Pelajar dibelasah senior – Sinar Harian


Pelajar dibelasah senior

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Pelajar dibelasah senior
Pandangan hadapan sekolah menengah yang dikesan berlakunya kes seorang pelajar tingkatan empat dibelasah lapan senior, malam Sabtu lalu.

TELOK AIR TAWAR – Gara-gara dikatakan bersikap kasar dan enggan mengikut arahan, seorang pelajar di sebuah sekolah asrama di sini, dibelasah sekumpulan senior sehingga hampir pengsan dan lebam seluruh badan, malam Sabtu lalu.

Pelajar tingkatan empat jurusan elektrik itu berkata, kejadian pada jam 10 malam itu bermula apabila dia enggan mengikut arahan beberapa pelajar senior yang mendiami asrama itu supaya lebih menghormati mereka.

“Saya sememangnya dikenali sebagai seorang pelajar yang tidak suka bercampur dengan pelajar lain melainkan dengan rakan rapat sahaja.

“Mungkin sikap saya itu tidak disenangi senior yang terdiri daripada pelajar tingkatan lima, termasuk kalangan mereka yang mendiami asrama menyebabkan saya ‘dibuli’ mereka,” katanya.

Menurut pelajar berkenaan, ketika tidur malam Jumaat lalu, dia didatangi lapan pelajar mengelilingi katilnya sebelum mereka bertindak membelasahnya.

Katanya, pada waktu itu, dia nekad mempertahankan diri dengan melawan balik, namun disebabkan bilangan mereka ramai, dia terpaksa menahan sakit apabila ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi.

“Akibat terkena pukulan di kepala dan pinggang, saya hampir pengsan dan mengalami kesakitan teramat, namun bernasib baik apabila rakan sebilik berjaya meleraikan mereka.

“Bimbang sesuatu lebih buruk, saya menghubungi ibu yang tinggal di Bertam, Kepala Batas memintanya datang ke sekolah dan membawa saya pulang,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, akibat kejadian berkenaan, beberapa bahagian badannya lebam dan mengalami kesakitan serta terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas.

“Saya bukan sahaja trauma dan sakit, tetapi juga tidak dapat hadir ke sekolah sejak semalam kerana bimbang keselamatan diri. Namun, hasil perbincangan dengan ahli keluarga, kami bersetuju tidak membuat laporan polis dan memanjangkan kes ini,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang dihubungi berkata, mereka sekeluarga enggan memanjangkan kes itu berikutan pelajar senior berkenaan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa terdekat.

“Kita tidak mahu menjejaskan persiapan mereka menduduki peperiksaan itu tetapi berharap kejadian ini tidak akan berulang lagi.

“Tambahan pula sebahagian besar daripada mereka menghubungi saya meminta maaf dan menyesali tindakan dilakukan terhadap anak saya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Seberang Perai Utara, Jamil Mohamed yang dihubungi mengakui kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana menyerahkan kepada pihak sekolah menanganinya, termasuk mengenakan hukuman setimpal jika pelajar senior terbabit didapati bersalah.