PPPM akan tetap dilancar – TPM – Utusan


PPPM akan tetap dilancar – TPM

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

 

MUHYIDDIN Yassin menerima akad zakat perniagaan RM150,000 daripada UDA Holding Berhad yang disampaikan oleh Pengarah Urusan UDA Holding, Ahmad Abu Bakar (kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Surau Saadiah, Muar, Johor, semalam. – BERNAMA

MUAR 31 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan tetap dilancar 6 September ini walaupun mendapat tentangan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Beliau yang juga Menteri Pendidikan menegaskan, kerajaan tidak akan tunduk atau berasa takut dengan desakan Dong Zong kononnya PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah-sekolah vernakular.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab membela perjuangan kaum Melayu dan negara, kita akan teruskan dasar ini tanpa rasa terganggu, tergugat atau takut berhadapan dengan mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Surau Saadiah, di sini hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan kepada 68 anak-anak yatim.

Selain itu, UDA Holding Berhad turut menyerahkan sumbangan RM30,000 kepada surau berkenaan.

Sebelum ini, Dong Zhong mendakwa PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah vernakular menerusi persidangan yang diadakan persatuan tersebut sekali gus menunjukkan mereka seolah-olah dihantui dengan pelaksanaan pelan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin mencabar Dong Zong membaca dan meneliti isi kandungan pelan berkenaan yang tidak menyebut langsung usaha memansuhkan bahasa Mandarin atau sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Menurutnya, PPPM yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memperuntuk sebanyak RM125 juta yang bukan sahaja bertujuan memperkasa bidang pendidikan tetapi bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

“Kita mahu jadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan kepada semua kaum. Jangan jadikan usaha ini sebagai isu politik yang boleh menggugat keharmonian dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, bidang pendidikan akan mundur jika langkah tersebut tidak diambil kerana PPPM adalah menyeluruh serta merangkumi semua aspek.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, kerajaan turut memberi tumpuan dalam soal pendidikan Islam untuk meneruskan kemajuan sekolah agama di negara ini sesuai dengan kedudukan umat Islam sebagai masyarakat majoriti.

“Untuk itu kita akan bina sekolah menengah agama sempena nama arwah bapa saya di atas tanah seluas 6.8 hektar di daerah ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130801/dn_02/PPPM-akan-tetap-dilancar—TPM#ixzz2afgA0bH6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar sekolah agama bikin gempar – Sinar Harian


Pelajar sekolah agama bikin gempar

SITI SAFA MOHD NOR
7 September 2012
Pelajar sekolah agama bikin gempar
Muhammad Redhuan Ruslan

PARIT – Warga sebuah sekolah agama di sini gempar selepas salah seorang pelajarnya tiba-tiba menghilangkan diri selepas berkelakuan pelik kerana enggan berbuka puasa bersama rakan-rakan.

Kehilangan pelajar berkenaan, Muhammad Redhuan Ruslan, 13, itu disedari rakan dan penjaga sekolah berkenaan selepas solat Maghrib malam kelmarin.

Menurut rakan mangsa, Ahmad Sulaiman Md Shaari, 17, berkata, pada hari itu pelajar sekolah berkenaan berpuasa enam.

“Muhammad Redhuan menunjukkan kelakuan pelik apabila memberitahu tidak mahu berbuka puasa dan makan pada hari itu,” katanya.

Bagaimanapun, mereka tidak mengesyaki sesuatu kerana selepas itu Muhammad Redhuan berkelakuan biasa sehinggalah mereka menyedari dia sudah tidak ada di sekolah.

“Sebelum itu juga, kami melihat dia mengira duit selain duduk termenung di atas katil dan tidak mengesyaki dia akan menghilangkan diri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Tadbir Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin 9, Baharudin Abdul Rahman berkata, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini adalah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku kerana sebelum ini, jika ada pelajar-pelajar yang mengalami masalah mereka akan datang mengadu kepada kami dan kami akan memanggil ibu bapa untuk berbincang.

“Pelajar itu sudah belajar di sini selama sembilan bulan dan sepanjang tempoh itu dia tiada sebarang masalah,” katanya.

Kehilangan pelajar itu akhir terungkai apabila dia ditemui di sebuah bendang kira-kira dua kilometer dari sekolah berkenaan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan pelajar itu pada jam 10 pagi semalam.

“Kami tiba di tempat kejadian pada jam 10.16 pagi dan memulakan pencarian awal di tepi sungai iaitu di kawasan yang disyaki menjadi tempat mandi.

“Namun, didapati tidak terdapat jejak yang dipercayai mangsa telah hilang ke sungai,” katanya yang melibatkan anggota seramai sembilan orang dan diketuai olehnya.

“Akhirnya pencarian kami tamat apabila pelajar berkenaan berjaya di temui di kawasan bendang berhampiran pada jam 12.15 tengah hari.

“Kes ini dianggap selesai apabila mangsa hilang telah ditemui,” katanya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil siasatan mendapati pelajar itu sedang menghadapi kemurungan.

Pendidikan agenda utama – TPM – Utusan


Pendidikan agenda utama – TPM

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin melihat barangan jualan ketika melawat ke gerai-gerai selepas pelancaran Jom Beli Barangan Raya di Kompleks Sukan, Pagoh, Johor, semalam. – BERNAMA
PAGOH 4 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam meletakkan pendidikan sebagai antara agenda utama dalam kehidupan kerana ia merupakan aspek penting dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan amat mementingkan bidang pendidikan dengan memastikan setiap rakyat mendapat peluang bersekolah dan mempelajari ilmu tanpa mengira kaum atau agama.

“Tiada sebab kita tidak dapat belajar ilmu dunia, ilmu agama dan sebagainya kerana dengan ilmu inilah akan dapat mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup kita.

“Kerajaan memang mementingkan pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis tahlil dan berbuka puasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Baru Batu 28, Lenga, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh.

Terdahulu, beliau melawat dan beramah-mesra dengan orang ramai sebelum merasmikan Program Jom Beli Barang Raya @ Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Muhyiddin berkata, usaha kerajaan membangunkan rakyat dan negara selepas merdeka kini mencatatkan kadar positif apabila kemiskinan ketika ini hanya dua hingga tiga peratus berbanding 70 peratus sewaktu negara baru merdeka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menambah, kerajaan tidak mahu melihat rakyat terbiar atau terpinggir kerana asas untuk menjadi negara maju adalah menerusi pendidikan yang seterusnya dapat meningkatkan ekonomi serta menangani cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Beliau turut mengingatkan umat Islam mengambil peluang sepanjang Ramadan kali ini untuk memperbaiki diri dan meningkatkan ibadat kerana bulan tersebut penuh dengan rahmat dan keberkatan.

“Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi lebih daripada itu dapat membentuk jati diri selain merasai kesusahan orang lain kerana umat Islam di negara ini tidak merasai kesusahan seperti di negara Islam lain yang dilanda musibah dan kebuluran,” katanya.

Budak 8 tahun mangsa pertama mercun di Kedah – Bernama


Budak 8 tahun mangsa pertama mercun di Kedah

2011/08/08

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun cedera di muka selepas terkena mercun bola semasa bermain bersama abangnya dan beberapa jiran mereka di Taman Teja, Changlun petang kelmarin.

Mangsa Fakhrul Danish Fadzil, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun, dikatakan duduk melihat mercun yang tidak meletup sebelum ia meletup dan terkena mukanya.

Ibu mangsa, Manisah Mohd, 41, berkata ketika kejadian dia sedang menyiapkan juadah berbuka di rumah.

“Sebelum kejadian, dia memberitahu saya mahu pergi taman permainan…Kira-kira 7 malam iaitu 10 minit selepas dia keluar, dia balik bersama abangnya dengan keadaan muka merah dan abangnya memberitahu Fakhrul terkena mercun,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Beliau berkata, oleh kerana tiada darah dan Fakhrul Danish tidak menangis, dia tidak segera membawa anaknya itu ke klinik, sebaliknya selepas berbuka puasa.

“Saya bawa Fakhrul Danish ke klinik berhampiran, tetapi doktor meminta supaya pergi ke hospital dan apabila sampai di Hospital Jitra, doktor di situ meminta agar Fakhrul menerima rawatan di HSB bagi memudahkan pemantauan pakar mata,” katanya.

Manisah yang juga seorang guru berkata, selepas menerima rawatan di HSB, doktor memberitahu mata anaknya mengalami kekaburan.
“Saya bersyukur kerana anak saya dapat melihat walaupun kabur. Doktor kata anak saya hanya mengalami kecederaan luaran sahaja. Mukanya yang kemerahan pada awalnya dah nampak melepuh dan saya harap dia akan cepat sembuh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata Fakhrul Danish mengalami kecederaan pada kedua-dua belah mata akibat daripada letupan mercun tersebut.

“Dia juga mengalami kekurangan penglihatan akibat kejadian itu,” katanya. – BERNAMA