Kegiatan luar bentuk keperibadian pelajar – Harian Metro


Kegiatan luar bentuk keperibadian pelajar

Oleh ROSELAN ABD MALEK
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LIPIS: Pembabitan pelajar dalam kegiatan luar perlu digalakkan kerana ia dapat membentuk keperibadian tinggi selain mewujudkan semangat kekitaan ketika berpersatuan.

Justeru, pembabitan aktif pelajar dalam badan beruniform seperti pengakap tidak sia-sia apabila Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Muhammad Shahrum Osman menyerahkan basikal kepada mereka sebagai rangsangan untuk terus aktif dalam persatuan itu dalam satu majlis di sini, semalam.
Beliau yang juga Bendahari Pengakap Malaysia berkata, 115 ahli pengakap daerah Lipis menerima basikal sebagai hadiah istimewa kerana bergiat aktif dalam persatuan itu.

 

Katanya, basikal itu boleh dijadikan sebagai aktiviti riadah untuk ahli pengakap selain menyihatkan badan dengan aktiviti berfaedah.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pesuruhjaya Latihan Pengakap Negara, Shukor Muslim dan Pegawai Pelajaran Daerah Lipis, Basiron Abdullah Hasyim.
Dr Muhammad Shahrum juga berkata, sebagai orang muda, ahli pengakap perlu menghindari gejala tidak sihat atau boleh merosakkan diri.

 

 

“Ahli pengakap perlu menunjukkan teladan baik dan menjadi contoh kepada remaja lain.
“Justeru, mereka perlu sentiasa menjaga disiplin dan mematuhi segala undang-undang Negara, sekali gus menjaga nama baik pertubuhan pengakap,” katanya.

 

Sementara itu, pengakap Halim Ismail, 16, berkata pemberian basikal itu memberi satu suntikan semangat baru untuk dia bergiat aktif dalam pengakap dan melakukan kerja-kerja kebajikan.

CUEPACS bincang isu tiada bonus – Utusan Malaysia


CUEPACS bincang isu tiada bonus

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membentangkan isu tiada bonus sebulan gaji kepada kakitangan awam dalam Bajet 2011 pada mesyuarat khas kongres itu Selasa ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, pada mesyuarat itu beliau dijangka menerima maklum balas daripada semua peringkat ahli kongres di seluruh negara.

Beliau berkata, menerusi maklum balas itu, pihaknya akan berbincang dan membuat analisis mengenai apakah kesan ke atas penjawat awam ekoran ketiadaan bonus tersebut.

“Setakat ini, kita menerima beberapa maklum balas awal daripada penjawat awam dan rata-ratanya menunjukkan reaksi kecewa.

“Kongres bimbang, kekecewaan itu akan menyebabkan penjawat awam tidak lagi komited dengan kerja mereka dan sekali gus boleh mengakibatkan ekonomi merudum semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas penjelasan Perdana Menteri berhubung kerajaan tidak boleh memberi bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta kakitangan awam dalam Bajet 2011 kerana ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM3.1 bilion.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan penjawat awam akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 bagi meringan beban dan menampung perbelanjaan persiapan sekolah untuk anak-anak.

Omar berkata, pihaknya akur jika RM3.1 bilion untuk 1.2 juta kakitangan awam akan membebankan kerajaan, namun sekurang-kurangnya kerajaan wajar memberi setengah bulan gaji iaitu ia hanya melibatkan RM1.5 bilion sahaja.

Beliau memberitahu, wang bantuan khas sebanyak RM500 yang diperuntukkan itu tidak mencukupi untuk kakitangan awam khususnya yang mempunyai lebih daripada seorang anak tetapi untuk pesara ia sudah memadai.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, pengumuman tiada bonus untuk kakitangan awam pada tahun ini tidak menepati hasrat penjawat awam.

Menurut beliau, berdasarkan keadaan ekonomi negara pada tahun 2010 yang semakin pulih sepatutnya kerajaan mampu memberikan bonus kepada penjawat awam sebagai tanda penghargaan.

”Sekurang-kurangnya sebahagian besar wang bonus itu dapat digunakan oleh penjawat awam pada akhir tahun untuk menyelesaikan pembiayaan anak-anak yang kini semakin membebankan.

”Kita tidak memperlekehkan wang bantuan khas itu tetapi ia masih tidak mencukupi khususnya penjawat awam yang mempunyai anak lebih daripada dua orang,” jelasnya.