yang digunakan peniaga serta penjaja terlibat bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Jika kami tanya kepada peniaga dan penjaja ini, sudah tentu mereka tidak akan mengaku menjual rokok kepada pelajar, jadi kami akan memasang perangkap sendiri bagi menangkap mereka ini.

“Selain itu, kami turut akan menjalankan operasi berterusan dalam usaha menangani permasalahan ini yang difahamkan sudah hampir 10 tahun berlarutan,” katanya.

Sementara itu, Md Azmi berkata, penjaja makanan ringan di luar kawasan sekolah juga boleh dirampas barang jualan jika didapati berurus niaga tidak mengikut peraturan ditetapkan.

“Ramai peniaga makanan ringan di luar kawasan sekolah tidak ikut peraturan ditetapkan seperti tidak melabelkan makanan dijual, tidak buat pemeriksaan kesihatan dengan mengambil suntikan typhim VI, menggunakan kertas surat khabar sebagai pelapik meja dan tidak memakai apron, penutup kepala serta pakai barang kemas semasa berurus niaga,” katanya.

Semalam, operasi menjaja, merokok dan ponteng sekolah telah diadakan melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) cawangan Utara, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Terengganu dan pejabat Penghulu Mukim Kuala Nerus.

Remaja lelaki bunuh bapa didakwa – Bernama


Remaja lelaki bunuh bapa didakwa

10 Mei 2012

IPOH – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membunuh bapanya minggu lepas.

Remaja bawah umur itu dituduh membunuh bapanya yang berusia 40 tahun, di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai antara pukul 11.30 malam, 30 April dan 12.30 malam, 1 Mei lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof di dalam kamar Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Peguam tertuduh K.Nahtan yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya telah memohon kepada mahkamah untuk merujuk remaja itu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu itu tiba pada kira-kira 9.30 pagi di mahkamah tanpa ditemani anggota keluarganya.

Selepas pendakwaan dilakukan, remaja itu kelihatan bersahaja ketika jurugambar berpusu-pusu merakam gambarnya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang merupakan peniaga kayu ditemui mati dalam bilik tidurnya dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam dengan pisau di bahagian perutnya. – Bernama