Rogol ramai-ramai, dua lagi dijel – Sinar Harian


Rogol ramai-ramai, dua lagi dijel
KHALILAH GUSTI HASSAN
31 Julai 2012
SHAH ALAM – Susulan kejadian rogol beramai-ramai pada bulan Ramadan dua tahun lalu terhadap seorang pelajar berusua 16 tahun, dua lagi dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kedua-duanya yang bekerja di kilang membaiki piano merogol remaja itu ketika mangsa tidak sedarkan diri selepas diberikan dadah dan alkohol ke dalam minumannya, tanpa disedari.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan terhadap Majirin Masungkit, 31, manakala rakannya, Saladin Ajim, 33, dikenakan 10 tahun penjara dan tiga sebatan kerana bersubahat dengan Majirin.

Saladin merupakan bapa kepada empat anak.

Hakim turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tangkap kedua-dua tertuduh iaitu pada 28 Ogos 2010.

Majirin mengaku salah merogol mangsa di tingkat atas rumah kedai di sebuah taman perumahan di Serendah, antara jam 4 pagi dan 10.30 malam pada 27 Ogos 2010.

Saladin pula mengaku salah bersubahat dengan Majirin dan dua lagi rakan mereka merogol pelajar itu di tempat dan pada masa sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mereka yang berasal dari Sabah menukar pengakuan selepas selepas 11 saksi pendakwaan tampil memberi keterangan.

Sebelum ini, Slamat menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan masing-masing terhadap dua lagi rakan tertuduh, Mohamad Yasar Wandi Modin, 22, dan Suhimin Tius, 21 yang mengaku salah merogol remaja sama.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.

Fakta kes menyebut mangsa dihubungi teman lelakinya, Mohamad Yasar untuk bertemu di warung bersama-sama Suhimin.

Selepas minum mangsa pitam dan apabila tersedar dia dalam keadaan bogel dikelilingi lima lelaki juga bogel, yang sedang tidur.

Mangsa cuba melarikan diri, tetapi terlanggar botol arak menyebabkan rakan teman lelakinya tersedar.

Mereka kemudian mengikat remaja itu dan dan menindih kakinya dengan batu, sebelum merogolnya beberapa kali pada pagi, tengah hari dan malam.

Salah seorang daripada mereka mentertawakan mangsa yang melawan sebelum merogol remaja itu secara bergilir-gilir.

Mangsa dibiarkan keletihan tanpa diberi makan atau minum sehingga dia berjaya melepaskan diri.

Gerak hati seorang bapa – Sinar Harian


Gerak hati seorang bapa

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mei 2012

BATU PAHAT – Gerak hati seorang bapa berjaya mengelakkan kejadian yang tidak diingini menimpa tiga anaknya apabila rumah yang didiami musnah dalam kebakaran kira-kira jam 10 pagi semalam, di Kampung Parit Nipah Darat, di  sini.

Mangsa, Rosmani Sharif, 39, berkata, pada kebiasaannya, dia ke kebun bagi melakukan kerja-kerja harian sendirian tanpa ditemani anak-anaknya. Namun pada pagi tersebut katanya, dia berasa tidak sedap hati ketika hendak keluar rumah, lalu mengejutkan semua tiga anaknya yang sedang tidur dan mengajak mereka ke kebun.

“Saya dan anak-anak kemudiannya pergi ke kebun yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah dan turut ditemani ibu (Sarmi Madi, 68),” katanya. Rosmani berkata, dia mula melakukan rutin kerjanya seperti biasa di kebun, manakala anak-anaknya asyik bermain di satu sudut lain kawasan kebun sawitnya itu.

Adnan (kanan) menyampaikan bantuan dari JKM ke Rosmani (dua, kiri). Rosmani melihat kediamannya yang hangus terbakar. “Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi, saya menerima panggilan telefon daripada jiran dan mengatakan  kediaman kami terbakar.

“Saya yang terkejut segera bergegas pulang sebelum mendapati api sudah marak dan memusnahkan lebih separuh rumah kami,” katanya. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat.

Tiga anak mangsa yang terselamat, Mohd Osama Rizal, 10, Mohd Jebat Rafiqi, 5 dan Mohd Megat Raizzudin, 3. Dia kemudiannya menghubungi isterinya, Rozita Abdul Samad, 35, yang bekerja di kilang berhampiran untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Kebakaran yang melibatkan rumah pusaka yang berumur lebih 70 tahun itu turut memusnahkan wang simpanan ibunya yang bakal digunakan untuk ke tanah suci Makkah. Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu  Pahat, Adnan Md Yassin datang melawat keluarga mangsa kira-kira jam 12 tengah hari  dan turut memberikan sumbangan kecemasan sebanyak RM300a.  “Selain sumbangan wang tunai, kami (JKM) turut memberikan beberapa  barangan asas lain seperti selimut, beras dan sebagainya kepada keluarga mangsa,” katanya.