Bicara Isnin: Enam murid dalam satu sekolah – Sinar Harian


Bicara Isnin: Enam murid dalam satu sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2013
Enam murid dalam satu sekolah
Enam murid dalam satu sekolah

BUKAN sahaja melibatkan aktiviti keagamaan, tetapi kekurangan penduduk di sesebuah kampung juga boleh memberi kesan terhadap pendidikan peringkat sekolah rendah. Mungkin hakikat ini perlu dikupas dengan melihat keadaan kritikal di Sekolah Kebangsaan Lengkuas yang hanya mempunyai enam murid keseluruhan berbanding 10 murid, tahun lalu.

Guru besarnya, Norani Hassim berkata, namun begitu proses pembelajaran dan pengurusan sekolah tetap dilaksanakan dengan cemerlang. “Hanya enam murid tahun ini. Jumlah guru pula sembilan orang,” ujarnya.

Tambah Norani, pihak sekolah akur keadaan jumlah penduduk kampung telah mempengaruhi kemerosotan bilangan murid hingga kritikal sebegini. Infrastruktur dan bantuan daripada kerajaan mencukupi namun sayangnya tidak ramai murid.

Katanya, tidak banyak aktiviti dapat dilaksanakan dengan keadaan jumlah murid yang terlalu kecil. Namun berdasarkan pencapaian sebelum ini, tidak ada murid yang ketinggalan atau keciciran apabila kesemuanya boleh membaca dan lulus UPSR.

Beliau yang bakal bersara tidak lama lagi berkata, biarpun sepi dengan murid yang sedikit tetapi aktiviti antara pihak sekolah dan orang kampung menceriakan segala-galanya terutama jika ada lawatan, hari kokurikulum dan sambutan hari raya.

“Misalnya pada 31 Januari ini, pihak sekolah dengan kerjasama orang kampung akan mengadakan majlis penyampaian bantuan RM100 serta majlis persaraan saya,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan kampung Norani berkata, penduduk Kampung Lengkuas sentiasa memberikan kerjasama baik.

“Cuma jalan masuk ke kampung dan ke sekolah agak sukar. Jauh, kena melalui hutan, tetapi tahap keselamatan ketika melaluinya masih selamat,” ujarnya. Sebuah lagi sekolah yang berkemungkinan bakal diancam kekurangan murid ialah Sekolah Kebangsaan Changkat Banjar yang memiliki 39 murid berbanding 47 orang pada tahun lalu.

Guru besarnya, Jamaddin Kamaluddin berkata, pihak sekolah akur dengan faktor penghijrahan penduduk kampung yang berlaku kerana desakan sosioekonomi telah memberi kesan kepada jumlah murid. Katanya, seramai 14 guru di sekolah berkenaan boleh lebih fokus untuk mencipta kejayaan.

“Tahun lalu sekolah ini mempunyai 47 murid. Tahun ini jumlahnya menurun. Pencapaian UPSR tahun lalu juga bagus. Tiga murid memperoleh keputusan 4A, manakala seorang 3A 1B. Yang lain lulus,” katanya.

Jamaddin berkata, walaupun murid kurang tetapi bantuan kerajaan dan infrastruktur kepada sekolah ini mencukupi. “Saya berharap pihak ketua kampung membuat inisiatif untuk penambahan penduduk di kampung ini. Makin ramai penduduk, makin berpotensi pertambahan murid,” ujarnya.