Membazir hantar ke luar negara – Utusan


Membazir hantar ke luar negara

 

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan cadangan menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara sebagai membazir dan membuang masa.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk memperkasa kemahiran guru tersebut tanpa perlu meninggalkan sekolah kerana ia dilihat lebih praktikal serta tidak melibatkan kos yang tinggi.

“Adakah dengan menghantar guru ke luar negara benar-benar mampu menjamin mereka dapat memberi impak seperti yang diharapkan setelah pulang nanti?

“Saya yakin dengan kemampuan semua guru bahasa Inggeris sedia ada kerana mereka memiliki kelayakan yang cukup setelah mengikuti pengajian selama empat tahun di universiti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Kementerian Pelajaran mengkaji untuk menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara agar penguasaan mereka dalam bahasa itu dapat dimantapkan.

Mengulas lanjut, Hashim turut mencadangkan kepada kementerian supaya menggunakan semua pakar bahasa Inggeris tempatan termasuk yang telah bersara dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa dan teknik pengajaran guru terbabit melalui kursus-kursus pendek.

“Adalah lebih baik sekiranya pakar-pakar tempatan mengadakan kursus kepada guru Bahasa Inggeris di setiap sekolah untuk berkongsi pengalaman dan idea mereka bagi tujuan tersebut.

“Jangan memandang rendah serta memperlekehkan kemampuan pakar-pakar tempatan yang sebenarnya mampu memberi sumbangan besar dalam memantapkan penguasaan bahasa Inggeris guru di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, guru-guru juga perlu mengambil inisiatif sendiri dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing supaya mereka dapat bertutur dengan lebih yakin.

“Apa yang lebih penting, guru terlibat perlu membudayakan penggunaan bahasa itu bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi juga dalam kehidupan seharian,” katanya.

Opsyen JPP: CUEPACS mahu kerajaan campur tangan – Bernama


Opsyen JPP: CUEPACS mahu kerajaan campur tangan

10/02/2012 3:12am

 

KUALA LUMPUR 10 Feb — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan campur tangan dalam tawaran opsyen yang lebih fleksibel kepada 139 penjawat awam Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) jika cadangan penswastaan jabatan itu dilaksanakan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengadakan sesi taklimat untuk mereka kira-kira tiga bulan lepas mengenai cadangan penswastaan jabatan itu.

JPP ialah agensi di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

“CUEPACS tidak membantah cadangan penswastaan JPP tetapi kerajaan perlu campur tangan dalam isu ini dan mengembalikan opsyen kepada penjawat awam yang telah digugurkan sejak 2002, iaitu kakitangan diberi opsyen untuk kekal dengan jawatan dan gaji sedia ada selepas berlakunya penswastaan.

“Apa yang berlaku sekarang ialah JPA hanya menawarkan dua opsyen kepada penjawat awam berkenaan iaitu bersetuju untuk terus berkerja selepas penswastaan dan opsyen kedua ialah memilih untuk bersara awal,” katanya.

Omar berkata, demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pekerja terbabit untuk membincangkan isu cadangan penamatan perkhidmatan dan penswastaan JPP di pejabat JPP di Seri Kembangan di sini, semalam.

Beliau berkata, jika tidak dilaksanakan, seramai 139 penjawat awam yang terdiri daripada jurutera dan juruteknik itu akan kehilangan faedah skim kesihatan dan skim pencen selepas memilih bersara awal.

Selain itu, katanya JPA juga boleh menyerap mereka di kementerian lain seperti KeTHHA dan Kementerian Kerja Raya.

Beliau berpendapat opsyen yang diberi pada sesi taklimat JPA kepada JPP itu seumpama mengugut penjawat awam berkenaan untuk membuat pilihan yang sudah pasti tidak memberi faedah kepada kakitangan JPP dari sudut kewangan kelak.

Juesteru itu, Omar berkata beliau akan berjumpa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada masa yang terdekat ini untuk menyelesaikan isu itu. — BERNAMA

Penangguhan Perwakilan Kuasa SPP di Bawah Pekeliling SPP Bil. 1 Tahun 2009 dan Pekeliling SPP Bil. 3 Tahun 2009 berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 – SPP


Penangguhan Perwakilan Kuasa SPP di Bawah Pekeliling SPP Bil. 1 Tahun 2009 dan Pekeliling SPP Bil. 3 Tahun 2009 berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012

Dengan ini dimaklumkan bahawa Perwakilan Kuasa bagi Pekeliling SPP yang tersenarai seperti berikut adalah ditangguhkan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 sehingga selesai urusan semakan dan penyesuaian dengan sistem Saraaan Baru Perkhidmatan Awam:

  1. Pekeliling SPP Bil. 1 Tahun 2009 – Perwakilan Kuasa Urusan Pengambilan Calon Ke Jawatan Yang Bersyaratkan Kelayakan Masuk Lebih Rendah Daripada PMR Atau Yang Setaraf Dengannya Serta Urusan Perkhidmatan Yang Berkaitan; dan
  2. Pekeliling SPP Bil. 3 Tahun 2009 – Perwakilan Kuasa Urusan Pengambilan Secara Kontrak PPP Yang Telah Bersara Wajib Ke Jawatan PPPS Gred DG41/DG44 dan PPPLD Gred DGA29