Polis kesal kehilangan anak gadis disifatkan satu penculikan – Bernama


Polis kesal kehilangan anak gadis disifatkan satu penculikan

23/03/2012 9:25pm

 

KUALA LUMPUR 23 Mac – Polis kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa yang menyifatkan kehilangan anak gadis mereka satu penculikan sedangkan ia sebenarnya tindakan melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kes sedemikian bukan satu jenayah tetapi merupakan masalah sosial yang berpunca daripada kegagalan institusi kekeluargaan.

“Sebelum ini, kita dapat kes yang menyatakan kononnya ada anak gadis yang diculik, tetapi sebenarnya apabila disiasat, mereka bukanlah diculik sebaliknya keluar rumah dan ikut teman lelaki sebelum kembali semula ke pangkuan keluarga.

“Kerana gagal menguruskan institusi kekeluargaan, ia membawa kepada masalah sosial hari ini,” katanya kepada pemberita selepas acara turun padang bersama masyarakat di Berjaya Times Square hari ini.

Ismail berkata, bagaimanapun, polis tetap memandang serius kes itu dan berusaha mendapatkan maklumat sehingga menjumpai mangsa.

Beliau berkata, meskipun ia masalah sosial, polis tetap sedia memberi kerjasama bagi membendung penularan kejadian seperti itu. – BERNAMA

Sistem sekolah vernakular bukan bererti tak cinta negara – Utusan


Sistem sekolah vernakular bukan bererti tak cinta negara

18/02/2012 7:35pm

 

 

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN & OOI CHOON

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Pengekalan sistem persekolahan vernakular bukan bererti pelajar sekolah aliran itu tidak mempunyai perasaan cinta kepada negara kerana mereka turut menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, orang ramai tidak harus menganggap kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak cinta kepada negara sebaliknya perlu menghormati agama, budaya dan bahasa kaum lain.

“Walaupun sekolah vernakular, mereka perlu mengikut silibus kementerian dan tiada bezanya sekolah aliran itu dengan sekolah lain. Pelajar sekolah juga tidak terhad kepada satu kaum sahaja.

“Penglibatan pelajar kaum lain dalam sekolah vernakular dapat meningkatkan tahap keharmonian negara apabila mereka saling memahami budaya dan bahasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panel sesi kedua yang bertajuk ‘Perjuangan Sekolah Vernakular: Apakah Implikasi kepada Masyarakat Cina’ pada Persidangan Masyarakat Cina di Persimpangan Politik di Berjaya Times Square di sini hari ini.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Institut Penyelidikan Dasar dan Analisis Strategik (Insap), Tan Sri Dr. Fong Chan Onn dan tiga ahli panel lain iaitu Dekan Institut Pengajian Cina Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof. Dr. Ho Khai Leong; Ketua Biro Pendidikan Pemuda MCA, Chong Sin Woon dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Tambah Ka Siong, menerusi sekolah vernakular, pelajar juga dapat mempelajari dan menguasai pelbagai bahasa tempatan serta dapat menyumbang kepada perpaduan negara apabila semua pihak dapat hidup dalam keadaan harmoni.

Sementara itu, Sin Woon pula memberitahu, sejak 2008 kerajaan telah meluluskan pembinaan 22 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) dan kira-kira 15 buah sekolah telah pun siap sepenuhnya.

“Peruntukan kerajaan juga mengalami peningkatan setiap tahun iaitu RM50 juta (2008), RM95 juta (2009) dan RM100 juta pada tahun ini.

“Masalah yang dihadapi oleh SRJK seperti kekurangan guru, sekolah dan peruntukan sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan MCA akan terus memastikan kelangsungan sekolah berkenaan terjamin pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN