Pendam rahsia dirogol selama 2 tahun – Sinar Harian


Pendam rahsia dirogol selama 2 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Disember 2012

JEMPOL – Rahsia perbua-tan keji seorang bomoh yang dipercayai merogol dua beradik di Felda Pasoh di sini akhirnya terbongkar setelah mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum membuat laporan polis pada 2 Disember lalu.

Kejadian yang dipendam mangsa selama dua tahun itu dipercayai berlaku ketika mereka mendapatkan rawatan daripada bomoh itu di lokasi berbeza sekitar Felda Pasoh.

Sumber berkata, mangsa yang kini berumur 18 dan 16 tahun  bagaimanapun mendakwa bagaikan dipukau oleh bomoh licik itu sebelum menyedari kejadian itu pada 2011.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 2010 dalam bilik di rumah mangsa yang sebelum itu bomoh berkenaan dipercayai baru selesai merawat kakak mangsa.

“Bagaimanapun perbuatan bomoh itu dilakukan secara berulang dan berlarutan sehingga 2011 tanpa disedari ibu mangsa.

“Ibu mangsa, 55, menyangka mangsa hanya mendapatkan rawatan dalam bilik  susulan bomoh itu sememangnya dikenalinya.

“Dua beradik ini kemudian nekad membuat laporan polis pada 2 Disember lalu di Balai Polis Simpang Pertang, Jelebu,” katanya.

Manakala suspek berumur 38 tahun ditahan reman pada keesokan harinya di Simpang Pertang dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dalam perkembangan berlainan, seorang penganggur ditahan reman tujuh hari bermula semalam   dipercayai mendera anak saudaranya berumur empat tahun di kediamannya di Felda Lui Selatan.

Sumber berkata, ibu mangsa yang kini dalam proses penceraian dengan adik suspek dikatakan terpaksa meninggalkan mangsa di bawah jagaan keluarga mentua akibat masalah kewangan.

Kejadian itu disedari ibu mangsa, 23, merupakan adik ipar suspek, 32 , apabila ingin membawa anaknya pulang ke Felda Pasoh pada 30 November lalu.

“Ibu mangsa mendapati pipi sebelah kiri anaknya luka dan lebam namun hanya menyangka anaknya itu jatuh. Akibat rasa tidak puas hati, ibu mangsa bertindak bertanya kepada mangsa lalu mangsa memberitahu dia dipukul oleh bapa saudaranya,” katanya.

Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sungai Lui, kira-kira jam 1.45 petang pada 4 Disember lalu.

Suspek   ditahan reman bermula semalam sehingga 7 Disember ini bagi membantu siasatan kes Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Ketua polis daerah, Superitenden Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes rogol remaja dan dera kanak-kanak berkenaan.

Guna bomoh cari anak lembam – Sinar Harian


Guna bomoh cari anak lembam
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012

mohd suhaimi
ALOR SETAR – Perasaan bimbang semakin membelenggu fikiran ibu kepada remaja lembam, Mohd Suhaimi Ramli, 15, yang tidak pulang sejak 13 hari lalu.

Rohani Mohd Ali, 44, berkata, setelah berita mengenai kehilangan anaknya disiarkan di dalam akhbar, dia turut menerima panggilan orang ramai yang terserempak dengan anaknya di sekitar pusat bandar dengan menunggang basikal fixie.

Menurutnya, ada dalam kalangan jiran dan rakan anaknya itu yang memaklumkan mereka turut ternampak remaja itu menunggang basikal di Jalan Putra.

“Perasaan saya sebagai ibu sukar digambarkan kerana setiap hari memikirkan keadaan dan makan minumnya, apatah lagi dia mengalami masalah lembam.

“Usaha mencari Mohd Suhaimi masih dilakukan walaupun saya rabun. Saya tetap berusaha mencari untuk membawanya pulang,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian 2 Jun lalu, menyiarkan berita mengenai kehilangan Mohd Suhaimi yang tidak pulang ke rumahnya di Flat Seri Gemilang, Mergong, setelah keluar tanpa memaklumkan kepada sesiapa.

Ketika kejadian Mohd Suhaimi tinggal bersama kakaknya, manakala Rohani keluar bekerja namun kakaknya terlupa mengunci pintu rumah yang memberi peluang kepada remaja itu keluar.

Mohd Suhaimi, yang keluar dengan menunggang basikal fixie berwarna merah tidak membawa wang dan kad pengenalan.

Rohani berkata, mereka sekeluarga langsung tidak mempunyai sebarang masalah atau perselisihan faham dengan Mohd Suhaimi.

Selain usaha mencari di beberapa kawasan, Rohani berkata, mereka turut berikhtiar dengan cara berjumpa bomoh bagi mengesan Mohd Suhaimi.

“Bomoh memaklumkan anak saya masih berada di kawasan sekitar, termasuk pusat bandar namun tidak tahu bagaimana untuk pulang.

“Masalah lembam yang anak saya alami itu menyebabkan saya khuatir dia tidak tahu jalan untuk pulang ke rumah,” katanya.

Rohani berharap kepada sesiapa yang terserempak dan menjumpai Mohd Suhaimi agar membantu membawa remaja itu pulang ke pangkuan keluarga.