Budak trauma didera bapa – Kosmo


Budak trauma didera bapa

 

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my

 


 

KUCHING – Perbuatan kejam dua beranak yang tergamak ‘berganding bahu’ mendera darah daging sendiri hingga menyebabkan mangsa ketakutan dan trauma memakan diri apabila kedua-duanya diberkas selepas tembelang mereka terbongkar Jumaat lalu.

Kes tersebut berlaku di sebuah kampung di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad (gambar) berkata, kedua-dua suspek tersebut diberkas selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat oleh seorang guru sekolah mangsa pada pukul 9 pagi Jumaat lalu.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 11 tahun sering dipukul oleh abang kandungnya itu setiap kali selepas suspek berada dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah dan menghidu gam.

“Bapa mangsa turut mendera mangsa dengan memukulnya dengan kayu dan tali pinggang sejak beberapa bulan lalu.

“Kali terakhir mangsa dipukul oleh abangnya beberapa hari lalu dengan sebatang kayu sehingga mengakibatkan tangan kirinya cedera,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ekoran itu, katanya, mangsa pernah ponteng sekolah selama 25 hari kerana sakit perut akibat disepak salah seorang suspek.

Menurut Roslan, guru tersebut menyedari mangsa didera selepas dia hairan melihat mangsa berada dalam ketakutan dan bersembunyi di belakang kelas pada pagi Jumaat lepas. Dia membuat laporan di Balai Polis Batu 10 di sini.

“Ibu mangsa pernah dua kali datang ke sekolah mengadu mengenai nasib mangsa,” katanya.

Ujar Roslan, gambar kecederaan mangsa telah diambil dan terdapat kesan luka lama pada badannya.

“Gambar kecederaan pada badan mangsa telah diambil dan terdapat kesan luka lama pada badannya. Mangsa kini dirawat di hospital dan kes telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2MYCOE2Fz
Hakcipta terpelihara