Bekerjasama bentuk akhlak anak-anak – Shahrizat – Utusan


Bekerjasama bentuk akhlak anak-anak – Shahrizat

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Institusi kekeluargaan dan pendidikan perlu bekerjasama di peringkat sekolah bagi melahirkan modal insan berakhlak mulia yang mampu menangkis pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kerjasama itu akan membantu anak-anak menangkis perkara negatif menerusi nilai-nilai terpuji yang disemai sedari kecil lagi.

“Kerjasama erat ini saling melengkapi kerana ibu bapa mempunyai jadual yang sibuk dengan komitmen lain dan sekolah boleh membantu meringankan beban mendidik anak-anak.

“Kanak-kanak perlu diberikan perhatian yang sewajarnya kerana mereka peneraju generasi pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis serahan Tabung Bantuan Somalia NSTP-Media Prima Berhad di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di sini, hari ini.

Derma terkumpul RM3,000 itu adalah hasil sumbangan ibu bapa, pelajar dan guru serta kakitangan sekolah tersebut.

Pada majlis itu, kementerian turut memperuntukan RM20,000 untuk aktiviti sekolah dan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Menurut Shahrizat, PIBG turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi sesebuah sekolah.

“Ia menjadi pengantara kepada ibu bapa untuk menyuarakan pandangan bagi menambah baik prestasi anak-anak dan sekolah. Gabungan ini juga akan membentuk persekitaran yang baik untuk kecemerlangan pelajar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, usaha murni menderma bukan hanya bertujuan mengumpul wang, malah memupuk semangat untuk membantu insan yang memerlukan sejak dari kecil lagi.

“Kita puji sikap dan inisiatif yang diambil oleh pihak sekolah untuk membantu rakyat Somalia yang menghadapi masalah kekurangan makanan dan kesihatan,” jelasnya.