Umur persaraan sektor awam kekal – Sinar Harian


Umur persaraan sektor awam kekal
ARHIZA AHMAD
19 Jun 2012

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan umur persaraan wajib sektor awam kepada 66 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, bagaimanapun bagi memenuhi keperluan perkhidmatan tertentu kerajaan boleh membuat pelantikan secara kontrak.

“Pelantikan secara kontrak ini, dilaksanakan bagi kakitangan yang telah bersara wajib.

“Ini dapat memastikan mereka yang mempunyai prestasi tinggi saja akan dilantik selepas bersara wajib bagi memenuhi keperluan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang meminta kerajaan memberikan penjelasan umur persaraan kakitangan awam akan ditingkatkan kepada 66 tahun, selaras umur persaraan hakim.

Mohamed Nazri berkata, kerajaan sentiasa memantau situasi pasaran buruh, sebelum menimbang sebarang cadangan untuk meningkat umur persaraan wajib bagi sektor awam.

Polis buru lima lelaki serang remaja – Bernama


Polis buru lima lelaki serang remaja

14 Mei 2012

GEORGE TOWN – Polis sedang mengesan lima lagi suspek berumur lingkungan 20-an kerana dipercayai terlibat dalam insiden serangan bersenjata terhadap seorang remaja lelaki malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, motosikal yang dinaiki remaja berusia 17 tahun terbabit, dihadang dan ditendang oleh enam lelaki bersenjatakan pisau dan topi kaledar di Jalan Masjid Negeri, di sini.

“Apabila mangsa jatuh, salah seorang lelaki terbabit mengelar tangan kanan remaja itu dengan sebilah pisau. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Gan berkata kesemua suspek melarikan diri sejurus polis tiba di tempat kejadian kecuali seorang dapat diberkas dan kini direman sehingga Rabu ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh, yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Gan berkata polis menahan seorang suspek kes samun bersenjata melibatkan dua buah kedai serbaneka di Jelutong dan Ayer Itam, pagi semalam.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 8 pagi dan 10 pagi itu, lelaki berumur 36 tahun yang bersenjatakan parang panjang dan berpakaian serba hitam dikatakan memasuki kedua-dua kedai berkenaan dan melarikan wang tunai serta barangan bernilai hampir RM1,000.

“Bagaimanapun, polis berjaya menjejaki suspek di rumahnya yang turut dihuni anggota keluarganya yang lain di Bukit Gelugor berdasarkan nombor plat motosikal yang dinaikinya,” kata beliau.

Beliau berkata suspek ditahan di rumahnya pada pukul 2.30 petang semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. — Bernama