Budak 10 tahun lemas terjatuh longkang – Utusan


Budak 10 tahun lemas terjatuh longkang

JOHOR BAHRU 17 Sept. – Seorang murid tahun empat ditemui mati lemas setelah terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat di Jalan Bacang, Kota Masai di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 2 petang, mangsa, Abdul Malik Mohd. Shafarri, 10, ditemui oleh orang awam yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat kira-kira pukul 4.30 petang.

Mayat mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2 itu ditemui tersangkut pada akar pokok kira-kira tiga kilometer dari tempat dia tergelincir.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sejurus menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Mangsa yang menetap di Taman Kota Masai serta dua rakannya yang lain dikatakan keluar berhari raya di kawasan sekitar. Sebaik sahaja terjatuh, rakan mangsa cuba membantu namun gagal kerana arus kuat,” katanya.

Menurut Roslan, pasukan mencari dan menyelamat yang disertai Bomba dan Penyelamat Balai Pasir Gudang, Unit Penyelam serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut mencari mangsa di beberapa lokasi termasuk longkang, parit dan kawasan takungan air.

Sementara itu, orang awam yang menemui mayat mangsa, Samsudin Jamil, 29, berkata, dia mula mencari dengan menyusuri tebing sungai berhampiran Jalan Kota Masai menghala ke Pasir Putih.

“Ketika mencari bersama seorang rakan, saya ternampak susuk tubuh seseorang dengan bahagian pinggang hingga kaki berada di dalam air dan tersangkut di akar pokok yang tumbang.

“Saya terus memanggil anggota menyelamat yang lain untuk membawa mayat kanak-kanak lelaki itu naik ke darat,” katanya.