Permintaan terakhir remaja lemas: ‘Saya mahu mandi lagi’
28 Mei 2013

Lubuk Yu yang meragut nyawa Raguventan.
BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA – ‘Saya mahu mandi lagi’ itulah permintaan terakhir seorang remaja India sebelum lemas ketika berkelah di Lubuk Yu, Maran, kira-kira jam 6.45 petang kelmarin.
Mangsa, Raguventan Perumal, 17, lemas buat kali pertama namun dapat diselamatkan oleh saudaranya sebelum terjun semula dan disahkan maut akibat lemas kali kedua.
Saudaranya, Ravi Raaman, 31, berkata, setelah mangsa lemas kali kedua, dia sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
“Ketika lemas kali kedua, Ragu (gelaran mangsa) diselamatkan seorang lelaki Melayu yang bekerja di Jabatan Perhutanan yang kebetulan ada ketika itu namun apabila dibawa naik, Ragu sudah lagi tiada,” katanya.
Sejurus itu katanya, dia dan 11 lagi saudara mara yang turut serta dalam perkelahan terbabit terus menghantar mayat mangsa ke Hospital Jengka.
“Kami semua datang dari Klang dan pergi ke kuil di Maran untuk bersembahyang. Selesai sembahyang, kami singgah berkelah di Lubuk Yu,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, ASP Abdul Razak Abdul Majid mengesahkan kejadian tersebut.
Ketika kejadian, ramai pengunjung berkelah di Lubuk Yu yang kini dibuka semula setelah disahkan selamat daripada virus kencing tikus.