Belasah pelajar menang pingat emas – Metro


Belasah pelajar menang pingat emas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun layak dipanggil samseng apabila membelasah pelajar lelaki berusia 17 tahun sehingga patah tulang belakang semata-mata tidak berpuas hati kerana pelajar itu memenangi pingat emas dan perak kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di sebuah sekolah menengah di Jeli, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Melintang, Jeli, ditahan remaja berkenaan selepas tamat kejohanan kerana tidak berpuas hati dengan pencapaian cemerlang mangsa memenangi satu pingat emas dan dua pingat perak. Remaja itu yang juga bekas pelajar sekolah menengah yang menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan berang apabila wakil sekolahnya tidak menang lalu memukul serta menendang belakang mangsa sebelum melarikan diri.
Seorang guru yang melihat mangsa terbaring kesakitan membawanya ke Hospital Jeli untuk dirawat dan doktor mengesahkan pelajar itu patah tulang belakang.

 

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar, berkata mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Jeli.
“Selepas kejadian, rakan perempuan mangsa berusia 13 tahun membuat laporan polis dan kita segera melakukan siasatan.
“Dalam tempoh dua jam selepas laporan diterima, suspek ditahan di rumahnya di kawasan perumahan dekat Bandar Jeli dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

 

Menurut Sheik Azhar, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana dia memenangi banyak pingat dalam kejohanan berkenaan.