16 pelajar timba ilmu kuda – Metro


16 pelajar timba ilmu kuda

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

Kuala Lumpur: Arena pendidikan vokasional menjadi cabang penting pendidikan pada masa kini dan diserapkan ke dalam akademik pelajar bermula pada peringkat sekolah menengah sebelum diaplikasikan ke peringkat lebih tinggi termasuk sijil sehingga kedoktoran.

Menyedari keistimewaan bidang kemahiran khususnya dalam membentuk kerjaya yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara, kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan pelan baru bertindak sebagai perintis projek iaitu Kursus Rintis Ekuin pada tahun lalu.
Seramai 16 pelajar dilatih di Kolej Vokasional Kajang dan Sungai Buloh, Selangor dan kini ditempatkan dalam industri ekuin negara dan tidak kurang juga dilatih bagi menjadi atlet yang bakal mewakili negara di peringkat antarabangsa.

 

Muhd Qairul Iqram, 18, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kolej Vokasional Sungai Buloh berkata pengalaman mengikuti latihan ekuin sangat menarik dan unik, malah menjadi kegemarannya kini.
Menurutnya, dia menghargai peluang diberi serta tidak menyesali keputusan mempelajari bidang yang sangat asing di negara ini.
“Pada awalnya saya hanya tahu secara dasar mengenai subjek kemahiran ekuin. Namun, berkat dorongan ibu, bapa dan guru semuanya berjalan lancar dan kini saya menjadi penjaga kuda di Bukit Kiara Resort Berhad bersama lima lagi rakan yang mendalami kursus sama,” katanya.

 

Muhd Qairul berkata, ketika masih di bangku kolej dia didedahkan dengan teknik penjagaan dan kebersihan kuda, selain diberi peluang menunggang kuda.
Bagi memantapkan kemahiran dan dan rakan pelajar lain bukan saja dihamparkan dengan kaedah teori, tetapi turun ke lapangan dimestikan supaya mereka benar-benar menguasai cabang pengurusan kuda.

 

“Kami akan turun ke pusat latihan praktikal di Skuardon Istiadat Berkuda, Sungai Buloh tiga kali seminggu pada sebelah pagi seawal jam 7 dan mengikuti mata pelajaran lazim lain pada sebelah petang,” katanya.
Berbeza pula dengan pelajar lepasan SPM Kolej Vokasional Kajang yang pada awalnya langsung tidak gemar ilmu mengenai kuda, Mohamad Hamzi Lot, 18.
Katanya, dia memilih bidang ekuin atas dorongan guru penyelia subjek walaupun ragu-ragu pada enam bulan pertama memulakan sesi persekolahan. “Saya teruskan juga dan memupuk minat perlahan-lahan dan apabila kelas praktikal dimulakan saya begitu seronok kerana dicurahkan dengan detikyang tidak pernah saya impikan selama ini,” katanya.
Bagi Pengarah Kolej Vokasional berkenaan, Mohd Ghazaly Haroun, mata pelajaran ekuin wajar diteruskan kerana semua pelajar rintis berjaya ditempatkan, malah kini diasah bakat secara mendalam.
Menurutnya, ia adalah peluang keemasan dalam memartabatkan industri ekuin di negara ini dan beliau turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelajarnya.
Ia dipersetujui Pengurus Latihan dan Pendidikan, Majlis Ekuin Malaysia (MEM), Azizan Zainal Abidin yang berperanan dalam melatih pelajar dalam menunggang kuda.
“Sebelum ini, setiap tahun kami mengambil 20 pelajar dari setiap negeri bagi diletakkan di bawah Rancangan Menunggang Kuda Dalam Sekolah (RISP). Jika ada peluang membabitkan lebih ramai pelajar.
“Kini kami bersama KPM sedang mengintai peluang untuk menjalankan kerjasama dengan kolej vokasional seluruh negara supaya Sijil Kemahiran tahap satu dan dua yang dipelajari sebelum ini dapat diteruskan sehingga ke peringkat lima,” katanya.
Dalam pada itu, Koordinator Ekuin Bukit Kiara Resort Berhad, Mohd Izry Razali berkata, enam pelajar sudah berkhidmat sejak lima bulan lalu sebagai penjaga kuda diberi peluang meningkatkan tahap kerjaya mereka dalam bidang lebih tinggi dengan penyediaan kursus seperti memasang ladam.
Mereka turut diberi peluang menjadi atlet seperti pelajar lepasan Vokasional Kajang, Muhamad Hakim Musa yang kini dilatih sebagai atlet di bawah Penang Turf Club Equestrian Centre (PNTEC).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29