Pembantu am sekolah nyaris maut diserang gajah tanpa gading – Sinar Harian


Pembantu am sekolah nyaris maut diserang gajah tanpa gading
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Julai 2012
BESUT – Seorang pekerja sekolah nyaris maut diserang seekor gajah liar ketika dia sedang memungut buah durian di dusunnya di kawasan Hutan Jil dekat Hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, Mokthar Abu Bakar, 51, Pembantu Am Sekolah Kebangsaan Oh, Kampung Oh, Jabi berkata dia terkejut apabila diterpa oleh seekor gajah yang muncul secara tiba-tiba dari dalam semak berhampiran.

“Walaupun terkejut, saya sempat melarikan diri ke arah kereta yang saya tinggalkan tidak jauh dari tempat kejadian tanpa saya sempat mengambil buah durian yang gugur,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Payong di sini petang tadi.

Menurut Mokthar, dia memang menyedari kehadiran tiga ekor gajah berhampiran kebunnya sejak Ahad lalu, tetapi terpaksa memberanikan diri untuk mengutip durian etang semalam untuk dijual.

“Saya telah cuba mengusir dengan bunyi letupan senapang saya ketika menembak tupai beberapa hari lalu, tetapi nyata gajah tersebut langsung buat tidak kisah,” katanya.

Katanya, semasa kejadian itu dia berseorangan dan benar-benar terkejut apabila seekor gajah tanpa gading keluar secara tiba-tiba dari semak yang terletak bersebelahan kebunnya, yang jarak gajah itu kira-kira 25 meter darinya sebelum dia melarikan diri.

Difahamkan kumpulan gajah itu telah berada di kawasan tersebut sejak beberapa bulan lalu dan penduduk kampung serta para penoreh getah sering terserempak dengan kelibat binatang liar itu.

Ketua Perhilitan Besut dan Setiu, Edley A. Jiliun ketika dihubungi memberitahu Perhilitan akan menghantar segera kakitangan ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan sebelum tindakan lanjut dilakukan demi keselamatan penduduk setempat. – Bernama

Dua sekolah ditutup akibat banjir – Kosmo


Dua sekolah ditutup akibat banjir

 

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my

 

MOHD. FAKRUL AHMAD (kiri) bersama rakannya, Harda Isfi Asraf Hasan (kanan) dan Amsyiar Dania Irami murid tahun enam mengangkat rak buku yang terbalik kerana ditenggelami air dalam sebuah kelas di SK Kampung Buloh, Setiu semalam.

 

SETIU – Dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut dan SK Kampung Buloh dekat Bandar Permaisuri di sini terpaksa ditutup sementara akibat banjir yang berlaku sejak malam tadi.

Ini merupakan kali kedua SK Kampung Besut ditutup akibat banjir selepas kejadian pertama semasa penggal persekolahan mula dibuka pada 3 Januari lepas.

Penutupan kedua-dua sekolah terbabit menyebabkan seramai 736 murid diberikan cuti hingga keadaan kembali pulih.

Jurucakap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu berkata, sekiranya keadaan tidak berubah, sekolah akan terus ditutup dan para pelajar akan mengganti cuti berkenaan pada Sabtu.

“Pada awal musim baharu persekolahan dua minggu lalu, banjir turut melanda Kampung Pelong dan Kampung Jalan Hulu dekat sini menyebabkan SK Kampung Besut dan Kampung Bukit terpaksa ditutup,” katanya.

Dua sekolah di Setiu ditutup akibat banjir – Bernama


Dua sekolah di Setiu ditutup akibat banjir

15/01/2012 4:49pm

 

SETIU 15 Jan. – Dua dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut dan SK Kampung Buloh dekat Bandar Permaisuri di

sini terpaksa ditutup buat sementara akibat banjir yang berlaku sejak malam tadi.

 

Ini kali kedua SK Kampung Besut terpaksa ditutup akibat banjir selepas kejadian pertama semasa penggal persekolahan mula dibuka pada 3 Januari lalu.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Setiu, Kipayatullah Mohd. Said berkata, dua sekolah yang ditutup itu melibatkan seramai 736 murid dan mereka dibenarkan bercuti sementara sebelum keadaan kembali pulih.

 

“Sekiranya keadaan tidak berubah, kedua-dua sekolah itu akan terus ditutup dan para pelajar akan ganti belajar pada hari Sabtu,” katanya di sini hari ini.

Kipayatullah berkata, dua minggu lepas, banjir turut melanda Kampung Pelong dan Kampung Jalan Hulu dekat sini menyebabkan SK Kampung Besut dan Kampung Bukit terpaksa ditutup. – BERNAMA

Lebih 82,000 mula tahun satu – Bernama


Lebih 82,000 mula tahun satu

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Lebih 82,000 murid memulakan tahun satu di 1,305 sekolah rendah di Terengganu, Kedah dan Kelantan apabila penggal pertama persekolahan 2012 dibuka di negeri berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, sesi persekolahan terganggu di beberapa sekolah di Rantau Panjang dan Gua Musang di Kelantan serta Setiu di Terengganu kerana masalah banjir atau jalan masuk ke sekolah dinaiki air menyebabkan terputus hubungan.

Di TERENGGANU, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Hashim Mohd. Zain berkata, 21,024 murid memulakan tahun satu di 349 sekolah rendah.

Dua sekolah terpaksa menangguhkan sesi persekolahan kerana terlibat dengan banjir.

“Kedua-dua sekolah di daerah Setiu itu ialah Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit melibatkan 52 murid, dan Sekolah Kebangsaan Kampung Besut melibatkan 201 murid. InsyaAllah, jika keadaan cuaca dan banjir pulih, sekolah berkenaan akan dibuka mulai esok,” katanya.

Di KEDAH, 32,068 murid tahun satu di 538 sekolah memulakan sesi persekolahan hari ini, menurut Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat.

Bagi tingkatan satu, bilangan pelajar di 179 sekolah di Kedah meningkat kepada 34,202 tahun ini berbanding 33,256 tahun lepas.

“Bagi prasekolah, bilangan kelas bertambah sebanyak 20 menjadikan 546 kelas dengan 13,650 murid,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kelas Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Taman Uda di Alor Setar.

Selain itu, sebuah sekolah baharu dibuka di Sungai Petani iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bayu dengan jumlah pelajar berdaftar melebihi 300 orang.

Mansor berkata, jumlah guru yang mengajar di sekolah rendah untuk sesi persekolahan 2012 ialah 17,368 orang dan 11,897 di sekolah menengah.

Di KELANTAN, lebih 29,000 murid tahun satu memulakan alam persekolahan di 418 sekolah.

Pengarah Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata, 150,407 pelajar sekolah menengah pula memulakan sesi pengajian di 169 sekolah di negeri ini.

“Sebuah sekolah rendah yang baru di Gua Musang, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) Pulai, mula beroperasi hari ini,” katanya.

Hussain berkata, sebanyak 11 sekolah di daerah Rantau Panjang dan dua di Gua Musang tidak dapat memulakan sesi pengajian kerana masalah berkaitan banjir.

Antara sekolah terlibat di Rantau Panjang ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, SK Sri Rantau Panjang 1, SK Lubok Setol, SK Kok Pauh, SK Sri Rantau Panjang 2 dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah, Kampung Bongor.

Sekolah yang terlibat di Gua Musang pula ialah SK Balar dan SK Bihar di perkampungan Orang Asli yang terputus laluan ke sekolah kerana dinaiki air dan tanah runtuh.

Hussain berkata, sekolah-sekolah berkenaan akan beroperasi sebaik banjir pulih dan kerja pembersihan siap sepenuhnya. – BERNAMA