Kejutan anak selamatkan ibu – Sinar Harian


Kejutan anak selamatkan ibu

IZWAN ROZLIN
3 April 2012
Kejutan anak selamatkan ibu

PETALING JAYA – Tinda­kan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengejutkan ibunya daripada tidur berjaya menyelamatkan keluarganya dalam kejadian kebakaran awal pagi di sebuah unit rumah di Blok H Apartmen Harmoni dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, ibu bersama empat anak itu yang sedang nyenyak tidur tidak sedar api mula marak dari dalam sebuah bilik yang menempatkan dua anak lelakinya.

Suami mangsa, Mohd Ramli Che Mood, 32, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar bekerja.

“Saya hanya tahu tentang kejadian selepas mendapat panggilan daripada jiran yang memberitahu tentang kejadian yang berlaku,” katanya.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, Mohd Ramli berkata, isterinya menjerit meminta tolong selepas panik melihat api mula marak.

“Jeritan isteri saya didengari oleh jiran sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menyelamatkan seorang lagi anak saya yang masih tidur di dalam bilik terbakar,” katanya.

Menurutnya, tambah malang apabila jentera bomba tidak dapat masuk berikutan kawasan jalan utama ke blok berkenaan dihalang oleh kenderaan penduduk yang diletakkan dibahu jalan.

“Jiran cuba memadamkan sendiri kebakaran menggunakan baldi dan saluran getah paip dari rumah masing-masing dan api dapat dipadamkan dalam masa 15 minit,” katanya yang tinggal menyewa di situ sejak enam tahun lalu.

Mohd Ramli ketika ditemui bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam kejadian itu dan mengucapkan terima kasih kepada jiran yang membantunya.

Difahamkan, kerugian dianggarkan mencecah RM15,000 apabila semua perkakas sekolah hangus terbakar selain hampir semua peralatan rumah rosak akibat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Loo Boon Chuan yang hadir melawat mangsa turut memberikan sumbangan.