Belasah dalam tandas sekolah – Metro


Belasah dalam tandas sekolah

 0  0 Google +0  0  0

Dipukul, ditumbuk dan ditendang. Itulah ‘hadiah’ yang diterima seorang pelajar sebuah sekolah menengah, hanya kerana menegur jam tangan rakannya itu terkena najis dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Pulau Indah, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu dipukul lima rakan sekolahnya yang tidak berpuas hati dengan teguran mangsa yang dianggap sengaja mempersendakannya.
Akibat digusti dalam tandas sekolah berkenaan, mangsa cedera termasuk bengkak di beberapa badan termasuk muka, mulut dan hidung.

 

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jamilah, 47, berkata, anaknya dipukul lima pelajar selepas ditarik ke dalam tandas.
Dia berkata, anaknya tidak dapat melawan kerana jumlah pelajar yang memukulnya ramai dan bimbang dicederakan lebih teruk lagi sekiranya cuba mempertahankan diri.
“Selepas dipukul, ditumbuk dan disepak bertubi-tubi, anak saya akhirnya tidak dapat menahan kesakitan dan menjerit agar perlakuan lima rakannya itu diketahui pelajar lain.

 

“Jeritan anak menyebabkan pelajar terbabit berhenti memukulnya namun sebelum beredar, seorang daripada mereka mengugut memukulnya semula sekiranya memaklumkan kejadian itu kepada guru dan keluarga,” katanya.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas diberitahu seorang lagi anaknya ketika mengambil adiknya itu pulang dari sekolah pada jam 6.45 petang.

 

Dia yang terkejut dengan kejadian itu tidak menyangka pelajar sekolah berkenaan sudah berani bertindak samseng hanya kerana perselisihan faham.
Menurutnya, bimbang anaknya terus menjadi mangsa, dia membuat laporan di Balai Polis Pandamaran sebelum kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
Selepas keterangan diambil, anaknya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.
“Saya bersyukur kerana laporan dikeluarkan doktor mengesahkan anak saya hanya mengalami bengkak dan lebam pada bahagian badan,” katanya.
Katanya, dia sudah bertemu dengan pihak pengurusan sekolah bagi mengetahui tindakan disiplin yang akan diambil untuk memastikan kejadian sama tidak berulang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, polis akan berjumpa guru disiplin sekolah terbabit untuk membincang mengenai kejadian itu dan meminta semua pihak terbabit menyelesaikan perkara itu secara baik.
“Kami harap ibu bapa pelajar dan pihak sekolah dapat selesaikan masalah secara rasional memandangkan mereka masih bersekolah.
“Saya nasihatkan ibu bapa sentiasa mengawasi tindak tanduk dan pergaulan anak mereka. Guru juga tidak terkecuali untuk memantau setiap pergerakan pelajar di sekolah,” katanya.