Calon SPM pemenang pertama – Metro


Calon SPM pemenang pertama
Oleh Azidan Nahar dan Nor Amanina Omar

2012/06/15
MOHAMAD HAIKAL menunjukkan keratan peraduan Peraduan Cabaran Laluan Berliku 2 Berita Harian ketika ditemui di Muar, semalam. – Foto Shahrul M Zain
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Tingkatan Lima muncul pemenang minggu pertama Peraduan Cabaran Laluan Berliku 2 Berita Harian, sekali gus menerima wang tunai RM2,000 selain berpeluang memenangi hadiah utama sebuah PROTON Saga.

Mohamad Haikal Baharim, 17, pelajar sebuah sekolah di Muar, menghantar 20 borang permohonan sekadar suka-suka dan tidak menyangka berjaya memenangi peraduan anjuran Berita Harian.
Katanya, dia sememangnya pembaca setia Berita Harian, berikutan keluarganya sentiasa membeli akhbar ini untuk bacaan sekeluarga.
Beliau berkata, minat menyertai peraduan timbul berikutan hobi ayahnya, Baharim Abdul Rahman, yang sering menyertai peraduan dianjurkan akhbar ini dan minat berkenaan turut dikongsi ibu serta empat adiknya yang lain.

“Saya menghantar 20 borang peraduan ini sekadar suka-suka, tidak sangka pula bergelar pemenang kerana tidak meletakkan harapan tinggi,” katanya ketika ditemui di Muar, semalam.

Mohamad Haikal berkata, dia akan menggunakan wang dimenanginya itu untuk keperluan pembelajarannya dan berterima kasih kepada Berita Harian yang menganjurkan peraduan terbabit.

Sementara itu, Baharim yang juga kakitangan kerajaan berkata, minatnya menyertai peraduan anjuran akhbar ini bermula sejak 12 tahun lalu dan beliau pernah memenangi alat permainan PlayStation Portable (PSP) serta barangan kemas daripada Rafflesia.
“Kali terakhir memenangi peraduan menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP) tahun lalu dan berjaya memenangi hadiah tempat ketiga,” katanya yang membeli sekurang-kurangnya dua naskhah Berita Harian setiap hari bagi menyertai peraduan kali ini.

Cabutan pemenang minggu pertama Peraduan Cabaran Laluan Berliku 2 Berita Harian disempurnakan oleh Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali, di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam.

Selain Mohamad Haikal, 10 lagi memenangi sagu hati berupa wang tunai RM500 setiap seorang.

Mereka ialah Abdul Rahman Mookart dari Butterworth, Pulau Pinang; Nur Hikmahalifah Hamdan (Muar), Johor; Nurul Asyikin Rahman (Tanjung Kling, Melaka); Norizan Abd Manan (Rembau, Negeri Sembilan); Florence Ho Rui Ling (Kepong, Kuala Lumpur); Mohd Hafizhi Mohamad (Bagan Serai, Perak); Amamma Marutmas (Kapar, Klang); Nurul Ain Zeikifli (Jempol, Negeri Sembilan); Kamal Lareces dan Norlinda Ahmad (Jengka, Pahang).

Turut hadir pada majlis cabutan semalam ialah Pengarang Eksekutif (Berita) Berita Harian, Norhayati Md Said dan Pengarang Eksekutif (Rencana) Berita Harian, Zainor Said.

NGO tolak kaedah beri markah 10 peratus – Berita Harian


NGO tolak kaedah beri markah 10 peratus

Oleh Suzalina Halid
suzalina@bharian.com.my
2012/05/22

Minta kaji semula pertandingan tulis surat 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan tidak bersetuju kaedah pemberian 10 peratus markah penilaian kokurikulum sekolah kepada peserta pertandingan menulis surat 1Malaysia.

Ia memberi jalan pintas kepada pelajar memperoleh markah maksimum dalam kokurikulum tanpa perlu membabitkan diri dalam aktiviti lain.

Aktiviti kokurikulum membabitkan empat bidang termasuk sukan, badan beruniform, persatuan seni dan ilmu. Jadi, jika ia hendak dilaksanakan juga, sepatutnya markah diberikan adalah satu per empat daripada 10 peratus supaya pelajar boleh membabitkan diri melalui tiga aktiviti lain dan tidak bertumpu pada cabang itu saja. – Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN)

Sehubungan itu, mereka meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula perkara itu kerana ia bakal mendatangkan masalah kepada pihak sekolah dalam menggalakkan pelajar terbabit dalam semua aktiviti kokurikulum.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata pemberian markah itu juga disifatkan terlalu tinggi berikutan hanya membabitkan satu cabang kokurikulum.

“Aktiviti kokurikulum membabitkan empat bidang termasuk sukan, badan beruniform, persatuan seni dan ilmu. Jadi, jika ia hendak dilaksanakan juga, sepatutnya markah diberikan adalah satu per empat daripada 10 peratus supaya pelajar boleh membabitkan diri melalui tiga aktiviti lain dan tidak bertumpu pada cabang itu saja.

“Perkara ini juga harus diperjelaskan semula supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada pelajar dan tidak bertentangan dengan hasrat untuk melihat pelajar aktif dalam bidang kokurikulum secara keseluruhan termasuk sukan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Pos Malaysia menganjurkan pertandingan menulis surat 1Malaysia bermula 1 April lalu dan pelajar yang mengambil bahagian akan menerima 10 peratus daripada markah penilaian kokurikulum sekolah bagi menghargai penyertaan mereka dalam program itu.

Ia terbuka kepada semua pelajar di seluruh negara berusia 9 hingga 17 tahun dengan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 menanti pemenang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata penghargaan bagi peserta pertandingan itu seharusnya tidak membabitkan pemarkahan pelajar dalam sistem persekolahan, sebaliknya lebih baik jika difokuskan kepada ganjaran lain dalam bentuk fizikal.

Pada masa sama, katanya, pemberian 10 peratus itu juga disifatkan tidak adil bagi pelajar lain yang terpaksa berkorban masa dan tenaga memperoleh markah maksimum melalui aktiviti sukan, berbanding peserta pertandingan itu.

Murid Orang Asli sertai Seminar Didik Rakyat – Berita Harian


Murid Orang Asli sertai Seminar Didik Rakyat
Oleh DJ Dolasoh

2012/05/21

SERAMAI 250 murid di Hulu Perak mengikuti Seminar Didik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR.

SERAMAI 250 murid di Hulu Perak mengikuti Seminar Didik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR.

Bank Rakyat taja 250 peserta Hulu Perak

SERAMAI 250 murid mendapat manfaat apabila menyertai Seminar Didik Rakyat sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diadakan di Sekolah Menengah Teknik, Gerik di Perak, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Bank Rakyat dan Berita Harian itu turut disertai murid Orang Asli yang dipilih daripada 22 sekolah rendah di sekitar Daerah Hulu Perak bertujuan meningkatkan bilangan murid memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan berkenaan tahun ini.

Pihak sekolah, ibu bapa dan murid mesti bijak mengambil kesempatan termasuk menyertai klinik UPSR seperti ini kerana terbukti ia banyak membantu murid mencapai keputusan cemerlang meskipun dalam kalangan pelajar yang pencapaiannya sederhana. – Abu Hasan Mohd Said, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Perak (Bahagian Sekolah Menengah)

Seminar sehari yang julung kali diadakan di Daerah Hulu Perak itu memberi tumpuan kepada tiga mata pelajaran iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris yang dikendalikan tiga pakar dalam bidang masing-masing.

Klinik itu dirasmikan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Perak (Bahagian Sekolah Menengah), Abu Hasan Mohd Said. Turut hadir, Penolong Pengurus Cawangan Bank Rakyat Gerik, Suhaimi Shaari dan Pengarang Berita Unit Pendidikan, Berita Harian, Ridzuan Yop.

Abu Hasan berkata, setiap murid sepatutnya bersiap sedia dengan berusaha tekun bagi menghadapi peperiksaan dan pada masa sama guru dan ibu bapa turut memberi sokongan kepada anak masing-masing bagi meraih kecemerlangan.

“Pihak sekolah, ibu bapa dan murid mesti bijak mengambil kesempatan termasuk menyertai klinik UPSR seperti ini kerana terbukti ia banyak membantu murid mencapai keputusan cemerlang meskipun dalam kalangan pelajar yang pencapaiannya sederhana.
“Seminar anjuran Bank Rakyat dan Berita Harian ini adalah satu daripada usaha mencapai matlamat itu dan patut diberi pujian kerana jika murid tidak mengambil peluang menyertai seminar seperti ini maka mereka akan ketinggalan,” katanya berucap merasmikan majlis itu.

Sementara itu, Suhaimi berkata, sehingga ini kira-kira 86,000 murid seluruh negara memperoleh manfaat apabila mengikuti Seminar Didik anjuran bersama Berita Harian sejak 2003.

“Seminar Didik ini satu usaha kami (Bank Rakyat) untuk memenuhi tanggungjawab sosial membantu murid memperoleh keputusan cemerlang sekali gus membantu negara berkembang maju dan pesat melalui bidang pendidikan.

Seorang peserta, Siti Nur Liyana Abdullah, dari SK Batu 4, Gerik berkata, program Seminar Didik yang diikutinya berlainan kerana perbincangannya lebih menjurus kepada cara menjawab soalan yang lebih tepat dan munasabah.

“Banyak persoalan yang diberi berjaya diungkaikan guru pakar menyebabkan saya mudah faham sesuatu mata pelajaran dan lebih yakin terutama selepas memperoleh asasnya daripada guru mata pelajaran di sekolah sebelum ini.

Seorang lagi peserta, Syed Mohd Syahmi Syed Yusuf dari SK Pahit, Gerik berkata, set soalan mata pelajaran diberikan guru pakar sebagai panduan berguna kepadanya untuk menjawab soalan UPSR sebenar nanti.

Matlamat tinggi penentu kejayaan pelajar – Berita Harian


Matlamat tinggi penentu kejayaan pelajar

Oleh Rosdi Ismail
rosdi@bharian.com.my
2012/05/21

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran menetapkan matlamat tinggi untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan hingga melayakkan mereka meneruskan pengajian ke universiti.

Timbalan Pengarah Tabung Haji (TH) Terengganu, Azilah Itam, berkata matlamat itu memberikan mereka gambaran jelas mengenai hala tuju seterusnya gigih untuk mencapai hasrat berkenaan.

Beliau berkata, calon hendaklah menggunakan peluang disediakan pelbagai pihak dalam usaha membantu mereka untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Seminar Skor A SPM tajaan Tabung Haji menerusi Kelab TaHa adalah medan terbaik untuk pelajar memperbaiki kekurangan diri selain menambah pengetahuan mengenai cara menjawab soalan dengan tepat. – Azilah Itam, Timbalan Pengarah Tabung Haji (TH) Terengganu

“Seminar Skor A SPM tajaan Tabung Haji menerusi Kelab TaHa adalah medan terbaik untuk pelajar memperbaiki kekurangan diri selain menambah pengetahuan mengenai cara menjawab soalan dengan tepat.

“Menyedari kepentingan dan keprihatinan membantu calon SPM, TH sentiasa memastikan seminar dimanfaatkan pelajar kerana memberi peluang mereka berkomunikasi dengan guru pakar untuk menyelesaikan masalah pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Skor A SPM tajaan TH dengan kerjasama Unit Pendidikan Berita Harian di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering, Jertih, Terengganu, baru-baru ini.

Lebih 270 calon SPM daripada beberapa sekolah menengah sekitar daerah Besut, Jertih, Kemaman, Dungun, Kuala Berang dan Kuala Terengganu menghadiri seminar itu. Hadir sama, Pengurus TH Daerah Besut, Mohamed Ghazali Majid.
Pelajar SMK (Agama), Nurul Ittifaq, Kuala Besut, Norsuhada Mohd Shafie, berkata dia memperoleh banyak ilmu tambahan dan kelebihan itu membolehkannya memahami sesuatu topik sukar.

Pemahaman itu katanya, memberi peluang dia menjawab soalan dengan tepat.

“Contohnya, guru pakar pakar subjek Bahasa Melayu memberi penerangan jelas dan tepat mengenai ejaan perkataan yang betul serta penulisan karangan menepati kehendak soalan,” katanya.

Rakannya, Abdul Mukmin Amir Azha, berkata dia lebih faham dan mendapat maklumat terkini mengenai cara menjawab soalan yang betul terutama bagi subjek Bahasa Inggeris dan Matematik.

Calon PMR yakin berbahasa Inggeris – Berita Harian


Calon PMR yakin berbahasa Inggeris

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@bharian.com.my
2012/05/10

Nurul Afizah

Nurul Afizah

“HADIAH paling istimewa sebelum pemergian ibu tersayang adalah pencapaian 5A dalam UPSR,” kata Nurul Afizah Mohd Khaidir,15, yang kematian ibu sejak dua tahun lalu ketika melahirkan adiknya.

Nurul Afizah yang sentiasa kelihatan tenang berkata, walaupun tanpa orang disayangi, dia teruskan perjuangan untuk mencapai kejayaan bergelar pelajar cemerlang di sekolahnya.

Dia yang ditemui ketika menghadiri Seminar Kecemerlangan PMR yang diadakan kerjasama Tabung Haji dan Berita Harian, baru-baru ini, berkata peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan pemahaman bagi subjek bahasa Inggeris.

“Selain subjek berkenaan, mata pelajaran kritikal seperti Sains dan Matematik juga diajar dengan baik selain diberikan tip menjawab soalan, penekanan kawalan emosi dan mental ketika menghadapi peperiksaan.

“Peserta tidak dikenakan bayaran, tambah pula saya ahli Kelab Tabung Haji (TaHa) turut menikmati kelebihan ini,” katanya ketika ditemui di Petra Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Beliau berkata, kepetahan fasilitator berbicara dengan disertai unsur kelakar memberikan pengalaman menyeronokkan dan kesempatan mengikuti seminar itu menjadikannya dapat bertutur bahasa Inggeris dengan betul.

“Pada seminar ini, peserta diajar berkomunikasi dengan betul mengikut tatabahasa yang tepat,” katanya.
Nurul Afizah, pelajar di Kolej Abdillah, Siol Kandis, berkata pembacaan material dalam Bahasa Inggeris adalah strategi berkesan memantapkan kemahiran itu.

“Semua bahan bacaan berkaitan antaranya, akhbar, buku, risalah, majalah mahupun iklan memberi peluang kepada kita menguasai bahasa itu,” katanya.

Peserta seminar BH dapat kad guru.net percuma – Berita Harian


Peserta seminar BH dapat kad guru.net percuma
Oleh Zabidi Hitam
bhminda@bharian.com.my
2012/03/08

pix_gal0

PROGRAM bimbingan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Seminar PMR 2012 menjanjikan kelainan kepada calon, peserta bukan saja dibimbing secara sistematik mengenai teknik menjawab soalan, malah turut dibekal kad guru.net.

Semua peserta layak menerima kad yang dilengkapi ‘username dan password’ bagi membolehkan mereka mengakses soalan latihan melalui internet selama tiga bulan.

Kumpulan pertama peserta terdiri daripada 100 calon sudah menerima kad mereka pada program yang berlangsung di Dewan Anjung Riong, Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Guru.net ialah portal e-pembelajaran yang membantu pelajar mengukuhkan persediaan menduduki tiga peperiksaan awam, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menerusi proses e-pembelajaran guru.net.my, pelajar berpeluang membuat latihan serta ujian secara interaktif sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih menarik, menyeronokkan dan berkesan.

Pihak pengurusan mengingatkan ibu bapa dan calon tidak mempercayai wakil yang mendakwa ejen Berita Harian yang menganjurkan program sama.

Seorang peserta, Chan Ju Yean Juston dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria berkata, pelbagai input berguna diperoleh daripada seminar dua hari itu.
Katanya, selain penerangan yang lebih bersistematik, peserta juga mendapat keistimewaan membuat latihan melalui kaedah e-pembelajaran.

Bagi Farah Izzati Kamarul Ariffin, pula aktiviti berkenaan membantunya meningkatkan pemahaman bagi sesuatu topik.

Pelajar SMK Bukit Jalil itu berkata, program ini adalah kesinambungan daripada proses pembelajaran menerusi akhbar sisipan Minda terbitan Berita Harian setiap Selasa.

Pengusaha kantin masih jual 15 jenis ‘makanan tak sihat’ – Berita Harian


Pengusaha kantin masih jual 15 jenis ‘makanan tak sihat’
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/02/08

Abai garis panduan tangani masalah obesiti murid sekolah

KEMENTERIAN Pelajaran perlu melaksanakan segera larangan penjualan 15 makanan diproses di kantin sekolah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sejak sembilan bulan lalu dan sepatutnya berkuatkuasa Jun lepas. Ini kerana kegagalan mengeluarkan arahan atau surat pekeliling kepada pengusaha atau operator kantin sekolah menyebabkan makanan dan minuman tidak berkhasiat itu masih dijual secara berleluasa.

Tinjauan Berita Harian di sekolah di Subang Jaya dan Petaling Jaya mendapati juadah itu termasuk ais krim dan minuman bergas yang tersenarai sebagai makanan dilarang mengikut Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata antara kekangan pelaksanaannya adalah ketiadaan kerjasama daripada pihak pengusaha kantin atau operator kantin sekolah, pihak sekolah serta ibu bapa.

“Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan hanya boleh dilaksanakan menerusi kerjasama pihak sekolah, operator kantin, pelajar dan ibu bapa.
“Tindakan terhadap pengusaha kantin sekolah tidak boleh dilaksanakan kerana ia bukan dasar sebaliknya hanya garis panduan,” katanya kepada Berita Harian selepas melancarkan Pertandingan Antiaedes Renjer Ridsect peringkat Sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pada pengumuman April tahun lalu, Kementerian Pelajaran sepatutnya mengeluarkan pekeliling kepada pihak sekolah untuk melarang penjualan makanan larangan berkenaan, bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Cadangan larangan 15 jenis makanan yang dilarang penjualannya di sekolah terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April tahun lalu.

Berita Harian sebelum ini menyiarkan makanan diproses seperti burger, sosej dan nuget serta teh dan kopi ialah antara 15 jenis makanan `tidak sihat’ yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai Jun tahun lalu.

Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan makanan ringan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru.

Garis panduan itu dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes dalam kalangan pelajar.

Penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat, terutama kanak-kanak, selain dijadikan langkah pencegahan peringkat awal.

CUEPACS tetap enggan sertai panel semak SBPA – Utusan


CUEPACS tetap enggan sertai panel semak SBPA
Oleh S Anand Kumar

2012/01/30

KUALA LUMPUR: CUEPACS tetap dengan pendiriannya tidak menyertai pasukan petugas khas semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan untuk menganggotai pasukan itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, menegaskan tindakan CUEPACS tidak sepatutnya dilihat sebagai mengugut, sebaliknya menunjukkan pihaknya amat serius untuk memberi input dalam membincangkan penambahbaikan SBPA.

“Saya akan hadir mesyuarat kedua yang dijadual 8 Februari ini, sekiranya tiga pemimpin CUEPACS tidak dibenarkan masuk, maka saya akan keluar daripada mesyuarat itu.

“Tidak adil dan tidak wajar apabila ada 19 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dalam pasukan itu, tetapi CUEPACS hanya dibenarkan menghantar satu wakil.

“Kehadiran tiga pemimpin kanan CUEPACS itu bertujuan untuk bersama-sama membangkitkan pelbagai cadangan kerana mereka juga mewakili kesatuan sekerja dan mempunyai maklum balas yang ingin disampaikan kepada pasukan petugas.

“Saya amat berharap pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam akan mempertimbangkan rayuan kami,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dimaksudkan Omar ialah Timbalan Presiden I, Aziz Muda; Setiausaha Agung, Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan, Jaafar Mansor.
Omar berkata, sehingga sekarang ketiga-tiga pemimpin CUEPACS itu masih belum menerima sebarang surat jemputan daripada pasukan petugas khas dan beliau amat berharap perkara itu akan disegerakan sebelum berlangsungnya mesyuarat kedua.

Selain tiga lagi wakil, CUEPACS turut mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan antaranya mengkaji semula pindaan gaji kakitangan Gred 54 dan ke bawah, kedudukan kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA, kedudukan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum dan menyemak kembali penstrukturan semula di semua gred.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menyokong pendirian Omar dan berharap kerajaan akan memberi lebih ruang kepada wakil kesatuan untuk membantu melakukan penambahbaikan skim berkenaan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya percaya dengan kehadiran lebih ramai wakil kesatuan sekerja pelbagai isu yang timbul dapat diselesaikan secara bersama tanpa sebarang masalah.

“Tiga pemimpin kanan CUEPACS itu dapat membantu Omar dalam mesyuarat selain secara bersama-sama dapat membuat keputusan bagi pihak 1.2 juta kakitangan awam,” katanya.

Remaja 17 tahun menang kereta – Berita Harian


Remaja 17 tahun menang kereta
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2012/01/19

MIOR Kamarul Shahid dan Mahfar membuat cabutan pemenang Cabaran Laluan Berliku Berita Harian di Balai Berita, semalam.

MIOR Kamarul Shahid dan Mahfar membuat cabutan pemenang Cabaran Laluan Berliku Berita Harian di Balai Berita, semalam.

Pemenang utama Cabaran Laluan Berliku Berita Harian atasi 130,000 penyertaan

KUALA LUMPUR: Tuah akhirnya berpihak kepada pembaca setia Berita Harian, Ahmad Ridzwan Bakhtiar Effendy apabila dipilih sebagai pemenang utama pertandingan Cabaran Laluan Berliku Berita Harian yang melayakkannya membawa pulang hadiah kereta Proton SAGA FLX 1.3 (M) Standard bernilai RM37,000.

Ahmad Ridzwan, 17, dipilih daripada 130,000 penyertaan yang diterima pihak penganjur selama empat minggu dari 7 hingga 13 Disember lalu bagi minggu pertama, 14 hingga 20 Disember (minggu kedua), 21 hingga 27 Disember (minggu ketiga) dan 28 Disember hingga 3 Januari 2012 (minggu akhir).

Cabutan pemenang dilakukan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid pada majlis khas di Lobi Anjung Liku, Balai Berita, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali; Pengarang Eksekutif Berita, Norhayati Md Said ; Pengarang Eksekutif Rencana, Zainor Said; Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Puteri Shireen Syed Othman dan Penolong Pengurus Pengurusan Jenama (Pemasaran) NSTP, Ahmad Firdaus Shaharudin Shah.

Selain Proton SAGA FLX, peraduan sempena cuti persekolahan itu juga menawarkan Ipad2 kepada 10 pemenang bertuah setiap minggu bagi penyertaan yang semua tepat bermula minggu pertama hingga akhir.

Pada majlis itu, 20 lagi pemenang bertuah dipilih untuk minggu ketiga dan keempat, yang mana pertandingan berkenaan memerlukan pembaca menyelesaikan laluan berliku dan melengkapkan borang penyertaan dalam Berita Harian sebelum menghantarnya bersama kepala akhbar itu.
Pemenang utama Cabaran Laluan Berliku Berita Harian:

  • Ahmad Ridzwan Bakhtiar Effendy 941019-14-5731 (Selangor)

10 pemenang minggu ketiga Cabaran Laluan Berliku Berita Harian: 

  • Musyarah Mustaffa 871010-10-5142 (Selangor)
  • Mohd Khairul Nizam Ramli 820217-03-5137 (Selangor)
  • Kamsinah Abd Wahab 600818-10-6012 (Selangor)
  • Muhammad Haikal Sheik Mustafa 840408-04-5483 (Melaka)
  • Siti Salmah Mohamad Alias 840408-01-5532 (Johor)
  • Noor Hasliza Mohd Rawi 850522-08-5672 (Putrajaya)
  • Nalsi Zawani Nawi 740116-03-6309 (Negeri Sembilan)
  • Roselina Salim 750711-05-5386 (Negeri Sembilan)
  • Nur Farhana Abdul Razak 851001-02-5054 (Kedah)
  • Yee Jin Lan 890628-04-5018 (Selangor)

10 pemenang minggu keempat Cabaran Laluan Berliku Berita Harian:

  • Rohaisaliza Nazri 870713-06-5242 (Pahang)
  • Mohd Yusnizam Yusof 860713-56-6259 (Selangor)
  • Rubiyah Ariffin 750115-14-5676 (Perak)
  • Abd Hamid Abdul Rahim 610829-01-5529 (Selangor)
  • Yeap Giok Hong 570716-02-5946 (Kedah)
  • Zaid Zamree 850919-01-5859 (Johor)
  • Wan Nor Hazaniah 590101-03-5636 (Selangor)
  • Roslin Abd Kadir 600212-10-5402 (Selangor)
  • Jatan Johan 430509-10-5295 (Selangor)
  • Hamidah Mohamed Taib 731211-10-5056 (Selangor)