
Keadaan kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer 9 Jalan Baru Bentong-Raub, pagi semalam. Gambar kecil: Subramaniam.Keadaan kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer 9 Jalan
BENTONG – Hasrat seorang pekerja kilang menghantar tiga anaknya ke sekolah tidak kesampaian apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 6.50 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian berlaku di Kilometer 9, Jalan Baru Raub-Bentong membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Persona dan Honda.
Menurutnya, mangsa, R Subramaniam, 44, bersama tiga anaknya termasuk pasangan kembar berusia 15 tahun menaiki Proton Persona dalam perjalanan dari arah Raub ke Bentong.
“Kereta Honda itu pula dinaiki seorang wanita 26 tahun bersama seorang anak perempuan berusia lima tahun. Setibanya di tempat kejadian, dua kenderaan berkenaan dipercayai bertembung dari arah bertentangan,” katanya.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, Subramaniam bersama tiga anaknya terpaksa dibantu orang ramai untuk keluar dari kenderaan sebelum dibawa ke Hospital Bentong.
Katanya, pemandu Honda pula tersepit dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat, manakala anaknya dikeluarkan orang awam.
“Semua mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.
“Namun, Subramaniam disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.25 pagi (semalam) kerana mengalami kecederaan pada kepala dan dalaman,” katanya.
Mohamad Mansor berkata, kejadian itu juga mengakibatkan anak Subramaniam berusia 15 tahun, patah kaki dan seorang lagi cedera pada kepala, manakala pemandu wanita terbabit pula mengalami kecederaan teruk pada muka.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Mohd Sakri Ibrahim berkata, seramai lima anggota dan satu jentera bomba terbabit dalam operasi menyelamat.
Menurutnya, mereka mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan pemandu wanita terbabit kerana mangsa tersepit di bahagian kaki dan badan.
“Mangsa lain pula dikeluarkan dengan bantuan orang awam kerana tidak tersepit,” katanya.