Budak minta sedekah di bank – Sinar Harian


Budak minta sedekah di bank

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012
Kanak-kanak (dalam bulatan) ini meminta sedekah sehingga ke parkir kereta.
Kanak-kanak (dalam bulatan) ini meminta sedekah sehingga ke parkir kereta.

BAHAU – Tindakan empat kanak-kanak berumur antara 10 hingga 12 tahun yang berkeliaran sekitar kawasan sebuah perbankan di daerah ini sambil mengutip sedekah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat setempat.

Malah, difahamkan, kanak-kanak ini dipercayai turut memaksa mana-mana pelanggan bank berkenaan agar memberi wang sehingga mengekori mereka ke tempat parkir kereta.

Orang awam, Fauzi, 30-an berkata, dia sering melihat kanak-kanak itu pada waktu pagi dan petang.

“Mereka ini datang dalam waktu pejabat sekitar jam 9 pagi hingga 5 petang. Selagi mereka tidak dapat wang, mereka akan tunggu walaupun sekadar RM1.

“Keadaan ini sudah berlarutan hampir dua minggu dan tindakan mereka berkeliaran sekitar bank itu memang mengundang rasa tidak selesa,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kanak-kanak yang dimaksudkan itu ada datang ke bank itu kelmarin sebelum beredar  beberapa minit kemudian.

Namun hal itu tidak berlarutan begitu lama susulan ia dapat dihidu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah yang mendapat maklumat mengenai keluarga kanak-kanak berkenaan.

Pegawai JKM daerah, Mustafal Bakri Muhammad Yusof berkata, dia sudah menemui ibu dan nenek kanak-kanak itu kelmarin dekat kediamannya di sini.

Menurutnya, dua daripada empat kanak-kanak yang terlibat adalah anak mereka dan selebihnya anak rakan mereka.

“Namun, ibu kanak-kanak ini menjelaskan mereka tidak mengetahui anaknya meminta sedekah dan beranggapan anaknya itu ke sekolah.

“Bagaimanapun, isu itu dianggap selesai selepas kita meminta mereka memantau dan mengambil perhatian lebih mengenai kegiatan anak mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mustafal berkata, sekiranya ingkar, tindakan lebih tegas akan diambil agar isu itu tidak berlarutan.

“Saya mengingatkan agar semua ibu bapa dan penjaga dapat memantau kegiatan anak masing-masing bagi mengelakkan kes sama berlaku.

“Orang awam juga  diminta memaklumkan segera kepada kami sekiranya berlaku kes seperti itu,” katanya.