LGBT: Kementerian Pelajaran tidak pernah beri garis panduan – Bernama


LGBT: Kementerian Pelajaran tidak pernah beri garis panduan

15 September 2012

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak pernah memberi pengesahan kepada mana-mana pihak menyedia atau mengeluar garis panduan mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk tujuan pengedaran ke sekolah seluruh negara.

“Pengesahan kepada garis panduan tersebut tidak pernah dikeluarkan,” menurut kenyataan KPM sebagai merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkaitan pengesahan garis panduan LGBT yang dibincangkan di Seminar Keibubapaan mengenai isu LGBT di Pulau Pinang pada 13 Sept lepas.

Menurut kenyataan itu, KPM memandang berat isu LGBT yang berlaku dalam masyarakat dewasa ini dengan mengambil beberapa inisiatif memerangi gejala tersebut.

“KPM akan sentiasa memberi bimbingan secara langsung dan tidak langsung kepada semua murid (dan pelajar) untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak kementerian menyokong satu ‘Garis Panduan’ kepada ibu bapa untuk mengenal pasti ‘simptom’ Gay dan Lesbian pada anak mereka bagi mengambil langkah untuk membetulkan keadaan itu.

Antara isi garis panduan itu adalah, “Simptom” gay mempunyai badan sasa dan gemar menunjukkan badan dengan memakai baju berkolar-V dan tidak berlengan serta suka membawa beg besar sama seperti yang digunakan wanita apabila keluar manakala “Simptom” lesbian adalah tertarik kepada wanita serta gemar keluar, makan, dan tidur dengan wanita. – Bernama

Murid tahun dua meliwat dalam tandas – Metro


Murid tahun dua meliwat dalam tandas
KLANG: Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang hanya dikaitkan dengan golongan dewasa semakin membimbangkan banyak pihak kerana dikesan boleh mengancam golongan pelajar sekolah.

Jika gejala ini tidak dipandang serius, ia mungkin menular kepada pelajar kerana wujud laporan daripada pihak sekolah kes di mana murid tahun dua di Petaling Perdana ditangkap kerana meliwat di dalam tandas sekolah, baru-baru ini.
Penolong Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana, Wan Fauziah Wan Abdullah berkata, kurang didikan agama dan perhatian ibu bapa serta penggunaan Internet tanpa kawalan menjadi pendorong berlakunya gejala ini.

“Empat kes membabitkan pelajar diterima sejak Januari hingga awal Jun lalu dan pihak kami akan memanggil pelajar terbabit untuk diberi kaunseling.
“Ibu bapa turut dipanggil bagi memastikan perbuatan anak mereka diketahui dan pemantauan berpanjangan boleh dilakukan untuk mengekang perbuatan sama berulang,” katanya ketika ditemui pada program Seminar Keibubapaan Isu LGBT, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sementara itu, Mohd Puad meminta semua pihak, terutama ibu bapa dan guru, memantau gejala LGBT yang ditunjukkan oleh pelajar bagi mencegah ia menjadi fenomena dan gaya hidup masyarakat.
Menurutnya, walaupun perbincangan mengenai LGBT masih taboo di kalangan masyarakat, mereka tidak harus berasa malu membincangkannya isu itu bersama anak kerana ia bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada mereka.

“Kita berharap program seminar seperti ini bukan saja dapat memberi penerangan mengenai gejala LGBT, tetapi kita mahu masyarakat, terutama ibu bapa dan guru, mencegah ia daripada terus menular,” katanya.

JMM dedah ada pihak promosi LGBT, seks bebas kepada pelajar – Utusan


JMM dedah ada pihak promosi LGBT, seks bebas kepada pelajar

Azwanddin Hamzah (duduk kanan bersama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru Wilayah Persekutuan menunjukkan risalah memerangi lesbian, gay, biseksual dan transgender di Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mendedahkan terdapat usaha pihak yang menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mempromosi pesta seks bebas dalam kalangan pelajar khususnya di kawasan Lembah Klang dan Selangor.

Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, maklumat itu diperolehi hasil hubungan baik pihaknya dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa sekolah sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, pihak terbabit bukan sahaja mempromosi seks bebas kepada pelajar, malah mereka sanggup menaja kegiatan jijik itu dengan turut menawarkan tempat, minuman keras percuma, pil khayal selain menggalakkan bertukar-tukar pasangan.

“Keadaan diburukkan lagi apabila pelajar-pelajar ini tidak hadir ke sekolah dan tidak pulang ke rumah beberapa hari.

“Oleh itu, tindakan yang menyokong LGBT serta seks songsang mengumpan pelajar-pelajar ke pesta seks bebas adalah satu tindakan berniat jahat dan bertujuan merosakkan masa depan pelajar dan sistem kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum bermulanya mesyuarat JMM bersama 10 PIBG bagi menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Menangani LGBT di Ampang dekat sini hari ini.

JMM merupakan salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang begitu aktif menentang aktiviti LGBT kerana jelas perbuatan tersebut amat dilarang oleh agama serta bertentangan dengan moral dan fitrah manusia.

Azwanddin berkata, perkembangan yang berlaku itu amat menggusarkan hati ibu bapa apatah lagi aktiviti serta kumpulan LGBT turut mendapat sokongan golongan profesional seperti Majlis Peguam termasuk bekas Presidennya, Datuk S. Ambiga.

“Ibu bapa berasa cemas apabila melihat kenyataan golongan menyokong program seksualiti merdeka (berkaitan LGBT). Kumpulan ini cuba memberi persepsi palsu mengenai kebaikan program itu.

“Hakikatnya, LGBT dan seks bebas bukan hak asasi manusia tetapi ia merupakan satu perbuatan paling jijik. Islam mengharamkan perbuatan itu. Ia bertentangan dengan akidah Islam.

“Agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu juga menolak perbuatan itu. Bukan itu sahaja, ada di antara perbuatan LGBT diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah antaranya liwat,” ujarnya.

Ekoran perkembangan itu, Azwanddin berkata, JMM mengorak langkah mengadakan kerjasama lebih erat dengan seberapa banyak PIBG di Lembah Klang dan Selangor bagi menyedarkan ibu bapa mengenai bahaya LGBT.

“Kita perlu menyedarkan ibu bapa bahawa LGBT membawa kemudaratan kepada masyarakat serta keluarga, lebih-lebih lagi Islam mengharamkan perbuatan jijik itu,” katanya.

Melalui kerjasama tersebut, katanya, JMM dan PIBG melakukan aktiviti di sekolah agar pelajar diberi pendedahan mengenai gejala LGBT yang kini dilihat semakin menular.

“Kita akan mengedarkan risalah serta mengadakan beberapa aktiviti bagi menerangkan kesan LGBT kepada agama, negara dan sosial jika perbuatan jijik itu dibiarkan begitu sahaja,” katanya.