Bimbang peningkatan kes rogol remaja – Utusan


Bimbang peningkatan kes rogol remaja

KULIM 27 Mac – Polis bimbang dengan peningkatan kes rogol terutamanya melibatkan remaja bawah umur di daerah Kulim sejak akhir-akhir ini.

Ketua Polis daerah, Supritendan Ghuzlan Saleh berkata, terdapat sekurang-kurangnya satu kes rogol dilaporkan setiap minggu sejak awal tahun lalu.

Beliau berkata, antara punca yang menyumbang kepada peningkatan kes berkenaan adalah kecuaian ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak terutama perempuan.

“Apa yang membimbangkan kita ialah terdapat beberapa kes rogol berlaku di bilik tidur remaja perempuan semasa ibu atau bapa mereka turut berada dalam rumah.

“Kebanyakan mangsa berusia antara 14 hingga 15 tahun, malah ada juga yang sudah mengandung sebelum laporan polis dibuat,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis Ke-205 peringkat daerah di sini semalam.