Kementerian Pelajaran mahu libatkan swasta jayakan program pendidikan – Bernama


Kementerian Pelajaran mahu libatkan swasta jayakan program pendidikan

15 Oktober 2012
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

LANGKAWI – Kementerian Pelajaran akan mengambil satu pendekatan bagi menjayakan program-program pembangunan pendidikan negara dengan melibatkan penyertaan syarikat-syarikat korporat dan berkaitan kerajaan (GLC).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata melalui pendekatan itu syarikat-syarikat terbabit akan membantu dengan menaja program-program untuk manfaat pelajar.

“Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih di peringkat perbincangan dengan beberapa syarikat besar (berhubung perkara itu),” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan basikal bukit disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Basikal berharga lebih RM5,500 sumbangan penganjur kejohanan Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2012, Human Voyage Sdn Bhd disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Malik Mydin kepada Dr Mahathir yang kemudiannya menyerahkan kepada Puad dan Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim.

Tiga puluh basikal tersebut adalah untuk enam buah sekolah menengah di Langkawi dan 30 lagi untuk polis Langkawi.

Puad berkata sumbangan basikal itu membolehkan pihak sekolah melaksanakan aktiviti kokurikulum.

Pada majlis itu, Dr Mahathir menasihatkan orang ramai supaya melibatkan diri dengan aktiviti berbasikal kerana selain menjaga kesihatan mereka juga dapat memelihara alam sekitar.

“Ramai rakyat Malaysia menjadi semakin gemuk kerana kurang berjalan dan beriadah. Berbasikal dapat mengurangkan obesiti,” katanya.
– Bernama

Nelayan dan isteri tabah besarkan dua anak OKU – Bernama


Nelayan dan isteri tabah besarkan dua anak OKU

12 Oktober 2012

KEPALA BATAS – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah pepatah yang sesuai buat pasangan suami isteri apabila dua daripada tiga anak mereka cacat sejak dilahirkan.

Rosli Man, 48, yang bekerja sebagai nelayan berkata beliau dan isterinya, Nor Zaha Rejab, 46, hanya mampu memendam hiba tidak berkesudahan setiap kali menatap kesengsaraan anak sulung mereka Mohd Rafizudin, 18, dan anak bongsu Nor Rahimah, 14.

Keadaan dua beradik itu tidak ubah seperti bayi kerana hanya mampu berbaring dengan kedua tangan dan kaki membengkok.

“Saiz mereka seperti kanak-kanak berusia satu tahun dan doktor mengesahkan otak mereka tidak berkembang, dan disebabkan itulah tidak boleh bergerak dan bercakap,” kata Rosli kepada pemberita di rumahnya di Sri Pantai, Penaga.

Rosli ditemui selepas menerima bantuan enjin bot daripada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Program Tinjauan Mesra ‘Jom P Bantu’ anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Nor Zaha, seorang surirumah, menceritakan penderitaan dua beradik itu yang bermula apabila dilahirkan lebih kecil berbanding bayi lain, dan cacat selepas sering diserang sawan.

Beliau berkata doktor juga memaklumkan anaknya cacat berikutan masalah genetik kerana dia dan suaminya adalah sepupu.

“Kini segala keperluan mereka seperti makan, minum dan pakai diuruskan oleh saya kerana Rafizudin dan Rahimah memang tidak boleh menguruskan diri sendiri.

Bagaimanapun, saya menerima keadaan ini dengan reda dan tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku,” katanya.

Pasangan itu mempunyai seorang lagi anak iaitu Janatul Naim, 16, yang normal dan tidak menghadapi masalah genetik.

Beliau berkata dua anaknya itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan untuk sepanjang hayat.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak, terutama Perda, yang memberi bantuan enjin bot untuk memudahkan suami saya turun ke laut menangkap ikan,” katanya.

Sementara itu, Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, berharap sumbangan tersebut dapat membantu keluarga berkenaan menambah pendapatan bagi menyara kehidupan mereka.- Bernama

Remaja dipelawa tulis esei hak sebagai rakyat – Bernama


Remaja dipelawa tulis esei hak sebagai rakyat
2012/06/21
DR MAHATHIR, Presiden dan Pengurus Besar Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (kanan) dan Nik Mohamed pada pelancaran pertandingan di Kuala Lumpur, semalam.
PUTRAJAYA: Golongan muda Malaysia dalam lingkungan usia 13 hingga 25 tahun dipelawa menulis esei dan blogspot mengenai hak dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara pada Pertandingan Esei Yayasan Maybank-Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) 2012.

Pengarah Eksekutif YKP, Tan Sri Nik Mohamed Nik Yaacob, berkata pertandingan yang dianjurkan dua tahun sekali sejak 2006 adalah bagi membolehkan suara dan pandangan belia didengar, khususnya bagaimana penduduk dapat menjamin masa depan yang makmur dan cerah untuk negara.
Beliau berucap pada pelancaran pertandingan itu oleh bekas perdana menteri dan Presiden Kehormat YKP Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, semalam.
Pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu: Kategori A untuk mereka berusia 13 hingga 17 tahun dan Kategori B antara 18 hingga 25 tahun, dengan tema ‘Membentuk Negara: Hak dan Tanggungjawab kita sebagai Warga.’ Pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu: Kategori A untuk mereka berusia 13 hingga 17 tahun dan Kategori B antara 18 hingga 25 tahun, dengan tema ‘Membentuk Negara: Hak dan Tanggungjawab kita sebagai Warga.’

Peserta boleh menulis sama ada dalam format esei atau blogspot dalam bahasa Melayu atau Inggeris, namun mereka digalakkan menulis dalam Inggeris.

Pertandingan berlangsung mulai semalam hingga 30 Oktober.

Pemenang hadiah utama pertandingan berpeluang menerima wang tunai RM8,000, sebuah iPad 2 dan E-Book Reader serta baucar buku.
Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh diperoleh melalui laman web di http://perdanaessaycompetition.com.my atau telefon 03-8885 8900 atau e-mel essay2012@perdana.org.my – BERNAMA

Sistem pendidikan diperkasa – Berita Harian


Sistem pendidikan diperkasa

Daripada Fadzlena Jafar di Abu Dhabi
fadzlena@bharian.com.my
2012/05/10

MUHYIDDIN dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman   beramah mesra dengan murid Sekolah Al Mushrif ketika melawat  sekolah berkenaan di Abu Dhabi, kelmarin.

MUHYIDDIN dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman beramah mesra dengan murid Sekolah Al Mushrif ketika melawat sekolah berkenaan di Abu Dhabi, kelmarin.

Kerajaan beri keutamaan tingkat mutu capai bertaraf dunia: Muhyiddin

USAHA meningkatkan kualiti sistem pendidikan supaya bertaraf dunia menjadi keutamaan kerajaan bagi memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi pada 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sistem pendidikan di sesebuah negara perlu terus berkembang untuk kekal bersaing dalam dunia yang sentiasa berubah selain berupaya memenuhi aspirasi negara.

“Sebagai pemimpin hari ini, menjadi tanggungjawab kerajaan dalam memastikan generasi muda hari ini dapat melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Oleh itu, setiap kerajaan yang efektif perlu membabitkan semua sektor untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam membantu menjayakan transformasi sistem pendidikan termasuk mengambil kira pandangan mereka dalam membentuk hala tuju pendidikan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Leading Across – How Do Effective Government Leaders Engange Across Sectors? pada Sidang Kemuncak Mentransformasikan Pendidikan (TES) anjuran Majlis Pelajaran Abu Dhabi (ADEC) di sini, semalam.

Persidangan yang julung kali diadakan itu dinaungi Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang juga Pengerusi ADEC merangkap Timbalan Ketua Pemerintah Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kira-kira 200 pakar dalam bidang masing-masing termasuk pemimpin, ahli akademik dan penggiat dalam sektor swasta dijemput menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Selain Muhyiddin, turut menyampaikan ucaptama pada TES bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown; bekas Presiden Finland, Tarja Halonen dan bekas Menteri Pelajaran Ireland, Mary Hanafin.

Muhyiddin yang turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam membangunkan sistem pendidikan sejak mencapai kemerdekaan berkata, kerajaan perlu menangani pelbagai cabaran bagi melaksanakan program bersesuaian membabitkan semua pihak berkepentingan.

“Ketika ini, ada 400,000 guru, lebih lima juta pelajar di 10,000 sekolah dan 27 juta rakyat merangkumi pelbagai etnik, agama dan latar belakang sosial di Malaysia.

“Oleh itu, cabaran utama dalam menjayakan transformasi untuk mengimbangi dan mencari kesamaan di kalangan setiap pihak ini untuk melaksanakan program serta polisi bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berasingan, beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji kemampuan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid bagi membolehkan generasi muda hari ini bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kita sudah biasa dengan (pengajaran) dwibahasa di sekolah di negara ini dan kajian sedang dijalankan sama ada kita boleh menggalakkan pengajaran multi bahasa,” katanya kepada wartawan Malaysia sejurus melakukan lawatan ke Sekolah Al Mushrif di sini, kelmarin.

300 pelajar terima komputer 1Malaysia – Bernama


300 pelajar terima komputer 1Malaysia

18/03/2012 2:36pm

 

KEPALA BATAS 18 Mac – Seramai 300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemilang dan SMK Agama Al-Irshad menerima komputer riba yang diagihkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi Projek Pengagihan Komputer 1Malaysia.

Bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, program itu merupakan satu daripada pelan kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah negara.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana ramai pelajar di Parlimen Kepala Batas menerima komputer riba 1Malaysia untuk kemudahan dan kegunaan mereka di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia di sini hari ini.

Beliau percaya komputer yang diberikan secara percuma itu akan meningkatkan keupayaan dan prestasi pelajar dalam usaha kerajaan menjana modal insan yang cemerlang serta berpengetahuan luas.

“Pelajar adalah modal insan masa hadapan negara kerana bakal menjadi satu kekuatan kepada negara, justeru pemberian komputer ini adalah perlu untuk membantu meningkatkan prestasi serta nilai tambah iaitu pengetahuan yang luas kepada pelajar-pelajar terutama dalam bidang teknologi maklumat.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, pelajar mesti berpegang kuat dengan budaya untuk meningkatkan penguasaan ilmu kerana melalui kemajuan teknologi yang tinggi tahap keupayaan juga akan lebih besar. -BERNAMA

Tiada cadangan kurangkan cuti umum: Muhyiddin – Bernama


Tiada cadangan kurangkan cuti umum: Muhyiddin

2012/03/04

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiada cadangan untuk mengurangkan jumlah cuti umum apabila cadangan gaji minimum dilaksanakan kerana pendirian itu diyakini sudah mengambil kira aspek produktiviti.

Beliau berkata apa yang penting adalah untuk semua pihak meningkatkan produktiviti supaya ekonomi negara dapat terus berkembang.

“Ada beberapa perkara yang kita percaya perlu diberi perhatian kalaupun gaji minimum nanti akan ditetapkan.

“Semua pihak ada peranan masing-masing supaya ekonomi terus berkembang, rakyat dapat faedah daripadanya dan tidak bawa kesan yang boleh menjejaskan pertumbuhan dan sebagainya. Itu kita ambil kira sebab kajian sudah dibuat agak mendalam sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan yang disuarakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata produktiviti rakyat akan menurun memandangkan jumlah cuti umum yang terlalu banyak di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam pula dilaporkan berkata dasar mengenai gaji minimum pekerja sektor swasta dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan ini.

Muhyiddin berkata butiran mengenai dasar gaji minimum itu akan diumumkan Najib tidak lama lagi.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan tersebut sebaliknya mendapatkan persetujuan dengan pihak yang terbabit dalam pelaksanaan tersebut termasuklah majikan dan kumpulan pekerja.

“Semua faktor, kos hidup, inflasi dan pembelaan dari segi wilayah seperti Sabah dan Sarawak, Semenanjung, keupayaan majikan untuk bayar dan kesan kepada ekonomi, itu sudah kita ambil kira. Apapun bila sampai masanya, perkara ini akan dijelaskan secara terperinci apa yang telah diputuskan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa dasar penswastaan yang diamalkan kerajaan sebagai ‘privatising profit, socialising losses’ (keuntungan penswastaan, kerugian bersosial), Muhyiddin berkata kerajaan mempunyai asas dan pertimbangan dalam melaksanakan dasar tersebut.

Katanya pelaksanaan dasar tersebut sudah memberikan impak yang baik dalam kehidupan rakyat, serta tidak dapat dielakkan kerana kerajaan mahu pihak swasta memainkan lebih banyak peranan pada masa akan datang.

“Sebahagian daripada pertumbuhan yang kita lihat dalam negara adalah hasil daripada dasar penswastaan. Bukan sekarang, pada masa lalu pun begitu.

“Ia bukan sahaja penswastaan, ia adalah peranan sektor swasta yang ingin ditekankan dalam ETP (Program Transformasi Ekonomi). Ini akan jadi pemacu utama sosio-ekonomi negara. Sektor swasta akan menjadi enjin pertumbuhan. Kerajaan akan menjadi fasilitator dan pemudah.

“Mungkin penswastaan kurang dan peranan sektor swasta ditingkatkan bagi menyediakan apa jua kemudahan yang diperlukan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata keputusan untuk mendakwa pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) terletak di tangan Peguam Negara.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan tidak adil bagi mana-mana pihak membuat andaian awal tentang sesuatu perkara yang belum tentu akan terjadi.

“Lebih baik kita tunggu keputusan (Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail). Bila AG (peguam negara) sudah buat keputusan, itu kita akan terima, dan selepas itu kalau dia dibawa ke mahkamah atau tidak itu akan diputuskan, mahkamah pula ada sistem untuk bicarakan.

“Kita tidak boleh buat sesuatu ramalan di peringkat yang kita tahu masih belum selesai. Bagi saya biarkan (perkara) ini diserahkan kepada peguam negara, nanti beliau akan buat keputusan yang sewajarnya,” katanya ketika diminta mengulas cadangan polis untuk mendakwa pengarah-pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah. – BERNAMA

CUEPACS mahu tarikh kuat kuasa SBPA kekal 1 Januari – Bernama


CUEPACS mahu tarikh kuat kuasa SBPA kekal 1 Januari

2012/02/20

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu tarikh kuat kuasa Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dikekalkan pada 1 Januari lalu dan tunggakan gaji dibayar kepada semua penjawat awam dari tarikh itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata permintaan itu adalah wajar kerana kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh kuat kuasa SBPA bermula 1 Januari tetapi pelaksanaan sahaja ditangguhkan berikutan semakan semula beberapa perkara dalam skim baru itu.

“Jadi permintaan CUEPACS ialah supaya tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari itu dikekalkan. Itu yang kita mahu.

“Ia juga adalah satu perbincangan sewaktu saya bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tempoh hari. Jadi kekalkan tarikh kuat kuasa itu, tangguh pelaksanaan, semak semula dan sehingga dapat penyelesaian dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yakin lima tuntutan CUEPACS dapat diterima selepas pembentangan kertas cadangannya kepada pasukan petugas khas semakan semula SBPA pada mesyuarat ketiganya yang dijadualkan Rabu ini.

Lima tuntutan CUEPACS itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Omar berkata, satu perhimpunan besar membabitkan penjawat awam dari semua gred akan diadakan pada akhir bulan depan bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai intipati SBPA.
Terdahulu, beliau bersama anggota Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) mengunjungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini. – BERNAMA

Bakti sumbang kaki palsu kepada 4 pelajar mangsa kemalangan – Utusan


Bakti sumbang kaki palsu kepada 4 pelajar mangsa kemalangan

ROSMAH Mansor bersama Noorainee Abdul Rahman dan Siti Hasmah Mohamad Ali bermesra dengan Mohammad Shahrul Nizam Yahya (kanan), Muhd. Hasryani (dua dari kanan), Muhammad Muazs (tengah) dan Muhamad Haqimie di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

 

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) hari ini menyumbang kaki palsu kepada empat pelajar yang kehilangan kaki akibat kemalangan jalan raya.

Sumbangan itu disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi penyerahan surat persetujuan membeli kaki palsu pada satu majlis di Bangunan Bakti Siti Hasmah hari ini.

Rosmah, yang juga Yang Dipertua Bakti berkata, sumbangan itu sebahagian daripada program kebajikan badan tersebut untuk membela golongan kurang bernasib baik.

“Kami berharap penyerahan sumbangan itu dapat mengubah kehidupan pelajar berkenaan untuk menjalani kehidupan normal seperti rakan-rakan sebaya lain dan dapat meringankan beban ahli keluarga mangsa,” katanya semasa berucap pada majlis itu.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Empat penerima bantuan tersebut ialah Muhammad Muasz Mohd. Mokhtar, 15, yang menerima bantuan kaki palsu bernilai RM7,800, Mohammad Shahrul Nizam Yahya, 16, (RM6,800), Muhd. Hasryani Mokhtar, 17, (RM7,800) dan Muhamad Haqimie Hasim, 20, (RM10,800).

Rosmah berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat diharap terus memberi perhatian terhadap golongan kurang bernasib baik.

“Saya percaya peranan NGO telah membantu meringankan beban kerajaan, masyarakat serta ibu bapa dan jika kesedaran ini diperluas maka ramai lagi golongan kurang bernasib baik mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Muhamad Haqimie gembira dan bersyukur kerana bantuan tersebut membantunya berjalan semula.

“Sejak kemalangan Jun lepas, saya tidak dapat berjalan setelah kehilangan kaki kiri dari pangkal paha.

“Bantuan ini akan memudahkan urusan harian dan menjadi pemangkin kepada diri untuk terus berjaya melengkapkan pengajian,” katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Senibina, Universiti Teknologi Mara itu terpaksa mengambil cuti kecemasan selama satu semester akibat kemalangan itu.

Seorang lagi penerima, Mohammad Sharul berkata, bantuan kaki palsu itu akan memudahkan pergerakannya yang selama ini bergantung kepada tongkat.

“Saya tidak akan patah semangat dan terus berusaha mencapai cita-cita serta menjalani kehidupan normal seperti orang lain,” ujarnya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra, Segamat, Johor.