Bekas pekerja kilang dibebas dan dilepas tuduhan rogol – Sinar Harian


Bekas pekerja kilang dibebas dan dilepas tuduhan rogol

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mac 2012
Bekas pekerja kilang dibebas dan dilepas tuduhan rogol

ALOR SETAR – Seorang pekerja kilang menangis kegembiraan setelah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, dari disabitkan dengan tuduhan rogol, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, membuat keputusan berkenaan selepas mempertimbangkan keterangan mangsa tidak berlaku persetubuhan semasa malam kejadian sebaliknya hanya berasmara.

Sebelum ini, pada 3 November 2011, hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dari tarikh berkenaan ke atas Mohamad Khairul Ya’kob, 21, yang didakwa merogol seorang gadis yang ketika itu berumur 15 tahun.

Kejadian berlaku di sebuah rumah, Taman Kobis, Lunas, Kulim lebih kurang jam 12.15 pagi pada 1 Oktober 2009 dan dia dituduh mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Keputusan berkenaan sekaligus membenarkan rayuan dibuat oleh Mohamad Khairul untuk mengetepikan keputusan dibuat di Mahkamah Sesyen.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata, semasa keterangan dibuat tidak menunjukkan mangsa berada dalam keadaan tertekan dan keliru.

Mohamad Khairul diwakili peguam RSN Rayer dan pendakwaan dilakukan Wan Nor Hasnita Wan Daud.