Budak ‘mangsa culik’ dihantar pulang – Metro


Budak ‘mangsa culik’ dihantar pulang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Misteri kehilangan budak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan diculik Ahad lalu berakhir apabila `mangsa’ ditemui selamat selepas dia dihantar pulang ke rumah oleh keluarga rakan sekolahnya malam kelmarin.

Difahamkan, Muhammad Norman Zahar hilang selama tiga hari kerana ke rumah rakan sekolahnya di Kampung Manjoi, di sini, tanpa memaklumkan kepada ibu bapanya.
Dia dihantar pulang lewat malam kelmarin dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

 

Akhbar Harian Metro semalam melaporkan budak lelaki itu yang juga murid Sekolah Kebangsaan St Michael, dilaporkan hilang selepas gagal dikesan ibu bapanya sejurus selesai mengikuti program perkhemahan badan beruniform anjuran sekolahnya pada pagi Ahad lalu.
Bapanya, Zahar Ahmad, 37, ketika ditemui di kediamannya di Taman Tawas Indah, di sini, semalam, berkata, dia dan isterinya, Sharifah Mustafa, 35, gembira dan syukur apabila menemui semula anak mereka selepas terpisah sejak empat hari lalu.
“Saya menyangka dia diculik selepas dimaklumkan saudara terdekat yang terserempak Muhammad Norman dalam sebuah kereta dua hari lalu.

 

 

“Saya juga hairan kenapa keluarga rakannya tidak memulangkan segera Muhammad Norman. Ini menyebabkan kami bimbang dan membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh,” katanya.
Katanya, dia juga sangat mengenali rakan sekolah anaknya itu kerana sering melihat mereka bermain bersama ketika mengambil anaknya itu dari sekolah setiap hari.

 

Zahar berkata, dia sekeluarga tidak akan mengambil tindakan terhadap keluarga rakan baik anaknya itu memandangkan Norman sudah ditemui dengan selamat. Menurutnya, dia sekeluarga turut merancang mengadakan satu majlis doa selamat sebagai tanda syukur kerana berjaya menemui semula anaknya itu dalam keadaan selamat.