Pegawai penjara maut kemalangan di Melaka – Bernama


Pegawai penjara maut kemalangan di Melaka

25 November 2012

MELAKA – Seorang pegawai penjara dan seorang remaja perempuan maut dalam kemalangan jalan raya berasingan di Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata dalam kejadian pertama, pegawai Penjara Sungai Udang, Mohd Hanafiah Abd Wahab, 25, maut selepas kenderaan dipandu sepupunya bertembung sebuah lagi kereta di Lebuh Raya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) pada kira-kira 11 malam.

Beliau berkata kereta Mitsubishi Galant yang dinaiki mangsa dari arah Bertam Ulu menghala Sungai Udang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung Proton Saga BLM.

Katanya, ekoran kemalangan itu, Mohd Hanafiah tersepit di tempat duduk penumpang depan serta cedera di kepala dan dada sebelum disahkan meninggal dunia pada 11.25 malam di Hospital Melaka manakala sepupu mangsa yang berusia 30-an serta penumpang kereta Proton Saga terbabit hanya cedera ringan.

Dalam kejadian kedua, Salehhuddin berkata Nur Afiqah Sarip, 16, yang menaiki motosikal bersama adiknya, Hasyimah, 15, dari arah lampu isyarat Bukit Rambai menghala Ayer Salak maut ketika dalam perjalanan ke warung milik keluarga mangsa di kawasan berhampiran pada 8.50 malam.

“Mangsa dilanggar lari sebuah kereta yang datang dari arah sama sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lagi kereta,” katanya sambil menambah Nur Afiqah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adik mangsa cedera ringan. – Bernama

Pelajar maut ke sekolah – Sinar Harian


Pelajar maut ke sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Jun 2012

Orang ramai membantu mengangkat mayat mangsa. Gambar kecil: Muhammad Hakimi
SUNGAI UDANG – Seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Al-Ahmadi, di sini, maut ketika dalam perjalanan ke sekolah, selepas motosikal ditungganginya terbabas di Lebuh SPA berhampiran Bertam Ulu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kejadian berlaku pada jam 7.30 pagi apabila mangsa, Muhammad Hakimi Mohammad Tarmizi, 16, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bertam Ulu ke sekolah berkenaan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan.

“Mangsa maut di tempat kejadian kerana parah di kepala,” katanya, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, datuk mangsa, Johari Yaakop, 54, berkata, dia mengetahui anak sulung daripada tiga beradik itu kemalangan selepas rakannya di warung makan memaklumkan ada seorang pelajar maut kemalangan berhampiran Bertam Ulu.

“Sebaik mendengar berita ini, hati saya mulai bimbang kerana cucu saya menggunakan laluan berkenaan untuk ke sekolah.

“Saya segera ke lokasi kejadian dan kebimbangan saya menjadi kenyataan sebaik sahaja saya lihat mangsa adalah cucu saya sendiri,” katanya.

Rakan mangsa, Muhammad Faris Buang, 17, pula berkata, dia yang menunggang motosikal untuk ke sekolah ditahan oleh seorang lelaki ketika melalui lokasi kejadian yang bertanyakan
sama ada saya mengenali mangsa.

“Sebaik memberhentikan motosikal, saya terkejut melihat mayat yang terbaring adalah rakan sekolah saya,” katanya.