CUEPACS syor kadar faedah rumah diturun – Utusan


CUEPACS syor kadar faedah rumah diturun

PULAU PINANG 19 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan untuk kakitangan awam daripada empat peratus kepada satu peratus.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kadar empat peratus itu membebankan khususnya bagi penjawat awam gred rendah yang menikmati gaji di bawah RM2,000 sebulan.

“Bayangkan dengan gaji sebanyak itu dan terpaksa pula membayar faedah empat peratus untuk perumahan, kadar tersebut membebankan kerana perbelanjaan lain juga meningkat.

“Tambahan pula, ketika ini harga rumah semakin mahal kerana kebanyakannya dijual antara RM150,000 dan RM400,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Balai Bomba Bayan Baru, di sini hari ini.

Menurut beliau, kajian penurunan kadar faedah itu perlu dilakukan supaya penjawat awam daripada pelbagai gred berjumlah 1.4 juta orang akan menerima manfaatnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130220/dn_11/CUEPACS-syor-kadar-faedah-rumah-diturun#ixzz2LQ4XoZ92
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cuepacs gesa kerajaan naik gred gaji guru – Sinar Harian


Cuepacs gesa kerajaan naik gred gaji guru
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
23 Julai 2012

Omar (dua, kiri) pada sidang media di Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bayan Baru, hari ini.
BAYAN BARU – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menaikkan gred gaji guru yang telah tamat pengajian dalam bidang Ijazah sejak dua tahun lalu kepada DG41 secepat mungkin.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan gred gaji guru harus dilaksanakan segera bagi menjamin kualiti pendidikan pada masa hadapan.

Katanya, perkara ini tidak harus dipandang ringan berikutan guru menjadi tunjang utama kepada pelajar untuk mendidik dan mengajar di sekolah.

“Sekiranya isu ini dipertikai, ia akan memberi kesan negatif kepada kualiti pendidikan guru.

“Cuepacs akan cuba membantu para guru menangani masalah ini secepat mungkin kerana ia melibatkan perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media di pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bayan Baru, hari ini.

Omar berkata, penangguhan kenaikan gred gaji guru dianggap tidak adil kerana mereka telah berkorban masa dan wang ringgit untuk melanjutkan pelajaran demi menambah ilmu untuk mendidik anak bangsa sendiri.

Katanya, Cuepacs belum pasti apakah masalah yang dihadapi oleh kerajaan sehinggakan terpaksa berbuat demikian.

“Kita akan meneliti dan berbincang dengan kerajaan untuk mengetahui apakah faktor utama menyebabkan guru tidak mendapat hak mereka,” katanya.

Sementara itu, Cuepacs amat mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memberikan bonus kepada kakitangan awam sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Kita ingin merasai nikmat pemberian bonus daripada kerajaan setelah dua tahun tidak menerimanya. Sebagai kakitangan awam, kita tidak mahu elaun yang diberikan sebulan dua kali iaitu RM500 pada awalnya dan selebihnya pada akhir bulan.

“Memandangkan keadaan ekonomi negara pada tahun ini baik, amat diharapkan Perdana Menteri dapat memberi bonus kepada semua kakitangan awam secara adil,” katanya.