BN janji mansuh yuran sekolah agama Kelantan – Bernama


BN janji mansuh yuran sekolah agama Kelantan

BACHOK 13 Mei – Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kelantan akan memansuhkan yuran pengajian sebanyak RM190 setahun yang dikenakan kepada murid sekolah agama di Kelantan sekiranya diberi peluang memerintah negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, yuran yang dikenakan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) ketika ini sangat membebankan golongan ibu bapa.

“Kita berjanji akan memansuhkan yuran berkenaan, jika diberi kepercayaan (memerintah),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok di Pangkalan Petah di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan ibu bapa yang terpaksa menanggung bayaran yang tinggi untuk anak mereka yang sedang belajar di sekolah agama.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata selain memansuhkan yuran itu, kerajaan BN juga berjanji untuk menaikkan taraf sekolah agama rakyat di negeri itu yang dalam keadaan kekurangan.

Beliau berkata ini termasuk gaji guru dan kakitangan yang kini agak rendah dan tidak diberi taraf pencen walaupun telah berkhidmat lebih 20 tahun.

Ramai di kalangan mereka telah mengadu kepadanya mengenainya dan saya sangat bersimpati dengan nasib mereka, katanya. – BERNAMA