Tiga remaja didakwa merompak – Sinar Harian


Tiga remaja didakwa merompak
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012
KUANTAN – Tiga remaja termasuk dua yang masih di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang remaja laindi tepi padang, Lorong IM2/78, Bandar Indera Mahkota di sini, 14 Jun lalu.

Amierul Muhayat Saiful Amran, 19 dari Bukit Istana di sini bersama dua rakannya berusia 17 dan 18 tahun masing-masing dari Pekan dan Indera Mahkota di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Samsuddin di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga remaja ini didakwa secara bersama melakukan rompakan ke atas mangsa yang berusia 16 tahun di lokasi itu kira-kira jam 11 malam, 14 Jun lalu.

Dalam kejadian itu ,mereka bertiga bertindak merampas sebuah telefon bimbit bernilai RM500 milik mangsa.

Mereka juga didakwa turut menggunakan sebilah parang dalam rompakan tersebut sehingga boleh mendatangkan ketakutan, kecederaan dan menyebabkan kematian kepada mangsa.

Ekoran kesalahan jenayah yang dilakukan itu, ketika-tiga rakan terbabit dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Mahkamah menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan seterusnya kes tersebut.