Berkat kesungguhan – Metro


Berkat kesungguhan

 15  0 Google +0  0  0

Oleh Jauhariatul Akmal Johar

Rantau Panjang: “Hanya kesungguhan yang dapat membantu mencapai keputusan cemerlang. Saya sering menghafal pelajaran pada waktu pagi manakala ulang kaji subjek Matematik dan Matematik Tambahan dilakukan pada waktu petang,” kata Siti Syamimi Ramli, 18, selepas mendapat keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan, semalam.

Anak kepada pasangan peniaga itu mendapat keputusan A+ dalam subjek Matematik dan Matematik Tambahan manakala A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun, Kimia dan Biologi serta A- dalam subjek Fizik. Katanya, dia bersyukur kerana dapat mengulangi kejayaan selepas mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), dua tahun lalu.
“Saya bersyukur apabila kesungguhan selama ini terbalas dan ia membuktikan jika belajar bersungguh-sungguh pasti mendapat kejayaan biar di mana sekali pun kita belajar,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, di sini, semalam.

 

Manakala rakannya yang juga anak penoreh getah, Mohd Sobri Mohd Shaari, 18, mencatatkan kejayaan cemerlang apabila mendapat keputusan 9A 1B dalam SPM.
Kata Mohd Sobri, keazamannya untuk mencapai keputusan cemerlang begitu tinggi kerana dia mahu mengubah nasib keluarga.
“Kejayaan ini sebagai bukti anak penoreh getah mampu berjaya sekiranya berusaha bersungguh-sungguh.

 

“Sebelum mengulangkaji pelajaran, saya bangun seawal jam 4 pagi untuk menunaikan solat hajat selain menghafal al-Quran dan ia sentiasa diamalkan.
“Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan sains fizik kerana mahu menjadi jurutera elektronik,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22