KUALA LUMPUR: “Sakit sikit saja.” Itu jawapan ringkas kanak-kanak berketurunan Cina, Chai Kian Fei, 10, sebaik selesai berkhatan bersama 214 kanak-kanak lain dalam program Berkhatan Beramai-ramai Sempena Cuti Sekolah 2012 anjuran Masjid Negara, semalam.
Kian Fei satu-satunya kanak-kanak bukan Islam yang menjadi tumpuan apabila berani berkhatan dalam program anjuran bersama KESB Medicare Sdn Bhd itu.
Hadir ditemani ibunya, Kian Fei berkata, memang gementar dan takut apabila disuruh berkhatan oleh bapanya berikutan tidak pernah melihat rakan berkhatan.
“Memang takut sebab tanya rakan di sekolah pun tiada yang berkhatan. Jadi, di kalangan rakan, saya yang pertama berkhatan,” katanya dalam program dirasmikan Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan, Masjid Negara, Mohammad Zaki Ibrahim.
Ibunya, Kok Mi Fung, 36, berkata, hampir dua minggu dia memujuk anaknya supaya turut berkhatan bersama dalam program itu, selain bagi meyakinkan ia tidak begitu menyakitkan sebagaimana disangka anaknya.
Katanya, antara sebab dia menyarankan anaknya berkhatan berikutan Kian Fei sering mendapat alahan, selain mengetahui ia cara terbaik bagi memastikan kebersihan diri lelaki.
“Sebenarnya sudah lama saya mahu dia berkhatan. Ketika berusia tujuh tahun, saya tanya mengenai perkara itu tapi dia menolak.
“Apabila terbaca laporan Harian Metro baru-baru ini mengenai penganjuran program ini, saya memujuknya dan gembira kerana dia bersetuju,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Zaki berkata, program itu bukan sekadar menyahut amalan berkhatan yang dituntut Islam, malah merapatkan hubungan persaudaraan serta perpaduan di kalangan masyarakat.
Katanya, ibu bapa hanya dikenakan bayaran RM150 seterusnya meringankan beban kewangan ditanggung mereka.
“Kebiasaannya kos berkhatan sekitar RM250 hingga RM280. Program ini bukan saja murah, malah lebih selamat berikutan dilakukan pegawai perubatan bertauliah,” katanya.
Dalam program itu, seramai 214 kanak-kanak berkenaan turut diarak serta disiram anggota bomba sebelum dikhatankan 10 pegawai perubatan swasta yang pakar dalam bidang itu.