Budak lemas koma air masuk kepala – Metro


Budak lemas koma air masuk kepala

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: “Nasib baik suami ternampak baju kuning dipakai anak di dalam longkang itu, kalau tidak mungkin saya akan kehilangannya,” kata Norizah Zakaria, 41, ibu kepada Nor Hidayah Mohamad, 7, yang koma akibat lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah longkang di Kampung Mak Chili, Chukai, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, mangsa yang mengikuti ibunya berniaga pisang goreng di kampung berkenaan dipercayai terjatuh di dalam longkang terletak kira-kira 10 meter di belakang gerai mereka.
Tindakan pantas, Mohamad Embong, 47, yang terjun sebaik ternampak baju kuning dipakai anak bongsunya itu di dasar longkang berkenaan berjaya menyelamatkan mangsa daripada berdepan risiko lebih buruk.

 

Murid Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Chukai itu didapati tidak sedarkan diri selepas tenggelam hampir 10 minit dan dia segera diberikan bantuan pernafasan oleh abang tirinya, Nik Azman Nik Hassan, 21, yang turut berada di tempat kejadian.
Norizah yang juga ibu kepada empat anak ketika ditemui di Wad Rawatan Intensif Pediatrik dan Penjagaan Bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata Nor Hidayah masih dalam keadaan koma disebabkan bahagian kepalanya dimasuki air.
Menurutnya, sebelum kejadian Nor Hidayah bermain di sekitar gerainya namun tidak lama kemudian anaknya itu hilang dari pandangan.

 

 

“Ketika menggoreng pisang, saya terkejut apabila Nik Azman memberitahu anak bongsu tiada di kawasan kami berniaga.
“Hampir lima minit saya, suami dan Nik Azman mencari Nor Hidayah di kawasan berhampiran gerai namun kelibatnya langsung tidak kelihatan.

 

“Nasib baik gerak hati suami untuk mencari anak di longkang belakang gerai berjaya menemui Nor Hidayah yang sudah tenggelam di dasar longkang sedalam kira-kira 1.5 meter,” katanya yang tinggal di Kampung Jaya, Chukai, Kemaman.
Norizah berkata, sebaik ternampak baju kuning dipakai anaknya di dasar longkang berkenaan, suaminya menyedari pakaian berkenaan milik Nor Hidayah menyebabkan dia terus terjun ke dalam longkang untuk menyelamatkan anaknya itu.
Sementara itu, Nik Azman berkata, sebelum kejadian dia singgah di gerai berkenaan pada jam 6 petang untuk memaklumkan hasratnya bertemu seorang rakan kepada ibunya.
“Ketika itu ibu dan bapa tiri sedang menggoreng pisang serta menyiapkan makanan lain manakala adik bermain berdekatan kawasan longkang yang dipenuhi air dan tidak bertutup,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba di gerai dia berbual dengan bapa tirinya dan ada memanggil Nor Hidayah untuk mengajaknya minum bersama tetapi tidak diendahkan.
“Namun kira-kira lima minit berbual, saya panik apabila menyedari adik sudah hilang daripada pandangan dan berusaha mencarinya berhampiran gerai manakala bapa tiri pula mencarinya di longkang itu.
“Saya sungguh terkejut apabila berpaling ke arah bapa tiri dan melihat dia sedang mengangkat adik yang dalam keadaan tidak sedarkan diri dari longkang berkenaan,” katanya.