Pelajar cemerlang, adik rentung – Berita Harian


Pelajar cemerlang, adik rentung 
Oleh Poliana Ronnie Sidom

2012/01/16

TAWAU: Kegembiraan Andi Herah Andi Muddah, 19, untuk mendaftar di Kolej Perubatan MAHSA di Kota Kinabalu akhir bulan ini tidak kesampaian apabila pelajar cemerlang itu ditemui rentung bersama seorang adiknya dalam kebakaran yang memusnahkan lapan rumah di Blok 5, Kampung Titingan di sini, awal pagi semalam.

Mayat anak kedua daripada lima beradik itu ditemui rentung dalam keadaan berpelukan dengan adiknya, Andi Putri Intan, 6, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi.

Andi Herah dijadualkan melapor diri di Kolej MAHSA pada 28 Januari ini. Kebakaran itu turut menyebabkan 74 penghuni daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu bapa dan dua beradik lagi di tingkat bawah rumah manakala 11 saudara termasuk nenek mereka menetap di tingkat atas.

Difahamkan, bapa mangsa, Andi Muddah Manawang, 51, cuba menendang pintu bilik untuk menyelamatkan kedua-dua anaknya tetapi tidak berjaya kerana terkunci rapat manakala api semakin marak.

Nenek mangsa, Rahmah Beddu Rahman, 65, berkata beliau nyenyak tidur bersama tiga cucu berusia satu, tiga dan enam tahun sebelum menyedari kediaman mereka dijilat api.

“Saya tersedar apabila terdengar jeritan di luar rumah disusuli letupan kuat. Saya bingkas bangun dan menarik ketiga-tiga cucu sebelum membawa mereka turun secara mengengsot melalui tangga dapur,” katanya di sini, semalam
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek, ketika dihubungi Berita Harian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 pagi dan menghantar dua jentera bersama 21 anggota ke lokasi kebakaran.

“Api marak terlalu cepat berikutan kedudukan rumah yang rapat dan struktur papan memudahkan kebakaran merebak. Kita berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.52 pagi,” katanya sambil menambah kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta dan lori milik penduduk.

Tambah kuota guru pelatih Sabah, Sarawak – Berita Harian


Tambah kuota guru pelatih Sabah, Sarawak
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2012/01/11

Naik 30 peratus bagi atasi masalah permohonan perpindahan 

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (KGS) menuntut Kementerian Pelajaran menaikkan kuota pengambilan guru pelatih dari Sabah dan Sarawak sehingga 60 peratus bagi mengatasi masalah kekurangan guru anak tempatan.

Langkah menambah lagi 30 peratus kuota sedia ada itu perlu untuk manfaat jangka panjang selain mengatasi masalah permohonan perpindahan guru asal Semenanjung bertugas di dua negeri itu.

Hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka. – William Ghani Bina, Presiden KGS

Presiden KGS, William Ghani Bina, berkata setiap tahun kerajaan terpaksa berdepan ribuan permohonan dari guru Semenanjung yang ditugaskan di Sabah serta Sarawak, yang hanya mampu diatasi jika jumlah guru anak tempatan mencukupi.

Katanya, lebih banyak guru pelatih dari Borneo perlu diambil dalam dua hingga tiga tahun akan datang sebelum kuota pengambilan boleh kembali kepada asal, selepas bilangan guru di dua negeri itu mencukupi.

“Saya tidak salahkan guru dari Semenanjung yang memohon dipindahkan keluar dari Sabah dan Sarawak. Jika saya ada anak yang bertugas di Semenanjung, saya juga akan menyuruh dia pulang ke Sarawak.

“Saya menegaskan hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan kuota pengambilan guru pelatih masing-masing dari Sabah dan Sarawak kekal 30 peratus, yang antaranya bertujuan mengurangkan jumlah permohonan pertukaran guru.

William berkata, kuota pengambilan sedia ada jelas tidak mencukupi kerana ia hanya menyelesaikan masalah kekurangan guru di dua negeri terbabit bagi jangka pendek saja.

“Saya katakan banyak kali, kementerian perlu mengambil ramai guru pedalaman terutama mengikut etnik seperti dari suku Penan, Orang Ulu serta masyarakat Melayu di sini juga.

“Secara tidak langsung apabila ramai masyarakat luar bandar diambil berkhidmat sebagai guru, taraf kehidupan mereka akan meningkat dengan kesedaran terhadap kepentingan pelajaran dapat ditingkatkan,” katanya.

Klinik UPSR 2012 (Fasa 1): Daftar segera di JB, Shah Alam, Kluang – Berita Harian


Klinik UPSR 2012 (Fasa 1): Daftar segera di JB, Shah Alam, Kluang

2012/01/04

CALON Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu merebut peluang mengikuti program bimbingan peperiksaan berkualiti anjuran Unit Pendidikan Berita Harian yang akan berlangsung sepanjang tahun 2012 di beberapa lokasi seluruh negara.

Klinik yang memfokuskan teknik belajar bagi setiap subjek iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman & Penulisan), Bahasa Inggeris, Mathematics dan Science di samping menerapkan elemen motivasi akan dibimbing guru pakar dan penulis Fokus UPSR Didik.

Pendaftaran bagi mengikuti Klinik UPSR 2012 (Fasa 1) di lokasi lain seluruh negara boleh dibuat di alamat berikut:

JOHOR BAHRU: Hubungi Roszaidi Ramli 016-7665886/019-7728844/016-7177364/011-15157504/07-2546261. Klinik pada 18 – 19 Februari 2012. Tempat: Dewan UniKL MITEC, Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru.

SHAH ALAM: Hubungi Pusat Tuisyen Al-Hikmah, No 73A & B, Jalan Pelabur B, 23/B, Seksyen 23, Shah Alam. (03-55411771/55421598). Klinik pada 18 – 19 Februari 2012. Tempat: UiTM Shah Alam

KLUANG: Hubungi Fareeth Hamzah 016-7191252. Klinik pada 18 – 19 Februari 2012. Tempat: Dewan Pejabat Pendidikan Agama Daerah, Kluang.

KOTA BHARU: Hubungi Jabatan Pengedaran NSTP, Lot 184, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu (Hawari Mohamad/Zaidi Mahmood, 09-7417914/012-9635046/012-9630227).Klinik pada 24 – 25 Februari 2012. Tempat: PCB Resort.
KUALA TERENGGANU: Hubungi Jabatan Pengedaran NSTP, 1107U, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu. (Abdul Ghani Mat Nor) 017-9725280/09-6300114 . Klinik pada 24 – 25 Februari 2012.

IPOH: Hubungi Pejabat Berita Harian, No 10, Tingkat 1, Persiaran Greentown 4C, Greentown Avenue, Ipoh (Nur Ain, 05-2540323/2540324/012-4808791). Klinik pada 25 – 26 Februari 2012

GOMBAK: Hubungi Ahmad Dasuki Rauf, 013-3953915/013-3491778. Klinik pada 25 – 26 Februari 2012.

KUALA LUMPUR: Pendaftaran terus boleh dibuat di Kios Pendidikan Berita Harian, Balai Berita, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur. Sebarang pertanyaan hubungi Qhusairi /03-20569863, Muhammad Fakhri/Rosdi/Nuraihan – 03-20569368,03-20569912. Klinik pada 3 dan 4 Mac 2012.

MELAKA: Hubungi Daeng Tawi Enterprise, KM 10, Jalan Daeng Tawi, Telok Mas (Umi Kalsom Buang, 012-6411877/012-9742504/016-9286693, Nazri/Hadi 012-9742504/019-3233404). Klinik pada 3 – 4 Mac 2012. Tempat: Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KYM), Jalan Bukit Sebukor, Melaka.

7,000 graduan ISMP ditemuduga – Berita Harian


7,000 graduan ISMP ditemuduga
Oleh Syed Azwan Syed Ali

2012/01/03

Lulusan ijazah perguruan ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan nasib kira-kira 7,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) termasuk 5,000 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang belum ditempatkan akan ditemuduga bulan ini, sebelum mereka yang layak ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac depan.

Bagaimanapun, penempatan lepasan ISMP yang belum menjalani proses temu duga dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) tertakluk kepada kekosongan, opsyen dipilih dan cukup syarat kelayakan.

Difahamkan, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas peringkat Kementerian Pelajaran minggu lalu selepas kerajaan menyelesaikan isu membabitkan lebih 13,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) dengan 60 peratus darinya bakal diserapkan ke jawatan guru tetap selepas ditawarkan mengikuti kursus perguruan, juga mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ketika mengesahkan penempatan graduan ISMP, meminta lepasan guru itu bersabar kerana proses berkaitan sedang berjalan.

“Kita minta yang belum dapat penempatan kerja supaya bersabar kerana SPP sudah mendapat senarai semua IPTA untuk dipanggil temu duga. Apapun pelantikan itu akan dibuat berasaskan kepada kekosongan (di sekolah seluruh negara), opsyen dan cukup syarat kelayakan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kedudukan 7,000 lepasan ISMP yang belum ditawarkan tempat menyebabkan ada di kalangan mereka menganggur kerana sukar mendapatkan pekerjaan sesuai.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memberi jaminan untuk menyerap 7,079 GSTT ke jawatan tetap di seluruh negara selepas menawarkan pihak terbabit peluang mengikuti kursus dalam bidang perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan IPTA terpilih, dengan sebilangan daripada mereka ditawarkan menjadi guru kontrak yang dibayar gaji mengikut hari, bermula tahun ini.
Jumaat lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata kira-kira 3,000 graduan termasuk lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL dan lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang sudah ditemuduga bermula November lalu, dijangka ditempatkan di sekolah terpilih bermula bulan ini.

Sementara itu, Penyelaras Gabungan Graduan ISMP Malaysia, Abdul Rahman Usman menyambut baik jaminan kerajaan dan berharap masalah itu diselesaikan dengan segera kerana ada di kalangan lepasan ISMP yang menganggur sejak empat tahun lalu.

Katanya, kebanyakan majikan tidak berani mengambil graduan ISMP sebagai pekerja kerana khuatir mereka akan meninggalkan syarikat selepas menerima tawaran mengajar.