Pelajar dicabul waktu tidur – Sinar Harian


Pelajar dicabul waktu tidur

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Februari 2012

KUALA KANGSAR – Tiga pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini, berasa hairan apabila alat sulit dan buah dada mereka berasa sakit sebaik sahaja tersedar daripada tidur, ketika bermalam di asrama sekolah itu kelmarin.

Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku ke atas diri mereka, salah seorang daripada pelajar berkenaan membuat laporan polis mendakwa dicabul ketika sedang tidur.

Ketua Polis Daeah Kuala Kangsar, Superitendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, pelajar terbabit turut mendakwa dipukau sehingga tidak sedar diperlakukan sedemikian.

Menurutnya, pelajar itu mengesyaki ada beberapa orang lelaki lelaki menceroboh bilik mereka kerana salah seorang rakannya ternampak kelibat lelaki itu beberapa jam sebelum kejadian.

“Pada jam 3 pagi salah seorang pelajar melihat kelibat lelaki masuk ke asrama terbabit kemudiannya melarikan diri.

“Dua daripada pelajar berkenaan mengalami rasa sakit di bahagian alat sulit, manaka seorang lagi sakit di bahagian payu dara.

“Salah seorang mangsa bersama ibu bapanya yang juga mewakili dua rakan lain telah membuat laporan polis pada jam 2 petang.

“Selain mengadu rasa sakit, telefon bimbit milik ketiga-tiga mangsa juga turut lesap,”katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tambahnya, susulan laporan itu, empat lelaki berusia 16 hingga 23 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Empat lelaki itu yang bekerja di kantin asrama berkenaan telah ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Mereka disyaki terlibat apabila rakan mangsa terlihat ada lelaki melarikan diri ke arah kantin asrama.

“Kesemua pelajar terbabit dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk pemeriksaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Anak malu ke sekolah – Metro


Anak malu ke sekolah

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Jurulatih pengakap sebuah sekolah menengah di sini menafikan dakwaan laporan akhbar yang menyatakan dia mencabul lebih 10 pelajar perempuan di bawah pengawasannya ketika sedang menjalankan latihan fizikal.

Jurulatih dikenali sebagai Hoo, 44, berkata, dia tidak tahu bagaimana tuduhan itu timbul sedangkan dia sudah menjadi jurulatih lebih 20 tahun membabitkan pelajar sekolah sama ada lelaki atau perempuan.
“Saya tidak tahu motif keluarga pelajar terbabit membuat tuduhan ini sedangkan saya tidak melakukan perkara itu,” katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Negeri Selangor di sini, semalam.

 

Hoo berkata, dia kesal dengan tindakan keluarga pelajar itu yang tidak bertanya kepadanya perkara sebenar sehingga membuat laporan polis yang menjatuhkan maruah keluarganya.
“Isteri dan anak-anak berada dalam keadaan tertekan akibat pandangan serong masyarakat terhadap saya yang kononnya lelaki tidak bermoral.
“Lebih mengecewakan, anak saya enggan ke sekolah hari ini (semalam) kerana malu untuk berdepan dengan rakan dan guru yang mengetahui perkara itu melalui laporan akhbar,” katanya.

 

 

Sementara itu Ketua Biro Biro Pengaduan Awam MCA Negeri Selangor, Datuk Theng Book berkata, pihaknya membantu jurulatih terbabit dengan meminta dia tampil membuat sidang akhbar sebagai bukti dia tidak bersalah.
Katanya, pengakuan itu bertujuan membersihkan nama keluarga jurulatih itu yang kini tertekan akibat dipandang serong masyarakat.

 

“Jurulatih itu sudah memberi keterangan kepada polis dan kami serahkan kepada mereka untuk siasatan lanjut. Sebarang tindakan susulan akan dibuat sebaik laporan penuh siasatan itu dikeluarkan,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan seorang jurulatih mencabul lebih 10 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah yang menyertai Pergerakan Pengakap dengan memegang buah dada, kemaluan dan punggung mangsa.
Difahamkan, lelaki itu dipertanggungjawabkan melatih pelajar berusia 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008 dan mula melakukan perbuatan keji itu penghujung tahun lalu.