54, 697 calon duduki STPM mulai Isnin – Bernama


54, 697 calon duduki STPM mulai Isnin

16 November 2012

KUALA LUMPUR – Seramai 54,697 calon akan menduduki peperikasaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 di 760 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 19 Nov hingga 13 Dis depan.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu, seramai 49,163 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,186 calon sekolah swasta, 4,224 calon persendirian individu dan 124 calon sekolah kerajaan negeri.

“Mereka merupakan calon kohort terakhir yang akan menduduki peperiksaan STPM sedia ada.

“Calon kohort pertama peperiksaan STPM berdasarkan sistem pentaksiran baharu STPM telah pun menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2013 mereka pada 5 hingga 8 Nov lepas,” kata MPM.

Kesemua calon dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung dan digalakkan untuk menyemak nama pusat peperiksaan yang akan mereka duduki.

Calon juga boleh mencetak LPKC masing-masing melalui portal MPM di http://www.mpm.edu.my.

Sekiranya berlaku sebarang bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh sehingga menyebabkan calon menghadapi kesukaran untuk sampai ke pusat peperiksaan, mereka dinasihati pergi ke pusat peperiksaan berdekatan untuk menduduki kertas peperiksaan pada hari tersebut.

MPM juga membuka Bilik Gerakan yang boleh dihubungi di talian 03-61302666, 03-61369663, 03-61302664 atau 03-61302646 dari 7 pagi hingga 6 petang.- Bernama

Tabung khas bantu pelajar – Metro


Tabung khas bantu pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KUBU BARU: Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) akan melancarkan tabung bencana alam khas membantu pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baru yang tinggal sehelai sepinggang, berikutan kebakaran di asrama maktab itu, kelmarin.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, seramai 40 pelajar daripada 429 yang tinggal sehelai sepinggang perlu dibantu segera selepas pakaian mereka musnah dalam kebakaran itu.
Katanya, sembilan kolej cawangan KPTM akan digerakkan untuk menjalankan kutipan dana berkenaan.

 

“Pelajar terbabit juga akan dibekalkan satu set persalinan pakaian baru dalam masa terdekat sebelum menerima sumbangan dana KPTM itu,” katanya ketika melawat pelajar terbabit di sini, semalam.
Dalam kejadian 9.30 malam kelmarin, sembilan bilik asrama lelaki blok K asrama itu musnah dijilat api ketika penghuninya mengulang kaji di bilik kuliah terletak 100 meter dari situ.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

Warga sekolah bertempiaran, bumbung bangunan diterbangkan ribut – Bernama


Warga sekolah bertempiaran, bumbung bangunan diterbangkan ribut
2012/06/27

BANDAR BAHARU: Kira-kira 200 warga Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Tajuddin di sini, lari bertempiaran apabila bumbung bangunan dua tingkat sekolah diterbangkan ribut dalam satu kejadian hari ini.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, pelajar tingkatan enam, guru serta warga pentadbiran sekolah terbabit terpaksa berlari keluar dari bangunan berkenaan selepas bumbung tercabut.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Johari Said berkata, kejadian ribut selama 20 minit terbabit turut menyebabkan bumbung bangunan asrama sekolah rosak akibat ditimpa dua batang pokok.
Kejadian turut menyebabkan beberapa batang pokok hiasan yang ditanam di kawasan sekolah tumbang, katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, 10 buah rumah di Kampung Permatang Pasir, Kampung Keda dan Kampung Banggul Mat Rashid di sini turut mengalami kerosakan dengan tiga daripadanya rosak teruk selepas bumbung diterbangkan angin kuat berkenaan.

Seorang mangsa Halijah Mentor, 59, berkata ketika kejadian, beliau sedang memasak apabila bumbung di bahagian dapur dan ruang tamu rumahnya diterbangkan angin.

Turut berada di rumah ketika itu ialah suaminya Ismail Abdul Latiff, 67, anak mereka Siti Fatimah, 21 dan seorang cucu lelaki berusia 10 tahun, katanya. Seorang lagi manga, Hindun Darus, 74, berkata ketika kejadian beliau sedang berehat di bahagian dapur rumah sementara menantunya Zailawati Abu Hasan, 30, sedang memasak dan anaknya lelakinya Nasruh Johan, 33, sedang berehat.

“Tiba-tiba anak saya mengejutkan saya memberitahu bahawa bumbung rumah di beranda rumah telah diterbangkan ribut,” katanya yang menetap di rumah itu sejak lebih 50 tahun lalu.

Sementara itu, wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu Helmy Abdul Khan ketika melawat penduduk terbabit meminta mereka bersabar menunggu bantuan. rumah-rumah mangsa yang terlibat dalam bencana alam itu dan memaklumkan kepada

“…perkara ini akan kita cuba selesaikan dalam tempoh terdekat,” kata Helmy kepada Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati tiga petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Bandar Baharu melawat rumah yang terlibat bagi mentaksir kerosakan dan jumlah kerugian. – BERNAMA

Derita Adam dapat perhatian Kerajaan Terengganu – Sinar Harian


Derita Adam dapat perhatian Kerajaan Terengganu
NORSHAHZURA MAT ZUKI
11 Jun 2012

Kerajaan Negeri Terengganu menyampaikan sumbangan bantuan rawatan kepada
Adam Akbar Ali di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM – Penderitaan pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali, 10, mendapat perhatian Kerajaan Terengganu yang tampil menghulurkan sumbangan RM100,000 untuk membiayai pembedahan kanak-kanak tersebut yang dijadualkan pada 20 Jun nanti di Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.

Sumbangan cek tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad di kediaman keluarga Adam, di Seksyen 7, semalam.

Yahya berkata, sumbangan tersebut adalah keprihatinan Kerajaan Terengganu kepada Adam yang ditimpa musibah kesihatan yang memerlukan kos perubatan yang tinggi.

“Kerajaan Terengganu tampil membantu Adam walaupun beliau bukanlah rakyat Terengganu. Adam adalah penerima pertama bantuan Tabung Darul Iman melibatkan bukan rakyat Terengganu.

“Keputusan pemberian sumbangan ini dibuat dalam mesyuarat Exco yang lalu yang meluluskan RM100,000 untuk diberikan kepada Adam bagi membiayai pembedahan beliau di luar negara,” katanya kepada media, selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Adam, semalam.

Beliau berkata, bantuan kepada Adam diberikan kerana Kerajaan Selangor tidak memberikan bantuan kepada kanak-kanak tersebut, walaupun berita mengenai Adam telah disiarkan dalam akbar Sinar Harian, beberapa minggu sebelum ini.

“Kami berterima kasih kepada keluarga Adam kerana memberikan peluang kepada kami untuk menampung kos perubatan yang diperlukan,” katanya.

Yahya berkata, Tabung Darul Iman diwujudkan untuk membantu rakyat Terengganu yang ditimpa musibah seperti bencana alam dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri juga mensubsidi beberapa kos perubatan melibatkan pesakit kronik dan bil-bil rawatan rakyat yang berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, bapa Adam, Akbar Ali Mohamed Noordin, 43, berkata, beliau sekeluarga berterima kasih kepada Kerajaan Terengganu yang menyumbang RM100,000 untuk membiayai pembedahan anak sulungnya itu.

“Pada mulanya, kos pembedahan adalah RM300,000 tetapi ia dikurangkan RM175,000.

“Bantuan yang disumbangkan oleh Kerajaan Terengganu mencukupkan dana yang diperlukan untuk membiayai kos pembedahan Adam. Jumlah terkumpul kini adalah RM182,500,” katanya.

Beliau berkata, dana RM82,500 disumbangkan oleh orang ramai, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan MCA setelah disiarkan di Sinar Harian dan media lain.

Ditanya mengenai tahap keyakinannya terhadap pembedahan di luar negara, Akbar berkata, setelah Adam menjalani pembedahan sebanyak dua kali di Singapura dan Kuala Lumpur, beliau yakin, pembedahan tersebut yang akan dilakukan oleh Pakar Neuro, Dr George Jallo akan berjaya.

“Alhamdulillah, berkat doa dan bantuan daripada orang ramai, anak saya akan menjalani pembedahan nanti. Sebanyak 90 hingga 95 peratus tumor Adam boleh dikeluarkan dan risiko untuk anak saya menjadi lumpuh adalah minima.

“Saya reda dan akur dengan kuasa ALLAH. Harapan saya semoga pembedahan tersebut berjaya dan selamat,” katanya.

Menurutnya, beliau akan ke sana bersama Adam dan isterinya, Siti Rogayah Sheikh Ismail, 34, pada 15 Jun nanti dan akan berada di sana selama tiga minggu.

“Saya berharap orang ramai akan mendoakan keselamatan kami dan pembedahan Adam berjaya dilakukan,” katanya.

Jabatan Pelajaran Selangor pohon RM500,000 tampung kerugian banjir – Bernama


Jabatan Pelajaran Selangor pohon RM500,000 tampung kerugian banjir

31 Mac 2012

SHAH ALAM – Jabatan Pelajaran Selangor memohon peruntukan kira-kira RM500,000 daripada Kementerian Pelajaran bagi menampung ganti rugi kerosakan fizikal yang dialami 15 sekolah di Klang akibat banjir semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor Abdullah Mad Yunus berkata peruntukan itu adalah anggaran kasar setakat ini dan jumlah kerosakan terperinci di setiap
sekolah terlibat masih dalam siasatan.

“Kementerian, Jabatan Pelajaran Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Klang juga sedang memantau dengan teliti perkembangan terbaru di semua sekolah
berkenaan berikutan hujan yang masih berterusan.

“Kami akan ambil tindakan yang perlu untuk pastikan keselamatan murid-murid dan kami tidak mahu kejadian seperti banjir ini menganggu pengajaran dan pembelajaran murid-murid,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah berkata daripada 15 sekolah itu, lapan sekolah terlibat dengan penutupan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah (STAR), SMK La Salle, SK (SK) La Salle, SK Simpang Lima 1, SK Simpang Lima 2, SK Sungai Udang, SK Teluk Gadong dan Sekolah Menengah (SM) Vokasional.

Sementara tujuh sekolah lagi yang terlibat dengan banjir beroperasi seperti biasa, katanya.

Abdullah berkata tinjauan sehingga tengah hari ini mendapati kesemua 15 sekolah terbabit masih menjalankan kerja-kerja pembersihan. Beliau berkata daripada lapan sekolah yang terlibat dengan penutupan, STAR paling teruk dilanda bencana alam itu.

Abdullah berkata dalam minggu ini sahaja, STAR dinaiki air sebanyak tiga kali. Masalah banjir di sekolah itu dialami sejak tahun 80-an dan dalam setahun kira-kira tujuh kali ia dinaiki air.

Ditanya kemungkinan memindahkan sekolah berkenaan ke tempat lain untuk mengelak kejadian itu berulang, Abdullah berkata cadangan itu boleh dipertimbang namun beberapa perkara perlu diambil kira.

“Cadangan itu boleh tetapi sekolah bersejarah (Ethos) seperti ini selalunya ingin kekal berada di tempat asal,” katanya. – Bernama