SMK Seri Titiwangsa sedia rampas Piala Sumbangsih – Sinar Harian


SMK Seri Titiwangsa sedia rampas Piala Sumbangsih

23 Februari 2013
SMK Seri Titiwangsa sedia rampas Piala Sumbangsih
Dari kiri: Ketua Jurulatih SMK Tunku Anum, Basirol Abu Bakar; Muhammad Zhafir; Penolong Pengarah Bahagian Sukan, KPM, Harmiles Daramin; Muhammad Shuaib dan Jurulatih SMK Seri Ti

BERBEKALKAN kekuatan dan persediaan rapi pasukan, kapten SMK Seri Titiwangsa, Muhammad Shuaib Mohamad percaya, trofi Piala Sumbangsih mampu digenggam.

Bertemu juara bertahan Liga Kementerian Pelajaran (KPM), SMK Tunku Anum hari ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Muhammad Shuaib, akui pertemuan malam nanti pasti sukar.

“Tiada perlawanan yang mudah. Namun dengan persediaan pasukan dan kerja keras, kami mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain.

“Namun, beraksi di laman sendiri memberi kami banyak  kelebihan dalam usaha menyekat kemaraan lawan,” katanya.

Manakala Kapten SMK Tunku Anum,  Muhammad Zhafir Mohd Yusoff berkata, selaku juara liga musim lalu, pasti pasukan lain akan memberi tentangan sengit bagi mencabar kejuaraan musim ini.

“Apa pun, perlawanan malam nanti merupakan aksi pembukaan dan kami mahu mulakan dengan kejuaraan pertama.

“Kami tidak akan biarkan ia terlepas sekali lagi, memandangkan tahun lalu kami gagal mendapatkannya apabila tewas kepada SMK Seberang Temerloh,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Liga KPM musim ini dimulakan dengan format baru sejajar dengan peraturan yang diguna pakai Persatuan Bola Sepak Malaysia, bagi memastikan liga berlangsung lebih kompetitif.

Berdasarkan format baru, pasukan dengan ranking terbaik akan beraksi dalam Liga Super KPM, manakala selebihnya akan bertarung di Liga Perdana KPM.

Apex, Super Safee rai anak yatim – Sinar Harian


Apex, Super Safee rai anak yatim
SITI ZUBAIDAH MAT ISA & MOHD FAHMI ISMAIL
16 Ogos 2012

Safee tidak menang tangan membantu menguruskan kelengkapan pakaian raya anak-anak yatim.
Apex juga arif dalam memilih pakaian yang sesuai untuk anak yatim. FOTO: NADZME NADZEM
WALAUPUN sibuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dengan jadual latihan yang ketat, dua personaliti bola sepak tanah air dan Harimau Malaya Safee Sali serta penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, masih sempat meluangkan masa bersama-sama golongan kurang bernasib baik.

Bertempat di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya baru-baru ini, Safee meluangkan masa kira-kira satu jam melayan dan membantu 30 anak-anak yatim dari Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah membeli kelengkapan hari raya menjelang Syawal yang bakal tiba.

Begitu juga Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apex yang turut serta keesokan harinya bersama 20 anak-anak yatim Rumah Anak-anak Yatim Darul Taqwa, Sungai Besi.

Program sehari bersama personaliti itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial (CSR) Mamee Double Decker (M) Berhad dan tidak terhenti setakat itu sahaja.

Tahun ini, penganjur membawa sedikit kelainan dengan menganjurkan aktiviti bersahur bersama kedua jaguh bola sepak Malaysia di rumah amal terpilih.