PIBGN: Tenaga pengajar juga perlukan baucer buku – Sinar Harian


PIBGN: Tenaga pengajar juga perlukan baucer buku

ARASHY AZIM
30 September 2012

KUALA LUMPUR – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan supaya pemberian baucer buku bukan sahaja diberikan kepada pelajar tingkatan enam dan mahasiswa, tetapi wajar dipanjangkan kepada tenaga pengajar juga.

Presidennya, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, baucer tersebut bukan sahaja diperlukan oleh pelajar dan mahasiswa, malah turut diperlukan oleh penjawat awam serta warga pendidik untuk mengajar di sekolah termasuk universiti.

“Kedua-dua kumpulan ini juga akan mendapat manfaat bersama.

“Pemberian baucer buku sebanyak RM250 berbanding RM200 sebelumnya kepada 1.3 juta pelajar universiti dan tingkatan enam bukan sahaja dapat mengurangkan beban pelajar.

“Pada dasarnya, ia satu pemberian menarik dan dalam masa sama dapat menjana budaya membaca di kalangan pelajar untuk melahirkan seorang insan yang kaya dengan ilmu pengetahuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Mengulas perkara sama, beliau menambah, baucer ini perlulah digunakan sebaik mungkin kerana ia adalah pemberian kerajaan untuk kemudahan para pelajar menambah sumber pencarian maklumat berguna ketika proses pembelajaran.

Beliau turut mencadangkan supaya pemantauan rapi dan jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi memastikan baucer berkenaan tidak disalahgunakan dan digunakan sebaik.

Sementara itu, katanya, kelayakan penerima pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada 5.4 juta pelajar sekolah yang diumumkan dalam Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu perlu dikaji semula.

Beliau menjelaskan, kajian dan penelitian semula wajar dilakukan supaya pemberian tersebut hanya diberikan kepada ibu bapa yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Saya melihat belanjawan kali ini merupakan bajet untuk membantu rakyat secara keseluruhan dan daripada sektor pendidikan sendiri mempunyai belanjawan khusus bermula dari pra-sekolah hingga ke peringkat universiti.

“Bagaimanapun, ucapan terima kasih tetap diucapkan terhadap bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan bajet kali ini adalah bajet yang menyeluruh dari peringkat pendidikan awal sehinggalah ke peringkat universiti,” kata Mohd Ali yang juga pensyarah di Universiti Malaya (UM).

Sehubungan itu, beliau turut menekankan supaya pendidikan agama juga harus diberikan bantuan dan pembiayaan yang setara dengan sekolah harian biasa supaya taraf pendidikan ini dapat dipertingkatkan.

“Saya menyarankan dalam bajet akan datang, sekolah agama ini diberi lebih perhatian dari segi belanjawan.

“Apa yang saya dapat lihat, sekolah ini tidak mendapat pembiayaan yang mencukupi ini sedangkan ia adalah penting supaya anak-anak yang berada di sekolah agama tidak terpengaruh dengan ideologi-ideologi negatif,” tambah beliau.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan peruntukan sejumlah RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan serta pembinaan blok tambahan.

Jumaat lalu, kerajaan turut mengumumkan sebanyak RM38.7 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan serta peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras.

PM lancar cawangan pertama Kedai Buku 1Malaysia – Bernama


PM lancar cawangan pertama Kedai Buku 1Malaysia

22 September 2012

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Kedai Buku 1Malaysia yang pertama di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur di sini.

Kedai itu merupakan kedai utama dengan beberapa cawangan lain bakal dibuka di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Orang ramai berpeluang membeli bahan bacaan terbitan tempatan dan luar negara selain alat tulis pada harga lebih kompetitif berbanding harga pasaran.

Kedai Buku itu bertempat di tingkat satu, diharap dapat menyubur budaya membaca di kalangan rakyat dan berfungsi sebagai ‘game changer’ dengan bertindak sebagai pemangkin penyatuan antara kaum.

Selain menawarkan produk buku, kedai itu juga membekalkan keperluan sekolah, perpustakaan serta aktiviti pertemuan bagi penulis dan penerbit tempatan. – Bernama

Peranan pusat sumber sekolah perlu dipertingkat – Kosmo


Peranan pusat sumber sekolah perlu dipertingkat

 

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my

 

MUHYIDDIN (tengah) melancarkan Kempen Nilai-Nilai Murni 1Malaysia sambil diperhatikan Mahathir (kanan) dan Rais di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan merangka satu strategi bersama yang komprehensif untuk meningkatkan fungsi dan peranan pusat sumber sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peranan pusat sumber sekolah sebagai nadi budaya membaca dalam kalangan generasi muda wajar diperkasakan selaras dengan usaha menambah baik sistem pendidikan negara.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 12,382 buah perpustakaan di seluruh negara dengan 9,721 buah daripadanya merupakan pusat sumber sekolah.

“Berdasarkan perangkaan itu, saya melihat pusat sumber sekolah mempunyai potensi yang cukup besar untuk dipertingkatkan dari segi mutu dan capaian perkhidmatannya.

“Penggunaan perpustakaan digital juga perlu diperluas bagi membolehkan pengguna membaca buku dan pelbagai bahan ilmiah dalam bentuk digital secara atas talian,” katanya.