Budak pengsan setengah jam digigit semut api
2011/04/07
GEORGETOWN: Hanya disebabkan gigitan semut api, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dari Kampung Melayu, Air Itam di sini, dimasukkan ke hospital selepas pengsan dan timbul tanda kebiruan di muka dan bibir, Isnin lalu.
Pires Ching dikatakan digigit semut di sikunya pada jam 5.45 petang ketika melalui kawasan berhampiran rimbunan buluh berdekatan rumah datuknya, Ching Git Hoi, 63, dan tidak sedarkan diri kira-kira setengah jam.
Dia yang dimasukkan ke hospital, turut diberi bantuan pernafasan kerana tekanan darah rendah dan menerima lebih 10 suntikan sebelum beransur pulih. Dia dibenarkan keluar, pagi semalam.Git Hoi yang ditemui di rumahnya semalam, berkata Ching digigit semut tiga kali di bahagian siku kiri ketika dalam perjalanan pulang dari kebun sayur yang terletak berdekatan anak sungai di belakang rumahnya.
Sebaik pulang, Ching mengadu rasa sakit dan keluarganya mengesan tiga kesan gigitan yang merah.
“Saya kemudian membawanya ke bilik air untuk membersihkan diri. Beberapa minit kemudian, muka cucu saya kebiruan dan bibirnya kehitaman. Tidak lama selepas itu dia pengsan,” katanya Ching kemudian dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta.
Git Hoi berkata, doktor memaklumkan cucunya terkena virus semut akibat daripada gigitan itu.
Saya tidak menyangka gigitan semut boleh menyebabkan perkara sebegini berlaku kepada cucu saya,” katanya.