Remaja maut nahas 2 kenderaan – Sinar Harian


Remaja maut nahas 2 kenderaan

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Mei 2013
Keadaan motosikal mangsa di tempat kejadian.
Keadaan motosikal mangsa di tempat kejadian.
Mayat mangsa
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

MACHANG – Seorang remaja maut dalam keadaan tragis selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah treler sebelum  diseret kenderaan berat itu di Kilometer 6 Jalan  Machang-Tanah Merah, malam, kelmarin.

Dalam kemalangan pada jam 9.20 malam itu, mangsa,  Tuan Mohd Arif Tuan Mahmood, 17 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di keseluruhan badan.

Ketua Polis Daerah  Machang, Deputi Superitendan, Che Malek Bedot berkata,  mangsa  yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Machang ke Tanah Merah  sebelum terlibat dalam kemalangan  berhampiran simpang empat Wakaf Bata, di sini.

Katanya, kejadian itu berlaku semasa mangsa dipercayai cuba memotong treler di hadapannya namun tidak berjaya dan bergesel sebelum terjatuh dan diseret kenderaan itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mangsa. kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ayah mangsa, Tuan Mahmood berkata, mangsa keluar selepas diajak rakan-rakannya beberapa minit sebelum kejadian itu.

“Dah ajalnya, dia sebenarnya dah tidur namun bangun dan keluar selepas beberapa rakannya datang ke rumah. Mungkin mereka keluar untuk minum bersama-sama.

“Saya mengetahui kejadian ini selepas rakannya berpatah balik ke rumah kami untuk memaklumkan kejadian ini,” katanya redha.

Mayat pelajar perempuan jatuh parit ditemui – Utusan


Mayat pelajar perempuan jatuh parit ditemui

SHAH ALAM 18 Mac – Mayat pelajar perempuan yang terjatuh bersama tiga lagi rakannya ke dalam parit besar berhampiran kunci air di Padang Jawa di sini semalam, ditemui petang ini.

Mayat Nur Alisa Balqis Mohd. Zakir, 15, yang merupakan pelajar tingkatan tiga ditemui pada pukul 6.45 petang oleh anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat yang melakukan gerakan mencari sejak semalam.

Tiga lagi rakannya termasuk dua lelaki berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Timbalan Penguasa Bomba, Muhamad Hissam Sidek berkata, mayat mangsa ditemui terapung kira-kira dua kilometer dari tempat dia terjatuh.

Beliau berkata, ketika ditemui mayat mangsa memakai baju T dan seluar jeans.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Zakir Hussin, 40, berkata, dia dan keluarganya reda dengan pemergian anak sulungnya itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, mangsa dan tiga rakannya dikatakan bermain air di kawasan parit besar yang berarus deras sebelum tergelincir dan jatuh.

Dua rakan lelaki mangsa berjaya menyelamatkan diri sementara rakan perempuannya diselamatkan oleh pasukan bomba dengan bantuan orang awam. Mangsa pula hanyut dibawa arus. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130318/je_15/Mayat-pelajar-perempuan-jatuh-parit-ditemui#ixzz2Ny3NgskF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Maut selepas pulang sekolah – Sinar Harian


Maut selepas pulang sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2013

KUALA PILAH – Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Muhammad (TMS) maut dalam satu kemalangan apabila motosikal ditunggang mangsa merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 1.5, Jalan Kuala Pilah-Tampin, dekat sini.

Kejadian yang berlaku pada 4.25 petang kelmarin menyebabkan M Kogulan, 16, maut di tempat kejadian selepas cedera teruk di kepala dan anggota lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang baru pulang dari sekolah dalam perjalanan ke Tampin.

Menurutnya, difahamkan mangsa cuba memotong sebuah lori di hadapannya sebelum merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tercampak.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan yang dikenali sebagai Tee Guan Joo tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Guan Joo dikatakan tidak sempat mengelak motosikal yang ditunggang Kogulan menyebabkan keretanya rosak teruk akibat rempuhan kuat,” katanya.

Azmi berkata, bedah siasat dilakukan lewat petang kelmarin di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

“Punca kematian masih lagi belum dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 dan lesen memandunya boleh digantung jika sabit kesalahan,” katanya.

Ibu, tiga anak ditemui rentung – Berita Harian


Ibu, tiga anak ditemui rentung

2013/02/06 – 00:28:12 AM Oleh Jalal Ali Abdul RahimCetakEmel Kawan
Sungai Siput: Seorang ibu bersama tiga anaknya rentung dalam kebakaran rumah sewanya di Taman Bukit Medan di sini, semalam, lima hari selepas suami wanita itu meninggal dunia akibat kanser paru-baru.

Mayat S Jayalatchumy, 45, dan anak lelakinya, R Suhan, 17, serta dua anak perempuannya, Puvaneswary, 21, dan Thilagawati, 23, ditemui di ruang dapur rumah berkembar setingkat oleh anggota bomba.

Mayat ditemui berdekatan antara satu sama lain, termasuk dua mayat dalam keadaan berpelukan.

Kebakaran dipercayai berlaku jam 12.10 tengah malam yang diikuti letupan sehingga mengejutkan penduduk taman berkenaan.

Mayat empat beranak itu ditemui di atas lantai ruang dapur selepas pasukan bomba berjaya memadam kebakaran pada jam 12.57 tengah malam.

Mayat dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

Suami Jayalatchumy, M Rajan, 48, meninggal dunia, Jumaat lalu. Keluarga itu menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu dirancang oleh mangsa kerana mereka dikatakan terlalu sedih selepas kematian Rajan.

Kita tidak menolak kemungkinan mangsa mengambil tindakan sendiri dan melulu kerana terlalu sedih dengan kematian suami dan bapa mereka beberapa hari lalu.

Apapun, itu satu kemungkinan saja dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut, katanya di sini, semalam.

Bedah siasat ke atas mayat empat beranak itu mengesahkan kematian akibat kebakaran teruk dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Difahamkan, sebelum ini Jayalatchumy membantu suaminya di ladang getah milik mereka. Suhan pula masih bersekolah manakala dua kakaknya tidak bekerja.

Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan kuat berpunca daripada tong gas tetapi polis dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Zon Pusat Perak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Pegawai Kanan Bomba I Rushisha Haris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.16 tengah malam.

Guru maut motosikal tembung kereta guru – Bernama


Guru maut motosikal tembung kereta guru

24 Januari 2013

MELAKA – Seorang guru sekolah rendah yang berasal dari Sabah meninggal dunia setelah motosikal yang ditunggangi terbabas di Km24.5 Jalan Melaka-Muar berhampiran Merlimau, Jasin, di sini semalam.

Jurucakap polis Jasin ketika dihubungi berkata dalam nahas pukul 5.45 petang itu, Azhar Jamboree Abdullah, 37, dari Keningau, sedang membelok ke kiri di persimpangan tiga berhampiran sebuah stesen minyak lalu bertembung sebuah kereta yang juga dipandu seorang guru.

“Mangsa yang mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan St Francis, Bandar Hilir, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala setelah tercampak dalam nahas tersebut,” katanya.

Mayat Azhar Jamboree dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan selamat dikebumikan di Kampung Serkam Pantai, Merlimau hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri juga seorang guru dan mengajar di Sekolah Menengah Dang Anum, Merlimau.

Sementara itu, di PULAU PINANG, dua beranak maut apabila kereta yang mereka naiki dihempap sebatang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang di Jalan Hutan Lipur Cheruk Tok Kun, dekat Bukit Mertajam, hari ini.

Tan Sai Lang, 70, dan anak perempuannya Heng Lee Liew, 44, menaiki Proton Satria menuju sebuah hutan lipur di jalan berkenaan untuk berjoging semasa kejadian berlaku pukul 6.30 pagi.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian. – Bernama

Guru Dan Dua Anak Maut Dihempap Konkrit Binaan Dari Lori Treler – Bernama


Guru Dan Dua Anak Maut Dihempap Konkrit Binaan Dari Lori Treler

MUAR: Seorang guru dan dua anaknya maut setelah kereta yang mereka naiki dihempap oleh konkrit binaan dari sebuah lori treler dalam kemalangan di Kilometer 22.4, Jalan Muar-Parit Sulong di Air Hitam di sini Rabu.

Ngaisah Redzuan, 46, isteri kepada anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian BakriMohd Ghazali Salamon, serta dua anaknya Mohd Nurullah Al-Azim, 12, dan PuteriBalqis Sofea, 10, terbunuh serta merta di tempat kejadian pada kira-kira pukul1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Mohd Nasir Ramli berkata kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu oleh Ngaisah hendak membelok ke rumah dan wanita itu ketika itu baru saja pulang dari mengambil dua anaknya di Sekolah Kebangsaan Bukit Naning, Batu 15.

“Secara tiba-tiba sebuah lori treler yang membawa muatan bahan binaan pasang siap telah merempuh kereta yang dipandu mangsa sebelum bahan muatan menghempap kesemua mangsa dalam kereta itu menyebabkan ketiga-tiga mereka meninggal dunia dalam keadaan mengerikan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kereta mangsa yang sedang membelok ke rumahnya di sebelah kiri jalan dari arah Air Hitam ke bandar ini.

Katanya, kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah disini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta PengangkutanJalan (APJ) 1997.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut supaya menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Muar untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Ismail Mahmood berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik saja menerima panggilan kecemasan pukul 1.30 petang.

“Kita mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat ketiga-tiga mangsa yang tersepit di dalam kenderaan akibat dihempap oleh konkrit berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ghazali yang ditemui di bilik mayat hospital berkenaan tidak dapat menahan perasaan sedih dengan kejadian menimpa anak dan isterinya sehingga terpaksa ditenangkan oleh saudara mara. BERNAMA

Dua remaja maut dirempuh kereta – Sinar Harian


Dua remaja maut dirempuh kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Januari 2013
kemalangan
Motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebelum terseret ke dalam semak.

TERAP – Dua remaja lelaki berusia 16 dan 18 tahun terbunuh apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta di Batu 10 kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa terlibat disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Menurutnya, mangsa datang dari arah Serdang menuju ke Kulim manakala kereta terlibat datang dari arah bertentangan.

“Tiba di tempat kejadian, kereta terlibat memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya bagaimanapun gagal mengelak motosikal mangsa yang datang dari arah hadapan lalu merempuhnya.

“Mangsa tercampak kira-kira 50 meter dari kereta yang merempuhnya sebelum diseret ke dalam semak. Dalam masa sama sebuah motosikal lain yang datang dari arah Serdang ke Kulim merempuh kereta berkenaan di bahagian kiri kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, kedua-dua mangsa terbunuh di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Saya ingin menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandu laju sepanjang jalan Kulim ke Terap kerana laluannya bengkang bengkok. Ini boleh mengakibatkan pemandu mudah terbabas dan sukar memberhentikan kenderaan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Remaja Diserang Sawan Ketika Menunggang Motosikal Ditemui Lemas – Bernama


Remaja Diserang Sawan Ketika Menunggang Motosikal Ditemui Lemas

SETIU: Seorang remaja lelaki ditemui lemas di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Kampung Bukit-Kampung Las, Sungai Tong di sini semalam dikatakan akibat diserang sawan ketika menunggang motosikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu Muhamad Shahrin Shafie, 16, terbabas ke dalam sebuah lopak setelah diserang penyakit itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abd Rahman Raja Mohamad berkata beberapa penduduk kampung yang melalui kawasan itu tidak lama kemudian ternampak motosikal mangsa terbenam dalam lopak yang terbentuk selepas hujan lebat.

Berdasarkan nombor plet motosikal, penduduk kampung memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa.

Penduduk kampung kemudian menjalankan operasi mencari di lokasi kejadian sebelum menemui mangsa terbenam di dasar lopak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa diserang sawan ketika menunggang motosikal menyebabkan dia terbabas lalu terjatuh ke dalam lopak air,” kata Abd Rahman kepada pemberita di sini, Rabu.

Hasil laporan bedah siasat di Hospital Setiu menunjukkan mangsa mati akibat lemas. -BERNAMA

Mati enggan sekolah petang – Metro


Mati enggan sekolah petang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MIRI: Seorang pelajar tingkatan dua yang sebelum ini menyuarakan keengganannya ke sekolah pada sesi petang kerana adik-beradiknya yang lain bersekolah pagi, ditemui mati tergantung di tingkap bilik di rumahnya di Desa Pujut, di sini, semalam.

Alexander Ajang, 14, yang juga anak kedua daripada empat beradik itu ditemui tergantung dengan leher dijerut tuala dan baju yang diikat pada jeriji tingkap oleh bapanya, jam 12 tengah hari.
Ibu saudara mangsa, Roselind, 32, berkata, kematian mangsa amat mengejutkan kerana sejam sebelum kejadian, dia bersikap seperti biasa ketika membuka pintu rumah untuk bapanya berusia 40-an yang pulang untuk menghantarnya ke sekolah.

 

“Sebaik bapanya yang juga abang saya tiba di rumah, dia berehat di rumah tamu dan menyuruh anaknya itu mandi serta memakai seragam untuk ke sekolah.
“Tapi, selepas setengah jam dia masih tidak keluar dari bilik biarpun ayahnya memanggil namanya beberapa kali. Sebaik pintu bilik dibuka, ayahnya terkejut melihat dia tergantung di tingkap bilik dan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut wanita itu, sehari sebelum kejadian, mangsa memberitahu tidak mahu ke sekolah kerana abang serta adik-beradiknya yang lain bersekolah sesi pagi dan hanya dia pada sesi petang.

 

 

“Bagaimanapun, semua ahli keluarga lain tidak mengendahkan kata-katanya kerana menganggap itu perkara biasa saja. Kami tidak menyangka dia akan mengambil tindakan drastik seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Remaja diserang sawan ditemui lemas – Bernama


Remaja diserang sawan ditemui lemas

2 Januari 2013

SETIU – Seorang remaja lelaki ditemui lemas di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Kampung Bukit-Kampung Las, Sungai Tong di sini semalam dikatakan akibat diserang sawan ketika menunggang motosikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu Muhamad Shahrin Shafie, 16, terbabas ke dalam sebuah lopak setelah diserang penyakit itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abd Rahman Raja Mohamad berkata beberapa penduduk kampung yang melalui kawasan itu tidak lama kemudian ternampak motosikal mangsa terbenam dalam lopak yang terbentuk selepas hujan lebat.

Berdasarkan nombor plet motosikal, penduduk kampung memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa.

Penduduk kampung kemudian menjalankan operasi mencari di lokasi kejadian sebelum menemui mangsa terbenam di dasar lopak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa diserang sawan ketika menunggang motosikal…menyebabkan dia terbabas lalu terjatuh ke dalam lopak air,” kata Abd Rahman kepada pemberita di sini hari ini.

Hasil laporan bedah siasat di Hospital Setiu menunjukkan mangsa mati akibat lemas.  – Bernama