Pakar: Kanak-kanak obes berisiko hidap ‘sleep apnea’ – Bernama


Pakar: Kanak-kanak obes berisiko hidap ‘sleep apnea’

15 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Golongan kanak-kanak yang obes didapati berisiko menghidap ‘sleep apnea’ atau gangguan pernafasan semasa tidur.

Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia (SDSM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata gangguan itu berlaku akibat berat badan berlebihan yang menyempitkan saluran pernafasan mereka.

“Apabila kanak-kanak yang obes tidur, udara di saluran pernafasan tidak dapat bergerak dengan sempurna dan ia akan menyukarkan mereka untuk bernafas,” katanya pada majlis sambutan Hari Tidur Sedunia 2013 di sini, hari ini.

Menurutnya sleep apnea juga terjadi kepada mereka yang menghidap penyakit berkaitan pernafasan yang lain seperti asma dan tonsil.

Beliau berkata antara simptom seseorang itu mempunyai gangguan sleep apnea ialah berdengkur semasa tidur, sering berasa lemah dan kerap mengantuk.

Menurutnya sleep apnea turut dialami golongan dewasa yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti kerap merokok, mengambil minuman keras serta tidak bersenam.

Bagaimanapun Dr Muhammad Muhsin berkata gangguan tidur itu boleh sembuh sekira pesakit menjalani ujian tidur ‘polysomnography’ yang terdapat di hospital kerajaan atau swasta yang menyediakannya.

“Melalui ujian itu pesakit dikehendaki tidur semalaman di makmal yang disediakan dengan beberapa wayar dipasang pada tubuh untuk dikenal pasti punca utama gangguan sama ada berpunca dari otak atau bahagian tubuh yang lain,” katanya.

Beliau berkata masalah itu jika tidak dirawat akan menjejaskan kualiti hidup kanak-kanak dan golongan dewasa dan boleh membawa maut akibat terputus bekalan oksigen semasa tidur.

Hari Tidur Sedunia yang disambut setiap Jumaat, minggu ketiga dalam bulan Mac, bertujuan memberi penerangan secara khusus kepada mereka yang mempunyai masalah tidur tentang cara mengatasi dan panduan penjagaan tidur yang baik. – Bernama

Polis Dapat Petunjuk Baru Kes Kanak-Kanak Hilang Ogos Lepas – mStar


Polis Dapat Petunjuk Baru Kes Kanak-Kanak Hilang Ogos Lepas

SEBERANG PERAI: Polis mendapat petunjuk baharu berhubung kes seorang kanak-kanak lelaki T. Sathiskumar, 6, yang dilapor hilang sejak 8 Ogos lepas di kawasan Jalan Permatang Pauh, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata sehingga kini polis telah mengambil keterangan daripada 11 individu termasuk ibu kandung, bapa kandung, bapa tiri, datuk dan jiran kanak-kanak itu.

“Siasatan memang dijalankan walaupun kanak-kanak itu hilang sejak enam bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Md Azman Kadir di talian 019-5633014 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, 04-5382222 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, Mazlan meninjau lokasi mangsa dilapor hilang bersama Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah di Jalan Permatang Pauh, di sini .

Dalam kejadian 8 Ogos tahun lepas, Sathiskumar dilapor hilang kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas turun daripada lori yang diparkir di tepi jalan untuk mengekori datuknya membeli makanan di sebuah kedai tidak jauh dari situ.

Kanak-kanak itu dikatakan sempat meminta wang daripada bapa tirinya sebanyak RM1. Bagaimanapun, datuknya yang kembali semula ke lori tidak lama kemudian mendapati cucunya tiada.

Kali terakhir Sathiskumar dilihat memakai kemeja-T dan seluar pendek warna hijau, bertopi kuning bercorak Spiderman dan berkasut serta memakai stokin.

Ketika hilang, tinggi kanak-kanak itu lebih kurang 70 sentimeter dan berat badan kira-kira 15 kilogram. –BERNAMA

Pelajar sekolah agama juara tinju Sukma Pahang – Bernama


Pelajar sekolah agama juara tinju Sukma Pahang

15 Julai 2012

Sukma 2012
KUANTAN – Pelajar sekolah agama, Muhamad Hazizul Hakim Md Sukor, muncul juara tinju kategori berat badan 52 kilogram lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang berlangsung di Dewan Bitara, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin hari ini.

Muhamad Hazizul Hakim dinobat sebagai pemenang pingat emas selepas menewaskan peninju Pulau Pinang A. Jagadish dengan kiraan mata 20-15.

Pingat gangsa milik Mohd Azman Mohd Azhar dari Kelantan dan peninju Pahang Mohd Zulfadlie Ibrahim.

Muhamad Hazizul Hakim, yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Al-Quran Waddin, berkata beliau bersyukur dengan kejayaan itu dan ia sesuatu yang besar untuk diri sendiri selain hadiah kepada ibu bapa serta jurulatih yang banyak memberi dorongan kepadanya selama ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Tinju Amatur Johor yang banyak membantu saya,” kata.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga mengakui memilih sukan tinju kerana dapat melepaskan tekanan ketika beraksi.

Anak kelahiran Larkin itu juga berhasrat mencontohi idolanya, peninju negara Muhamad Farkhan Mohd Harun, yang disifatkan mempunyai gaya bersahaja ketika beraksi.

“Saya amat tertarik dengan gaya Muhamad Farkhan dan berharap dapat menjadi seorang peninju yang baik seperti beliau satu hari nanti,” katanya yang mula meminati sukan itu sejak berusia 13 tahun.

Muhamad Hazizul Hakim berkata ada juga rakan yang memintanya meninggalkan sukan itu namun beliau enggan berbuat demikian.

“Sukan tinju telah menjadi darah daging saya, tidak mungkin saya akan beralih darinya,” katanya. – Bernama

Satu kelas gempita dengan Albab – Metro


Satu kelas gempita dengan Albab

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Mohamad Albab Abdul Sani, 15, pernah ditertawakan rakan sekelas ketika mula menjejakkan kaki di bangku persekolahan, disebabkan namanya dikaitkan dengan watak dalam filem arahan dan lakonan Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, Ahmad Albab.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Albab untuk terus menghabiskan pembelajarannya di Sekolah Rendah Kebangsaan Datuk Alauddin berdekatan kampungnya dan kini berada di tingkatan tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan Selinsing (SMKS), Simpang Empat, Semanggol di Perak.
“Bila cikgu panggil nama, ramai yang ketawa dan ejek. Saya rasa malu dan menangis, tapi kerana ingin belajar saya terus juga pergi sekolah dan lama-kelamaan kawan tidak lagi mentertawakan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebuk Haji Dollah, Semanggol.

 

Di sekolahnya, Albab bukan saja dikenali kerana keunikan namanya, malah antara pelajar yang mempunyai berat badan yang boleh mengalahkan berat orang dewasa, iaitu seberat 89 kilogram (kg).
“Saya tak kisah, kerana saya tak pernah sakit dan boleh terus belajar,” katanya.
Ibunya, Sharifah Radzlah Ramli, 46, mengakui anak keduanya daripada lima beradik itu berselera makan walaupun ketika dilahirkan dulu tubuh kecil seumpama botol kicap.

 

 

“Albab lahir tidak cukup bulan. Lapan bulan setengah dalam kandungan dia sudah lahir. Tubuhnya begitu kecil dan lemah. Saya sangat sedih dan kasihan melihatnya dan bimbang dia tidak dapat membesar seperti kanak-kanak lain. “Saya tidak tahu bagaimana timbul idea menamakan Mohamad Albab, mungkin juga kerana pernah menonton filem P Ramlee,” katanya.
Sharifah berkata, sejak dilahirkan sehingga kini, Albab tidak pernah jatuh sakit dan antara pelajar pintar dan aktif di sekolahnya. “Nama Mohamad Albab itu mungkin membawa tuah dan saya harap Albab akan berjaya dalam persekolahan dan dapat ke universiti,” katanya.

 

Bapa Albab, Abdul Sani Sidek, 48, yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, dia tidak membantah apabila isterinya mahu menamakan Mohamad Albab kerana ia tidak membawa makna buruk.