“Sayang… Bangunlah, nak pergi sekolah hari ni. Semua kawan-kawan dah tunggu tu..” Demikian pujuk si ibu kepada anaknya yang masih tidak menunjukkan sebarang petunjuk mahu meninggalkan katilnya.
Sementara mata si ibu melirik ke arah jam, bimbang si anak akan kelewatan pada hari pertama persekolahan.
Mahu dimarah, terbit rasa kasihan melihat anaknya yang masih kecil tetapi mahu dipaksa-paksa bangun. Sedangkan masa masuk sekolah sudah hampir.
Maka terdetik di hati si ibu, “ohhh…sabarlah wahai hati. Jangan dimarah si anak itu. Di sini sabarku harus bermula.”
Hampir 10 minit berlalu, akhirnya si anak membuka mata dan mula mengeliat.
Cabaran seterusnya bermula, mandi!! Bukan mudah mahu melakukannya tanpa meninggikan suara. Si ibu menanam azam, tidak akan meninggikan suara pada si anak, bimbang si anak akan merasakan persekolahan menyusahkan sehingga dia perlu dimarahi ibu selalu.
Juga mengambil masa lebih kurang 10 minit, akhirnya si anak berjaya melangkah kakinya yang longlai ke bilik air. Si ibu memanjat kesyukuran dan terpancar senyuman pada wajah si ibu.
Namun, si ibu tahu, cabaran masih belum berakhir.
“Mummy, air terlalu sejuk! Mummy, ubat gigi terlalu sedikit. Mummy itu, mummy ini..,” ujar si anak. Terlalu banyak alasan. Kali ini si ibu mula mengurut dada.
Selesai mandi, yang hanya mengambil masa tiga minit, si anak mula memakai pakaian seragam sekolahnya. Si ibu mula menyisir rambut dan mengikat rambut. Itu pun tak kurang cabarannya, tetapi semuanya berjalan lancar.
Enggan membiarkan perut si anak kosong, si ibu berhempas pulas memastikan si anak memakan sarapannya. Mujur, si nenek sudi bangun awal menyediakan cekodok kegemaran cucunya.
Mujur si anak memberikan kerjasama dan makan sarapan yang dibuat khas neneknya. Tetapi kerjasama itu akan berterusan? Hanya Tuhan yang tahu.
Si ayahnya pula sudah berada dalam kereta memanaskan enjin, bersiap sedia mahu membawa si anak ke sekolah.
Akhinya, si anak tadi ditemani ibu dan bapanya menuju ke sekolah. Tidak mahu ketinggalan, si atuk turut menyertai ‘rombongan’ itu, demi beri semangat pada si cucu.
Mungkin bunyinya agak keterlaluan, tetapi alasan si atuk, dia ingin mengimbau kembali kenangan ketika menghantar anaknya ke sekolah.
Tiba di sekolah, si ibu memerhatikan si anaknya, matanya bersinar-sinar melihat begitu ramai kawan. Sedikit kelegaan kepada si ibu, anaknya akan baik-baik saja di sekolah dan dia akan membuat kawan dengan segera.
Nampaknya, sabar ibu bapa hanya benar-benar teruji pada hari pertama si anak melangkah kaki ke sekolah.
Bukan setakat memastikan persediaan anak ke sekolah siap rapi, malah dugaan-dugaan lain. Ibu bapa harus juga menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi pembiyaan yuran persekolahan anan-anak mereka.
Belum lagi bab-bab lain seperti pakaian dan kelengkapan persekolahan yang lain.
Kalau anak kembar, anak seorang, lebih dari seorang anak, pastinya setiap ibu bapa menghadapi beberapa cabaran lain.
Tetapi, demi sebuah kehidupan dan masa depan anak, semua cabaran ini perlu dihadapi dengan tabah, tanpa keluhan. Semoga anak-anak di sekolah menikmati alam persekolahan dengan gembira.
Selamat menikmati hari pertama persekolahan.