Pengambilan Guru Ambil Kira Keperluan Setiap Negeri – Idris Jusoh – mStar


Pengambilan Guru Ambil Kira Keperluan Setiap Negeri – Idris Jusoh

Oleh KANG SOON CHEN

 

Idris Jusoh

 

SUNGAI BULOH: Pengambilan guru pada masa hadapan akan mengambil kira keperluan setiap negeri dan bukannya hanya memenuhi keperluan di peringkat Persekutuan, kata Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata negeri-negeri tertentu seperti Kelantan memiliki terlalu ramai guru agama sehingga menyebabkan masalah kekurangan guru bagi mata pelajaran lain di negeri itu.

“Sekiranya guru boleh mengajar di negeri masing-masing daripada dihantar ke negeri lain, jadi ia akan mengurangkan masalah mereka memohon untuk berpindah kembali di kemudian hari,” kata Idris kepada pemberita selepas melawat kantin di SK Seri Pristana pada Selasa.

Sekolah itu dihimpit kontroversi berhubung isu penggunaan bilik persalinan sebagai kantin sementara pada bulan Ramadan.

Idris menggesa para guru dan ibu bapa dari sekolah itu untuk melupakan episod itu dan melangkah ke hadapan.

PIBG rancang dialog dengan ibu bapa – Metro


PIBG rancang dialog dengan ibu bapa

 0  0 Google +0  0  0

Sungai Buloh: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana di sini merancang untuk mengadakan dialog dengan ibu bapa dan penjaga pada 27 Oktober depan, kata Yang Dipertua (YDP) PIBG, Hussein Mohd Ariff.

Hussein berkata, langkah itu diambil bagi memberikan penjelasan kemelut yang berlaku mengenai isu membabitkan murid makan di bilik persalinan serta isu lain yang berkaitan.
“PIBG merancang berjumpa dengan ibu bapa untuk berdialog bagi membincangkan isu yang dibangkitkan ini dan pelbagai isu lain yang menjadi perhatian.

 

“Sempena program Pesta Ungu Ceria atau Hari Kantin pada 27 Oktober nanti, satu dialog akan diadakan dengan penjaga,” katanya pada sidang media ketika lawatan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di sekolah itu di sini, semalam.
Hussein juga menyatakan kekesalannya terhadap penjaga SK Seri Pristana baru-baru ini yang memuat naik gambar di laman sosial kononnya murid sekolah itu diarah makan di tandas dan ekoran tindakan terburu-buru itu, banyak pihak menerima kesan negatif.
Sebaliknya beliau berkata, ibu bapa terbabit sepatutnya mengikut prosedur dengan berjumpa pihak sekolah dan memberi peluang kepada PIBG untuk bertindak. “Kalau tidak puas hati dengan apa saja perkara berkaitan murid dan sekolah jumpa PIBG, tapi tidak sempat kami bertindak sudah masuk dalam facebook,” katanya.

 

Beliau sebelum ini memberitahu bahawa PIBG sememangnya mengetahui pelaksanaan kantin tambahan di bilik persalinan sejak Mac lalu malah kebanyakan ibu bapa sedia maklum perkara itu.
Perkara itu mula diperkatakan apabila pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar murid sedang makan di bilik persalinan dan mendakwa pihak sekolah mengarahkan pelajar bukan Islam makan di situ ketika waktu rehat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

Isu Kantin: Guru Besar Akan Kembali Ke Sekolah Khamis Ini – mStar


Isu Kantin: Guru Besar Akan Kembali Ke Sekolah Khamis Ini

Oleh JASTIN AHMAD TARMIZI

PETALING JAYA: Guru Besar SK Seri Pristana di Sungai Buloh yang dihimpit kontroversi berhubung isu penggunaan bilik persalinan sebagai kantin sementara sudah bersedia untuk kembali ke sekolah.

Mohamad Nasir Mohd Noor berkata, dia akan kembali bekerja pada Khamis sekali gus menafikan laporan bahawa beliau akan kembali ke sekolah, Selasa ini.

“Saya sepatutnya kembali bekerja pada Khamis, bukan esok (Selasa),” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Bagaimanapun Mohamad Nasir enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Nasir menafikan beliau diarahkan untuk mengambil cuti selama seminggu untuk meredakan kemarahan berhubung tindakannya mengarahkan murid-murid SK Seri Pristana untuk makan pada waktu rehat di bilik persalinan.

Sebaliknya, beliau memutuskan untuk mengambil cuti selama seminggu secara sukarela selepas menerima dua ugutan bunuh.

Pada minggu lalu, beberapa keping gambar yang menunjukkan murid-murid di sekolah tersebut sedang makan di bilik persalinan pada waktu rehat disiarkan di laman sosial Facebook.

Sikap ultra kiasu isu makan di bilik persalinan – Berita Harian


Sikap ultra kiasu isu makan di bilik persalinan

2013/07/29 – 07:54:29 AM Ridhuan Tee AbdullahCetakEmel Kawan
PIBG mesti sanggah tuduhan terhadap Pengetua SK Seri Pristina, bukan diamkan diri

Apakah salah makan di bilik persalinan dan apakah isu atau masalah sebenarnya? Saya masih mencari-cari jawapan. Kenapa kita begitu cepat melatah?

Saya selalu menginap di hotel. Adalah perkara biasa di bilik persalinan diletakkan sinki untuk sesiapa saja makan dan minum di situ. Lebih teruk lagi bilik persalinan tidak diasing dengan tandas. Tandas berada bersama bilik persalinan. Adakah salah? Adakah tidak ada bau tandas? Kenapa tidak diprotes semua hotel yang berbuat demikian?

Apabila sekolah melakukannya buat sementara, bagai hendak kiamat Malaysia. Tanpa mendengar penjelasan pihak sekolah, kita terus mangsakan mereka. Adakah ini wajar?

Kenapa diam? Kenapa Kementerian Pelancongan tidak arahkan bilik persalinan diasing jauh dari tandas? Hanya kerana hotel itu mengikut cita rasa Barat. Kita pun setuju. Apabila sekolah melakukannya buat sementara, bagai hendak kiamat Malaysia. Tanpa mendengar penjelasan sekolah, kita terus mangsakan mereka. Adakah tindakan ini wajar?

Setelah dijelaskan pihak sekolah pun, ada yang tidak berpuas hati. Ada yang mendesak guru besar itu digantung tugas, dipindahkan dan sebagainya.

Kecualilah makan dalam tandas seperti berita yang mula-mula saya baca dalam laman web ultra kiasu. “Subhanallah, teruknya sekolah ni!” kata saya dalam hati. Apabila disiasat, rupa-rupanya makan minum dalam di bilik persalinan. Jauh bezanya, antara bilik persalinan dan tandas tetapi itu perangai ultra kiasu.

Mengapa tak pertikai hotel
Hatta, kalau makan minum dalam tandas sekalipun, pada saya itu perkara biasa, walaupun tidak beradab. Pergilah ke hotel atau spa. Selepas bersauna atau mengurut, kadangkala mereka akan bawa air masuk tandas minum. Begitu juga mereka yang merokok dalam tandas. Ini satu lumrah. Kenapa tidak dipertikaikan?

Saya tidak kata tindakan ini betul. Saya benci mereka yang merokok dalam tandas. Turut membahayakan orang lain. Kenapa perkara ini boleh diterima tetapi tidak kepada murid yang makan di bilik persalinan buat sementara?

Mungkin ada yang mempertikaikan, apa beza antara minum dan merokok. Persoalan saya, tidakkah semuanya masuk ke dalam perut? Termasuk juga mereka yang makan minum dalam tandas kerana tidak berpuasa.

Penulis bersimpati dengan pentadbir menimpa Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristina, Sungai Buloh. Niat mereka baik, tetapi disalah tafsirkan. Ultra kiasu sengaja mensensasikan untuk mendapat publisiti murahan. Kita pun cepat melatah, termasuk kementerian, bertindak tanpa usul periksa.

Saya puji tindakan Timbalan Menteri Pendidikan yang menutup soal kerana benda ini kecil. Bak kata pepatah, minda kecil bincang pasal orang, minda sederhana bincang pasal peristiwa, minda besar bincang pasal idea. Jadilah orang berminda besar. Paling kurang pun sederhana. Berilah idea kepada sekolah, di tempat manakah paling sesuai untuk makan minum selain bilik persalinan.
Alasan sekolah kukuh, bilik persalinan sudah digunakan bersama dengan kantin oleh semua murid sejak Mac lalu, bukan hanya ketika bulan puasa kerana kantin boleh memuatkan 500 hingga 600 murid. SK Seri Pristana mempunyai 1,300 pelajar. Ekoran kerja pengubahsuaian di kantin bermula dua minggu lalu, semua pelajar diminta makan di bilik persalinan. Guru bimbang keselamatan murid ketika kerja pengubahsuaian.

Tak usah sensasi isu

Pada saya, tindakan pihak sekolah itu wajar. Saya amat yakin perkara ini sudah dibawa berbincang dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Lagipun kantin sekolah sedang diubah suai. Mana lagi tempat yang lebih sesuai. Setelah dibincangkan. Itulah pilihan terbaik. Takkan nak makan di bilik guru pula. Apabila PIBG bersetuju dengan tindakan itu, maka ia dilaksanakan kerana PIBG mewakili ibu bapa. Itulah peranan PIBG. Justeru, tidak perlu disensasikan.

Adalah mustahil untuk mendapatkan pandangan semua ibu bapa dalam membuat sesuatu keputusan. PIBG adalah plat-form yang terbaik kerana mereka mewakili ibu bapa. Kenapa hanya seorang saja yang nak dimangsakan. Malangnya, ramai ibu bapa yang tidak mahu datang mesyuarat PIBG. Tiba-tiba ibu bapa ini mahu menjadi hero atau heroin.

PIBG sepatutnya tampil ke hadapan membela atau mempertahankan keputusan itu. Bukan hanya diam membisu setelah diasak oleh ultra kiasu. Begitu juga dengan kementerian. Jangan terlalu cepat melatah. Kaji dan siasat dulu.

Penulis ialah Prof Madya/Ketua Program Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Pelajar makan di bilik persalinan, bukan tandas – Bernama


Pelajar makan di bilik persalinan, bukan tandas

 

GAMBAR yang tersebar di internet menunjukkan beberapa pelajar bukan Islam dikatakan dipaksa makan di dalam tandas di sebuah sekolah kebangsaan di Sungai Buloh, Selangor seperti didakwa oleh sebuah blog hari ini. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati ia adalah sebuah bilik persalinan yang sudah diubah suai dan dilengkapi dengan meja dan sinki.

KUALA LUMPUR 23 Julai – Kementerian Pendidikan mengarahkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) supaya memindahkan tempat makan sementara Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, ke tempat lebih bersih dan munasabah.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata menjadikan bilik persalinan sebagai tempat makan sementara untuk para pelajar bukan beragama Islam pada bulan Ramadan adalah tidak sesuai sama sekali.

“Perkara ini tidak harus berlaku. Saya kecewa. Kementerian memandang serius perkara ini dan meminta BPSH membuat siasatan serta-merta dan katakan pada kita mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap pegawai yang membuat keputusan ini (makan di bilik persalinan),” katanya kepada Bernama di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

“Ia hanya bilik persalinan dan bukanlah tandas. Walaupun ia bilik persalinan, itu bukanlah tempat untuk kita makan, no foods allowed,” tegasnya sambil berkata beliau difahamkan kantin sekolah itu baru memulakan proses penambahbaikan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan kononnya murid bukan Islam di sebuah sekolah rendah dipaksa makan di tandas semasa Ramadan.

Gambar yang tersebar di laman sosial memaparkan sebilangan murid yang dikatakan bukan beragama Islam berada di sebuah bilik menyerupai bilik air, dengan botol air dan bekas makanan berada di atas sebuah meja.

Kamalanathan berkata: “Sekiranya pengusaha kantin tidak mahu beroperasi pada bulan Ramadan, pihak sekolah boleh melantik pengurusan kantin sementara.

“Sekiranya kantin dalam proses baik pulih, mereka harus mencari lokasi yang sesuai di mana ada keperluan untuk sesebuah kantin seperti tempat yang bersih, ada tempat untuk mencuci tangan dan ada tempat duduk untuk makan dan minum.”

Sambil memohon maaf sekiranya apa yang berlaku mewujudkan perasaan tidak selesa dalam kalangan ibu bapa, timbalan menteri itu berharap kejadian seumpama itu tidak berulang. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130723/dn_28/Pelajar-makan-di-bilik-persalinan-bukan-tandas#ixzz2ZrwSaLWo
© Utusan Melayu (M) Bhd