Budak bermain bola cedera diserang tiga ekor anjing – Utusan


Budak bermain bola cedera diserang tiga ekor anjing

SUNGAI PETANI 24 Mac — Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menerima 20 jahitan pada betis kiri setelah diserang tiga ekor anjing ketika bermain bola sepak di Padang Awam Taman Bandar Baru di Sungai Lalang, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa Muhammad Nabil Amin Abd. Wahab, 10, dikatakan menjadi penjaga gol ketika bermain bola sepak sebelum diserang tiga ekor anjing itu dari arah belakang, dipercayai kelaparan.

Muhammad Nabil berkata, selepas melihat kehadiran anjing-anjing itu semua rakannya melarikan diri tetapi dia tidak sempat menyelamatkan diri kerana kaki kanannya sakit pada waktu itu.

“Masa itu saya tengok mulut anjing terbuka luas hingga menyambar kaki kiri dan sempat menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa yang datang. Seekor anjing berada di atas saya manakala dua lagi berada di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.