Budak hilang cari kepah ditemui lemas – Utusan


Budak hilang cari kepah ditemui lemas

LUMUT 26 Nov. – Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika mencari kepah di Sungai Kampung Seberang Tambang, Manjong, dekat sini semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Mangsa, Kothan Dabani Magindran , 11, ditemui terapung di sungai itu oleh penduduk, pukul 8.50 pagi iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi dia dihanyutkan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, mangsa bersama tiga rakannya mencari kepah di sungai itu pukul 9 pagi dan tidak menyedari air pasang lalu dihanyutkan arus deras.

“Tiga rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi gagal lalu bergegas pulang memaklumkan kepada keluarga mangsa. Mereka kemudian membuat laporan polis pukul 12.15 tengah hari.

“Polis dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Marin dan penduduk menjalankan operasi mencari sehingga pukul 10 malam tadi, tetapi ditangguhkan kerana cuaca gelap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Jamil berkata, operasi mencari disambung pagi ini sehinggalah mayat mangsa ditemui dan dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.