Budak ‘tertekan’ tikam wanita – Berita Harian


Budak ‘tertekan’ tikam wanita
Oleh Siti Sofia Md Nasir
bhnews@bharian.com.my
2011/05/27

TANGAN Azlina cedera akibat ditoreh budak lelaki

TANGAN Azlina cedera akibat ditoreh budak lelaki

Suspek dipercayai alami gangguan perasaan akibat jadi mangsa buli

SHAH ALAM: Akibat sering menjadi mangsa buli, seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun yang dipercayai mengalami tekanan perasaan bertindak di luar jangkaan apabila menikam seorang wanita dalam kejadian di Pangsapuri Sri Era, Desa Latania, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Azlina Ahmad, 24, menerima 14 jahitan di tangan dan dagu ketika cuba menepis pisau lipat disyaki senjata yang digunakan kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Difahamkan kanak-kanak terbabit turut membuat laporan polis kononnya diugut seorang lelaki yang mahu membunuh bapanya jika dia tidak membunuh mangsa.

Bagaimanapun, selepas disoal siasat, kanak-kanak itu mengakui mengalami tekanan perasaan kerana sering dibuli di sekolah.

Ibu bapa kanak-kanak terbabit bergegas mengambil anak mereka di sekolah sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 di sini.
Difahamkan, pisau lipat yang digunakan kanak-kanak itu untuk menikam mangsa turut ditemui bapanya di semak berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Azlina berkata, ketika kejadian dia sedang memanaskan enjin kereta untuk ke tempat kerja sebelum didatangi kanak-kanak itu yang dikenali dengan nama ‘adik’ bertanyakan sama ada mengenali sesiapa yang boleh mengurut kaki ibunya yang sakit.

“Semalam (kelmarin) pun dia bertanyakan soalan sama kepada saya. Ketika itu, saya menjawab mungkin kakak saya boleh membantu mencari tukang urut. Ketika berbual, saya melihat dia mengeluarkan sesuatu dari poket belakang.

“Saya terkejut apabila dia mengeluarkan pisau dan cuba menikam saya. Mujur ketika itu saya berada di dalam kereta dengan cermin pintu kereta tertutup separuh,” katanya ketika ditemui, di sini.

Azlina berkata, dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius sebelum memecut kereta kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Saya kemudian menghubungi abang ipar saya, Amin Olah, 28, untuk memberitahu mengenai kejadian ini sebelum dia menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk rawatan,” katanya yang tinggal bersama kakaknya, Zuraina Ahmad, 29, sejak setahun lalu.