Dua anak hilang lepas beli lampin – Metro


Dua anak hilang lepas beli lampin

 29  1 Google +0  1  1

Kuala Lumpur: Dua kanak-kanak berusia 10 dan lapan tahun dilaporkan hilang selepas keluar membeli lampin adik bongsunya di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ipoh, 13 Jun lalu.

Kehilangan Nordiana Shafiza Abdullah, 10 dan Muhammad Shafiz Denial Abdullah, 8, dikesan pada jam 2 petang selepas diminta bapanya untuk membeli lampin. Normaliza Mustafa, 33, ketika hadir ke Balai Berita Harian Metro, di sini, semalam, berkata, dia datang ke Kuala Lumpur untuk beberapa hari bersama suami dan lima anaknya atas urusan kerja suami. “Pada hari kejadian, saya berada di kawasan bandar dan meninggalkan anak-anak bersama suami di hotel. “Suami hanya dapat memberitahu saya mengenai kehilangan anak sembilan jam kemudian kerana saya tidak mempunyai telefon bimbit,” katanya. Menurutnya, suami merancang untuk pulang ke Johor keesokan harinya sebelum kedua-dua anak mereka hilang.

“Saya tak (tidak) sangka Diana dan Shafiz menghilangkan diri kerana mereka (anak) diajar untuk tidak mempercayai orang asing dan terus pulang ke rumah selepas membeli barang di kedai,” katanya yang sudah melaporkan kehilangan kedua-dua anaknya di Balai Polis Jalan Ipoh. Sehubungan itu, Normaliza merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Diana dan Shafiz menghubungi polis atau pegawai penyiasat Inspektor Shahrul Nizam di talian 012-3002795.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Majlis penutup rai anak yatim, ibu tunggal – Metro


Majlis penutup rai anak yatim, ibu tunggal
TELUK INTAN: Edisi sulung Program Titipan Kasih Harian Metro 2012 di Masjid As Saadah, Kampung Bahagia, di sini, kelmarin menutup tirainya apabila lebih 160 penduduk termasuk 100 anak yatim, 40 ibu tunggal dan 20 keluarga miskin diraikan pada majlis berkenaan.

Hadir sama lebih 200 penduduk kampung termasuk ahli jawatankuasa masjid, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta golongan tidak bernasib baik yang diraikan pada majlis berbuka puasa di pekarangan masjid.
Rata-rata penduduk dan anak yatim ditemui mengakui teruja dengan sumbangan diberikan, malah tidak menyangka dirai dan dihargai sebegitu rupa.

Individu paling seronok pastinya 100 anak yatim berkenaan kerana tidak menyangka menerima pelbagai sumbangan lain biarpun sudah membeli pakaian raya di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Jumaat lalu.
Kelmarin, 100 anak yatim berkenaan turut menerima hamper, beg sekolah baru dan duit raya RM100 setiap seorang disampaikan penaja dan Harian Metro.
Sumbangan disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad.

Hadir sama pada program itu termasuk Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail; Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat dan Ketua Kampung Bahagia, Tajol Hasnan.
Anak yatim, Nawwarah Abd Kadir, 12, berkata, dia bersyukur kerana sumbangan diterima boleh digunakan menjelang Aidilfitri nanti.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Perwira itu berkata, sejak kematian bapa, Abd Kadir Zainal Abidin, 60, lima tahun lalu, dia tidak pernah menerima bantuan sebanyak itu.
“Saya berterima kasih kepada Harian Metro kerana sudi meringankan beban saya sekeluarga terutama ketika menyambut Ramadan dan Syawal,” katanya.
Sementara itu, Muhd Azri Rohaimi, 10, pula berkata, dia sekeluarga kini bergantung bantuan kebajikan disumbangkan Felcra setiap bulan selepas kematian bapanya, Rohaimi Mat Isa, 45, lima tahun lalu.
Katanya, ibunya, Norhasmah Ihsan, 40, tidak bekerja dan segala keperluan rumah ditampung abang dan kakaknya yang bekerja. “Saya sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro di atas sumbangan diberikan. Aidilfitri tahun ini pastinya akan bertambah meriah,” katanya.
Nur Izzah Aizi, 10, pula berkata, dia bertuah kerana terpilih menerima sumbangan itu selain menyifatkan ia hadiah paling banyak diterimanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/30